Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua anak muda SG kongsi suasana di sekitar London & Durham

Dua mahasiswa Singapura di UK teruja dapat alami kemeriahan sempena istiadat Kemahkotaan Raja Charles III.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dua mahasiswa Singapura di UK teruja dapat alami kemeriahan sempena istiadat Kemahkotaan Raja Charles III.

Mahasiswa Sekolah Ekonomi London (LSE), Zulhilmi Zulkiffli lebih bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri dengan lebih dekat lagi perarakan, warna-warni dan kemeriahan istiadat itu di sekitar Istana Buckingham

Beliau dan rakan-rakannya enggan melepaskan peluang keemasan itu untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

SUASANA DI SEKITAR ISTANA BUCKINGHAM

Mahasiswa berusia 23 tahun itu juga sempat berkongsi pengalamannya dengan BERITAmediacorp.

"Suasananya agak meriah, meskipun cuaca mendung dan hujan gerimis," ujarnya.

(Gambar: Zulhilmi Zulkifli)

Menurutnya lagi, ramai rakyat Britain berkumpul di pekarangan Istana Buckingham dan mengibarkan bendera dan mengenakan pakaian yang menarik berwarna-warni.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan dan Encik Zulhilmi sempat mengunjungi gerai-gerai makan di kawasan sekitar Istana Buckingham.

MAHASISWA SG ANGGAP IA SUATU PELUANG KEEMASAN

Bagi rakyat Singapura di Britain yang tidak berpeluang ke kawasan Istana Buckingham, mereka juga meraikannya dengan cara tersendiri.

Antaranya ialah mahasiswa jurusan undang-undang tahun ketiga di Universiti Durham, Herman Putra Khalid.

Dengan peperiksaan yang bakal menjelang, beliau dan rakan-rakan hanya dapat menonton upacara itu menerusi televisyen di kolej mereka yang terletak di bahagian timur laut England.

(Gambar: Herman Putra Khalid)

Bagi memeriahkan lagi sambutan, jamuan khas disediakan dan ruang-ruang di kolej itu turut dihias indah.

"Suasananya tidak seperti di London di mana upacara kemahkotaan diadakan. Di Durham, suasananya memang kita dapat rasa kebanggaan dan juga kegembiraan rakyat jelata. Cuma kebanyakan di sini akan menonton upacara di kaca TV," kata Herman.

Bagi Herman sendiri, beliau teruja dapat merasakan sendiri pengalaman meraikan detik bersejarah bersama rakyat Britain.

"Saya rasa amat bertuah kerana ini adalah satu peluang keemasan yang saya rasa pengalaman ini adalah satu kejadian yang berlaku sekali dalam seumur hidup dan saya berada di tengah-tengah perayaan ini," tambahnya.

(Gambar: Herman Putra Khalid)

SAMBUTAN KEMAHKOTAAN RATU ELIZABETH II DI SG PADA 1953

Dalam negara pula, ada juga yang teruja dapat raikan upacara itu buat kali kedua dalam jangka masa tujuh dekad.

Antaranya ialah sasterawan negara, Nadiputra yang pernah sama-sama meraikan istiadat Kemahkotaan Ratu Elizabeth II pada 1953.

Ketika itu, beliau berusia lapan tahun dan menuntut di Sekolah Rendah Telok Kurau.

Kemeriahan sambutan itu di Singapura masih lagi segar dalam ingatannya.

"Pada ketika itu kita nyanyi lagu ‘God Save The Queen’ lagu kita meraikan di sekolah juga. Sebab itu pada hari ketika itu kita masih di bawah jajahan British. Saya pernah lihat kebetulan bukan kerana nak pergi tengok acara kemahkotaan, perayaan macam sekarang kalau dikatakan kalau dekat Orchard Road, Chingay tapi tidaklah sebesar Chingay tapi ada macam ada perarakan kemahkotaan," kongsi Nadiputra.

Beliau juga gembira dapat menyaksikan istiadat kemahkotaan itu sekali lagi, kali ini buat Raja Charles III menerusi televisyen dan wadah media sosial hari ini (6 Mei).

"Walaupun saya pada zaman itu lapan tahun sekolah saya dapat juga merasakan pengalaman atau pemerintahan British itu dalam Singapura dan juga rasa aura persekolahan itu amat berbeza dengan apa yang kita telah lalui sekarang," ujarnya.

British menamatkan pemerintahannya selama 144 tahun ke atas Singapura pada tahun 1958.

Sumber : BERITA Mediacorp/IA/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan