Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua atlit Taekwondo negara yakin atasi cabaran bagi Sukan SEA

Semangat lebih membara bagi atlit taekwondo negara, Nur Fadzlyn Mohd Zahruddin yang kembali beraksi di pentas Sukan SEA kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua atlit Taekwondo negara yakin atasi cabaran bagi Sukan SEA

Atlit-atlit negara Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhair dan Nur Fadzlyn Mohd Zahruddin (Gambar: Nurhelmy Hakim)

BERITAmediacorp: Semangat lebih membara bagi atlit taekwondo negara, Nur Fadzlyn Mohd Zahruddin yang kembali beraksi di pentas Sukan SEA kali ini.

Ini setelah atlit yang kini berusia 25 tahun itu, terlepas peluang berbuat demikian bagi tiga edisi temasya sukan itu.

'

Kali terakhir Nur Fadzlyn beraksi di Sukan SEA dalam sukan Taekwondo (Kyorugi) adalah pada 2015 di Singapura.

Beliau berjaya meraih pingat gangsa dalam percubaan pertamanya itu.

Namun malang tidak berbau, Fadzyn terpaksa menarik diri daripada pasukan negara selepas mengalami kecederaan lutut.

Setelah penantian yang lama, Fadzlyn berharap dapat meraih sebutir pingat, sekali gus memperbaiki prestasinya di Sukan SEA.

Fadzlyn berkata: "Sekurang-kurangnya saya berharap dapat pergi ke peringkat akhir dan sekurang-kurangnya meraih pingat perak."

"Sekarang, kami berlatih dua hingga tiga kali sehari dan saya sudah berusaha bertungkus-lumus dan saya percaya dari segi fizikal dan mental sudah meningkat. Saya percaya sudah tahap yang terbaik sekarang. Pada 2015, saya masih muda, sekarang saya lebih matang," jelas Fadzlyn.

'

Selain dalam negara, pasukan Taekwondo negara juga berlatih selama sebulan di Korea Selatan sekitar sebulan lalu.

Fadzlyn juga merupakan atlit paling senior dalam pasukan Taekwondo negara dan berharap kematangan dan pengalaman dapat menjadi kelebihannya.

Fadzlyn berkata: "Untuk kategori saya, semestinya saingan sengit daripada Thailand dan Vietnam tetapi saya percaya saya boleh berikan prestasi terbaik apabila menentang mereka."

"Saya ingin melakukan yang terbaik sebab ini bukan untuk saya, bukan untuk kawan atau keluarga tetapi untuk negara," ujar Fadzlyn lagi.

KURANG SEBULAN BERLATIH DALAM KATEGORI BARU

Semangat yang sama juga dirasakan seorang lagi atlit taekwondo negara, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhair.

Beliau mahu menebus kekalahannya dalam Sukan SEA yang lalu.

Ini merupakan kali keempat Diyanah berpeluang mewakili negara di Sukan SEA.

'

Dalam edisi yang lalu, Diyanah diberi kepercayaan dan dapat beraksi dalam acara poomsae individu wanita buat pertama kalinya.

Sebelum itu, beliau menjadi sebahagian daripada trio dalam acara poomsae pasukan wanita di Kuala Lumpur pada 2017 dan Filipina pada 2019.

Meraih tempat keenam dalam edisi tahun lepas membakar lagi semangat Diyanah untuk bukan sahaja memberikan prestasi lebih baik malah merangkul pingat.

Diyanah berkata: "Sekarang saya rasa lebih yakin, dan kekuatan dan keadaan badan saya juga lebih baik. Selama setahun saya berlatih untuk Sukan SEA kali ini, saya benar-benar yakin untuk edisi kali ini."

"Selalunya kita ada jurus-jurus berlainan yang perlu kita lakukan dan ingat, ada yang perlu kita banyak imbangkan diri, ada yang memerlukan banyak tenaga. Yang saya paling selesa adalah seni Pyongwon, apabila saya membuat seni itu, saya berasa lebih yakin," jelas Diyanah lagi.

Di Kemboja nanti, Diyanah juga akan beraksi dalam acara gandingan campuran buat pertama kalinya.

'

Cabaran juga sangat terasa kerana Diyanah dan rakan pasangannya diberitahu kurang sebulan lalu bahawa mereka akan bertanding dalam kategori tersebut.

Diyanah berkata: "Untuk kategori gandingan, saya tidak pernah berlatih dengan rakan sepasukan saya itu sebelum ini dan dia juga baru masuk ke dalam skuad senior. Jadi, gerak-geri kami tidak selari."

Untuk itu, Diyanah cuba meluangkan lebih banyak masa untuk memperbaiki langkah-langkah dengan gandingannya agar dapat mencapai keserasian yang mantap.

"Kita masih boleh membuat lebih baik dan saya juga rasa kita perlu mempunyai kepercayaan dengan satu sama lain, kerana kalau tidak, sukar untuk melakukan langkah dengan baik," kata Diyanah.

Aksi para atlit taekwondo dan sukan lain di Sukan SEA ke-32 boleh disaksikan di MeWatch.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan