Dua beradik 'tag-team' jadi muazin dan imam solat tarawih
Meskipun baru berusia 23 dan 25 tahun, dua beradik ini sudah mula menjadi imam masjid hampir sedekad lalu sewaktu menuntut di Sarawak.
Pasangan adik-beradik ini bergilir-gilir jadi muazin dan imam solat tarawih pada Ramadan ini. (Gambar: Danish Aiman)
Inilah gandingan adik-beradik Abdul Hanan Amin Abdul Samad, 23 tahun dan abangnya Abdul Haadi Abdul Samad, 25 tahun apabila tibanya bulan Ramadan.
Mereka bergilir-gilir menjadi imam dan muazin bagi solat tarawih dan solat fardu Isyak.
Pada Ahad (31 Mac) misalnya, mereka melaksanakan tanggungjawab itu di Masjid Ahmad Ibrahim.
DUA BERADIK BERGILIR-GILIR JADI IMAM DAN MUAZIN
Meskipun mereka muda, mereka bukanlah baharu dalam bidang ini dan sudah melakukan sejak hampir sedekad lalu.
Mereka mengimbas kembali detik-detik apabila pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai imam dan muazin di masjid sewaktu menuntut di sebuah madrasah di Miri, Sarawak pada 2014.
"Ketika itu saya berumur 14 tahun, abang saya berumur 16 tahun dan untuk kali pertama menjadi imam di masjid. Jadi tentunya kita rasa gementar. Rasa gementar sampaikan saya ingat saya tidak boleh buka sebab makan sedikit rasa hendak muntah. Terlalu gementar. Jadi apabila sudah berada di tempat imam, saya tawakal dan Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar," kata Abdul Hanan Amin.
Para jemaah di sana juga mengalu-alukan kehadiran imam muda ini sehingga mereka mendapat gelaran 'Imam Muda Singapura'.
"Jadi hendak bandingkan dengan imam yang sudah lama, kita ini masih muda. Kadang-kadang pakcik-pakcik dia berani hendak tegur atau salahkan kita jadi kita perlu hadapi jemaah tetapi kita ini sebagai imam muda kita pun perlu terima dengan hati terbuka sebab kita semua masih belajar lagi. Sampai sekarang pun bertahun tugas pun rasa masih belajar lagi," kata Abdul Haadi.
LEBIH RAMAI JEMAAH 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN
Bagi 10 malam terakhir Ramadan ini, pasangan adik-beradik ini kembali untuk memimpin solat tarawih bersama. Walaupun ini bukan kali pertama mereka memimpin solat tarawih bersama, peluang ini merupakan satu peluang emas bagi mereka.
"Saya rasa bersyukur kerana di Singapura ataupun mana-mana pun tidak ramai. Ada tetapi tidak ramai di mana adik-beradik yang dapat berpasangan untuk melakukan ibadah sebegini," jelas Encik Hanan.
Mereka juga rasa gembira dengan jumlah kehadiran para jemaah di masjid dengan adanya golongan-golongan yang lebih muda.
"Daripada pemerhatian saya, Alhamdulillah, 10 malam yang terakhir ini ramai yang datang. Banyak juga anak-anak muda, kita panggil belia dan juga kalau contohnya kalau saya dengan Hanan bertugas, banyak daripada kawan-kawan kita yang datang sekali untuk sokong atau datang sekali untuk jadi jemaah untuk tarawih," tambah Encik Haadi.
AJAK LEBIH RAMAI ORANG MUDAH IMARAHKAN MASJID
Dengan adanya generasi pelapis di masjid seperti pasangan adik-beradik ini, mereka harap berharap lebih ramai orang muda tampil menggalas tanggungjawab itu dan mengimarahkan masjid-masjid.
"Harapan saya untuk anak-anak muda di luar sana, semoga mereka ambil inspirasi. Bukan sahaja daripada kami tetapi setakat ini yang saya lihat dari media sosial, ramai sahaja anak-anak muda Singapura yang mampu untuk menjadi imam di masjid-masjid," ujar Encik Hanan.
Selain Masjid Ahmad Ibrahim, pasangan adik-beradik ini juga bertugas di beberapa masjid Singapura yang lain.
Lebih banyak lagi kisah menarik tentang pasangan adik-beradik imam dan muazin muda ini boleh anda ikuti dalam siri "Buat Apa Tu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.