Dua anugerah baru dilancarkan bagi sektor kesenian & warisan Melayu
Dua anugerah baru dilancarkan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) hari ini (3 Apr) bagi sektor kesenian dan warisan Melayu.
SINGAPURA: Dua anugerah baru dilancarkan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) hari ini (3 Apr) bagi sektor kesenian dan warisan Melayu.
Hadiah Warisan dan Tunas Warisan itu, diumumkan oleh Pengerusi MHF, Dr Norshahril Saat, semasa siri perbincangan awam Sembang Ilmu - yang diadakan hari ini di auditorium Pusat Warisan Melayu (MHC).
Anugerah itu bertujuan untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh para pengamal dan aktivis kesenian dan kebudayaan dalam pembangunan masyarakat serta negara.
Dalam masa yang sama, anugerah itu mahu menggalak kajian dan dokumentasi bagi memperdalam pemahaman dan penghargaan kepada kesenian dan budaya yang menjadi tunjang warisan Melayu.
Ia sejajar dengan usaha-usaha MHF untuk membangunkan keupayaan dan memupuk bakat-bakat pemimpin, duta dan pejuang kebudayaan bagi generasi akan datang.
APAKAH HADIAH WARISAN & TUNAS WARISAN?
Hadiah Warisan bernilai S$3,500 adalah anugerah unggul yang mengiktiraf kecemerlangan artistik seseorang pengamal atau aktivis seni.
Ini selain sumbangan dan komitmennya dalam memperkaya amalan, perbincangan dan juga membina pengaruh kepimpinan pemikiran dalam sektor kesenian dan warisan Melayu.
Anugerah Tunas Warisan pula, bernilai S$2,000.
Ia akan diberi kepada pengamal atau aktivis muda seni, yang berusia 35 tahun dan ke bawah, yang pencapaian artistik serta komitmen mereka membezakan diri mereka daripada rakan-rakan sebaya.
Malah mereka juga menunjukkan potensi untuk menjadi generasi pelapis pemimpin kebudayaan dalam sektor kesenian dan warisan.
Para penerimanya digalak supaya menjalankan projek-projek yang akan membantu mengisi jurang pengetahuan sedia ada dan/atau mempertingkat pengaruh kepimpinan pemikiran dalam sektor tersebut.
Hasil daripada projek-projek tersebut akan dikongsi bersama masyarakat menerusi perbincangan awam, forum dan pameran.
Berucap di acara itu, Dr Norshahril berkata pelancaran Hadiah Warisan dan Tunas Warisan diharap dapat menghidupkan semula minat dalam warisan Melayu.
"Hadiah-hadiah itu juga membuka peluang bagi individu-individu dalam sektor kesenian dan kebudayaan yang berminat untuk bertukar-tukar pengetahuan dan menggalak rakan-rakan mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing," kata Dr Norshahril.
BILA ANUGERAH DIBERIKAN?
Anugerah-anugerah itu akan diberikan setiap dua tahun sekali kepada pengamal dan/atau aktivis kesenian dan budaya Melayu.
Bidang-bidang yang menjadi tumpuan adalah:
- Seni visual
- Seni persembahan (misalnya, tarian, teater, bangsawan, dikir barat)
- Arca dan Pemasangan
- Muzik (baik tradisi mahupun kontemporari)
- Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (adat dan tradisi, warisan kulinari, seni dan kraf dan sebagainya)
Para penerima anugerah-anugerah tersebut akan dipilih menerusi proses pencalonan yang dibuka mulai hari ini hingga 3 Julai nanti.
KRITERIA KELAYAKAN
Para calon bagi Hadiah Warisan perlu menyusun wacana atau dokumen-dokumen yang relevan dalam format berikut:
- Kerja-kerja yang sudah diterbitkan (dengan ISDN relevan);
- Video (filem pendek, dokumentari, program televisyen dan sebagainya) yang sudah disiarkan dalam wadah-wadah tempatan, serantau atau antarabangsa atau dipaparkan di pesta-pesta filem tempatan, serantau atau antarabangsa.
Pengiktirafan dan/atau pencalonan anugerah dalam wadah-wadah tersebut adalah satu kelebihan namun bukan syarat kelayakan;
- Kerja-kerja tersebut mestilah sudah diterbitkan antara 1 Januari 2017 dengan 31 Disember 2019 dalam bahawa Inggeris atau Melayu.
- Bagi anugerah Tunas Warisan, kriteria kelayakannya seperti berikut:
- Seorang pengamal atau aktivis seni yang aktif menyumbang dalam sektor kesenian dan warisan sekurang-kurangnya lima tahun;
- Berusia 35 tahun dan ke bawah;
- Menunjukkan potensi kepimpinan.
Pemenangnya akan diumumkan semasa suku keempat tahun kewangan ini nanti.
Perincian anugerah tersebut dan proses pencalonannya juga boleh diperolehi menerusi laman MHF.
Perincian itu juga boleh diperolehi menerusi satu sesi perkongsian pada pukul 5.30 petang, 9 April nanti menerusi platform Zoom.
Pendaftaran perlu dibuat terlebih dahulu di pautan ini atau imbas sahaja kod QR berikut:
Syarikat-syarikat korporat, pertubuhan lain atau orang awam juga boleh menyokong inisiatif itu dengan membuat sumbangan derma kepada Dana Hadiah Warisan (HWF) menerusi Pay Now UEN: 199904358R.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.