Dua artis Melayu pamer bakat dalam ARTWALK 2024
SINGAPURA: Kawasan kejiranan Little India dan Katong-Joo Chiat menjadi lebih bersemarak dengan 15 karya seni dan ilham kreatif para penggiat seni tempatan dipamerkan.
Ia sempena pesta seni awam pelbagai disiplin ARTWALK 2024 yang diadakan sempena Minggu Seni Singapura yang berlangsung sehingga 28 Januari.
Ini merupakan tahun kesepuluh Maktab Seni Lasalle dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bekerjasama bagi projek ARTWALK Little India dengan sokongan Persatuan Pekedai dan Warisan Little India (Lisha).
Dengan tema "Decennial", ARTWALK menampilkan karya-karya yang boleh wujudkan pengalaman pelbagai deria menerusi hasil seni seperti persembahan muzik, lukisan dinding atau mural dan bengkel.
PASANGAN DUET HAZEL & HAZIQ BUKA TIRAI ARTWALK 2024
Pasangan duet Hazel & Haziq dipilih untuk membuka tirai pada malam pembukaan ARTWALK.
Mereka mendendangkan lagu pelbagai genre seperti genre Pop, Jazz dan R&B.
Antara lagu yang mereka persembahkan pada malam pembukaan adalah lagu malar segar Stevie Wonder, 'Isn't she lovely'.

Pemain guitar, Muhammad NurHaziq Abdul Hadim, 26 tahun, memberitahu wartawan Nurfazirah Azman beliau teruja menjadi antara barisan artis dalam acara tahun ini.
"Saya agak gementar kerana saya sudah lama tidak membuat persembahan kepada khalayak ramai tetapi saya juga gembira dapat melakukan hobi yang saya amat gemar. Dengan itu saya akan cuba dengan sedaya upaya untuk memberi persembahan terbaik untuk orang ramai," kongsi Encik Haziq.
Bagi menarik minat dan perhatian orang ramai, pasangan duet itu mendendangkan lagu-lagu yang dikenali ramai.
"Lagu-lagu yang kami akan mainkan adalah daripada artis seperti Coldplay, Bruno Mars, Ariana Grande dan ramai lagi. Set list itu pelbagai yang akan berubah tetapi penyanyi-penyanyi itu semua dikenali ramai. Kita akan campurkan lagu bahasa Cina dan bahasa Melayu tetapi kita akan mencuba untuk memberi variasi," kongsi Encik Haziq.
Untuk memberikan keunikan, mereka memberi entuhan mereka sendiri.
"Dengan lagu-lagu itu kami gunakan inspirasi acapella untuk mengubah suai susunan lagu itu dan mempersembahkan satu persembahan yang mungkin disukai orang ramai.Kami akan mencuba menggunakan harmoni-harmoni yang unik yang mungkin orang belum pernah dengar online atau daripada persembahan-persembahan di luar sana," kata Encik Haziq.

Beliau berharap orang ramai dapat turun padang dan menyokong acara ARTWALK 2024 tahun ini.
"Harapan saya agar orang ramai memberi peluang kepada anak-anak seni di Singapura. ARTWALK 2024 adalah platform yang menyinari bakat-bakat seni Singapura tempatan," ujarnya.
PENGALAMAN BERJALAN 'LED ME HERE'
Persembahan 'Led Me Here' pula membawa para pelawat 'berjalan-jalan' bersama di daerah Katong-Joo Chiat.
Ia menawarkan satu pengalaman unik di mana para peserta berpeluang mendengarkan kisah-kisah yang menjangkau beberapa dekad, berlatarkan rumah kedai, seni bina dan lukisan-lukisan dinding di kawasan berkenaan.
Ia sesuai untuk remaja berumur 12 tahun ke atas.

"Sebenarnya ianya bermula dengan pengalaman berjalan yang saya reka pada bulan September lalu yang bertajuk, 'Tampines Boy". Jadi dengan itu saya dijemput untuk membuat rekaan yang baharu untuk pesta ARTWALK ini. Dan saya diberi satu cabaran untuk membuat satu rekaan di dalam daerah Katong-Joo Chiat," kongsi Encik Shaifulbahri.
Peserta acara itu akan dibawa ke kawasan dan lorong-lorong yang tidak dikenali ramai dalam daerah Katong-Joo Chiat.

"Saya mengambil "Led Me Here", "membawa saya kembali" ke daerah Katong -Joo Chiat sebagai inspirasi. Saya ingin membuat satu rekaan dari persepsi seorang milennial tentang gentrifikasi, tentang bangunan-bangunan warisan yang mungkin telah hilang, perubahan-perubahan yang telah terjadi kepada daerah Katong-Joo chiat ini," kata Encik Shaifulbahri.
Tambahnya, antara cabarannya adalah keselamatan para peserta.

Terdapat pelbagai lagi pengalaman, pameran, karya seni dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh anda nikmati seisi keluarga di ARTWALK 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.