DSA diteruskan dengan penyesuaian kaedah penilaian sewaktu pandemik COVID-19: Ong Ye Kung
Proses Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) tahun ini akan diteruskan, dengan beberapa penyesuaian kepada cara sekolah-sekolah menilai para pelajar di tengah-tengah langkah jarak selamat COVID-19, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Mei).
SINGAPURA: Proses Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) tahun ini akan diteruskan, dengan beberapa penyesuaian kepada cara sekolah-sekolah menilai para pelajar di tengah-tengah langkah jarak selamat COVID-19, kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Mei).
Memberi respons kepada soalan di Parlimen berhubung topik itu, Encik Ong berkata sekolah-sekolah akan menerima permohonan antara pertengahan Mei dengan awal Jun, serupa dengan tahun-tahun sebelumnya.
"Namun, perlu ada beberapa penyesuaian kepada cara sekolah-sekolah menilai para pelajar," beliau menambah.
DSA bagi sekolah menengah membenarkan para pelajar Darjah 6 membuat permohonan ke beberapa sekolah sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Beliau menambah, sedang MOE berusaha untuk mengekalkan jumlah penempatan DSA sama seperti tahun lalu, kaedah pemilihan tradisional seperti ujian dan ujibakat perlu diubah disebabkan oleh langkah jarak selamat, kata Encik Ong.
Sekitar 3,500 pelajar diterima masuk menerusi DSA tahun lalu.
Sebaliknya, sekolah-sekolah akan menjalankan temu bual menerusi persidangan video, katanya.
Bagi "memastikan peluang sama rata dengan penetapan dan peralatan yang sama' bagi temu bual maya, para pelajar akan ke sekolah rendah masing-masing untuk menjalani temu bual secara maya.
"Sesi-sesi demikian akan dijalankan dari awal Julai hingga pertengahan September, oleh itu ada masa beberapa bulan lagi, dan ia akan dijadualkan dan dijarakkan bagi mengelakkan pergaulan antara pelajar," jelas Encik Ong.
"Sekolah-sekolah boleh juga mengadakan uji bakat maya yang ringkas dengan cara yang sama, bagi kategori seni seperti menyanyi, menari atau drama."
Dengan penggantungan pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan dan tiada ujian pemilihan, sekolah-sekolah menengah "perlu memberikan lebih pengiktirafan kepada bakat, potensi, minat dan perwatakan pelajar" menerusi rekod pencapaian sekolah dan permohonan DSA online mereka, tambahnya.
"Sekolah-sekolah akan melihat pada dedikasi yang ditampilkan oleh para pelajar kepada satu sukan dan sikapnya terhadap latihan, meskipun tanpa penempatan di pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan.
"Ini bukan perkara baru, tetapi jika keadaan tahun ini memaksa sekolah-sekolah untuk menilai semula definisi seorang ahli sukan yang baik, saya rasa ia bukan satu hasil yang buruk sama sekali. Setiap sekolah perlu menentukan bagaimana ia mahu menilai seorang pelajar dan lakukannya secara konsisten dan adil."
Sekolah-sekolah rendah akan "meningkatkan usaha" bagi menggalakkan para pelajar dengan keupayaan dan potensi, terutama sekali "mereka dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan" untuk membuat permohonan.
"Ini bagi memastikan para pelajar daripada latar belakang kurang bernasib baik mempunyai peluang sama rata untuk mengakses DSA," kata Encik Ong, sambil menambah Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengumumkan butiran lanjut pada satu tarikh kelak.
"Atas sebab COVID-19, kelas-kelas biasa dan kaedah penilaian dan pemilihan DSA yang telah diuji cuba tidak lagi terpakai. Namun daripada menghambat pembaharuan pendidikan kami, ia menggariskan kepentingannya dan menjadi pendorong untuk terus bertahan," katanya.
Beliau menambah bahawa penerimaan terhadap alat pembelajaran online dan keupayaan di semua sekolah "tidak sama rata" sebelum pandemik dan dengan semua orang "terpaksa" melalui pembelajaran di rumah, ia membantu mengatasi masalah itu "hampir semalaman".
"Kami ingin memberi lebih tumpuan terhadap Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan dan terutama sekali pendidikan moral, dan COVID-19 memberikan kami banyak pengajaran penting. Dengan cara yang sama, kami secara bertahap-tahap sudah mengurangkan penekanan berlebihan terhadap peperiksaan dan markah dalam sistem sedia ada.
"Kini, COVID-19 memaksa kami untuk menggunakan lebih banyak kaedah penilaian alternatif dan lebih bersungguh-sungguh dalam membuat keputusan tentang potensi dan perwatakan seorang pelajar. Pembaharuan pendidikan lantas akan diteruskan. Begitu juga dengan DSA, dan lebih-lebih lagi pada tahun ini."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.