Skip to main content

Singapura

Dron akan digunakan di 6 kolam air bagi pemantauan

Dron akan digunakan di enam kolam air dari hujung Mei, untuk memantau mutu air dan juga kegiatan seperti penangkapan ikan secara haram, menurut agensi air kebangsaan PUB pada Khamis (27 Mei) dalam satu kenyataan media.

Anggaran Waktu Membaca:
Dron akan digunakan di 6 kolam air bagi pemantauan

Dron pemantauan di kolam-kolam air Singapura (Gambar: PUB)

Diterbitkan : 27 May 2021 04:22PM Dikemas Kini : 27 May 2021 04:25PM

SINGAPURA: Dron akan digunakan di enam kolam air dari hujung Mei, untuk memantau mutu air dan juga kegiatan seperti penangkapan ikan secara haram, menurut agensi air kebangsaan PUB pada Khamis (27 Mei) dalam satu kenyataan media.

Ini menyusuli kejayaan beberapa percubaan yang dilakukan bersama ST Engineering tahun lalu di kolam-kolam air tersebut.

Dron-dron itu, yang menggunakan sistem operasi ST Engineering, DroNET, akan dikerahkan di Kolam Air MacRitchie dan Kolam Air Marina dahulu. Alat-alat itu akan dilancarkan secara bertahap-tahap ke kolam air Serangoon, Kranji, Lower Seletar dan Lower Peirce lewat tahun ini.

PUB menyatakan setiap kolam air akan mempunyai satu dron.

Di kolam air MacRitchie dan Marina, dron-dron akan ditempatkan dalam sebuah tempat letak dron automatik, dan berupaya berlepas dan mendarat secara automatik. Alat-alat itu akan memulakan laluan penerbangan yang telah ditetapkan di dalam kawasan kolam air, dan akan dipantau dari jarak jauh oleh pengendali.

Dron tersebut dapat meninjau dengan meluas kawasan kolam air dan mengumpulkan data yang menyeluruh, serta diprogramkan khusus untuk memantau mutu air, jelas PUB dalam kenyataannya.

Dilengkapi dengan sistem pengesanan jarak jauh dan sebuah kamera untuk analitik video pada masa nyata, dron itu boleh menganalisa air untuk kekeruhan dan kepekatan alga. Para pegawai PUB akan dapat memantau data statistik dan penstriman video langsung dari dron itu melalui papan pemuka online.

Sekiranya perlu, PUB menyatakan para pegawai akan dikerahkan ke lokasi untuk mengumpulkan sampel air untuk analisa lanjut di makmal.

Dron juga berupaya mengenal pasti tumbuhan akuatik dalam kolam air. Sekiranya ia mengesan sesuatu di luar kebiasaan, seperti pertumbuhan berlebihan, para pegawai akan diberi amaran.

Selain itu, dron juga diprogram untuk mengesan kegiatan seperti penangkapan ikan secara haram di kolam air atau kesesakan bot di sebuah kawasan tertentu. Apabila kegiatan seperti itu dikesan, dron boleh menghantar amaran "hampir pada masa nyata" ke saluran Telegram khas yang dapat diakses oleh para pegawai melalui telefon bimbit mereka.

Pegawai kemudian akan dapat mengutamakan kes-kes mendesak yang menimbulkan potensi bahaya kepada orang ramai dan bertindak balas tepat pada masanya, tambah PUB.

Buat masa ini, tugas-tugas ini kebanyakannya dijalankan oleh para pegawai PUB semasa melakukan rondaan harian, yang mengambil masa 7,200 jam setahun.

Memanfaatkan dron tanpa pemandu boleh mengurangkannya sebanyak sekitar 70 peratus dan PUB menjangkakan penjimatan masa sekitar 5,000 jam.

"Dengan dron, kami dapat menyalurkan tenaga kerja ke tugas-tugas yang lebih penting seperti pemeriksaan dan penyenggaraan empangan kolam air, serta operasi pam dan injap," kata Encik Yeo Keng Soon, pengarah jabatan tadahan dan saluran air PUB.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita