Skip to main content

Singapura

Drama bersiri terbaharu Mediacorp Yes Captain! bawa penonton selami realiti kehidupan pegawai penjara, banduan

Anggaran Waktu Membaca:
 Drama bersiri terbaharu Mediacorp Yes Captain! bawa penonton selami realiti kehidupan pegawai penjara, banduan

Yes Captain! mengikuti tiga pegawai yang baru memulakan tugas yang dibintangi Zhin Sadali, Tasha Low dan Clement Yeo (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 06:28PM Dikemas Kini : 07 Aug 2026 10:15PM
SINGAPURA: Drama Inggeris terbaharu Saluran 5 Mediacorp, Yes Captain!, mengajak para penonton mengintai realiti di sebalik tembok penjara.

Dirakam di Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), drama bersiri 65 episod itu mengikuti perjalanan tiga pegawai penjara yang baru memulakan tugas, menjalani kehidupan sebagai pegawai penjara serta menelusuri kisah percintaan dan keluarga mereka.

SYARIKAT PENERBITAN BEKERJASAMA RAPAT DENGAN SPS PAPAR REALITI SEBENAR

Untuk menjayakan drama terbitan Ochre Pictures itu, pihak penerbitan serta para pelakon bekerjasama rapat dengan pihak SPS demi memastikan para pegawai penjara dan juga banduan digambarkan setepat mungkin.

"Dalam pembangunan skrip, SPS memberikan pandangan bagi memastikan ketepatan dari segi operasi, prosedur pembetulan, tatakelakuan pegawai, penggunaan istilah dan amalan institusi. Keputusan kreatif berkaitan penceritaan, pembangunan watak dan keseluruhan jalan cerita pula kekal di bawah tanggungjawab pihak penerbitan.

Pegawai penjara perlu sentiasa bersikap profesional serta melayan banduan secara tegas dan adil. Dalam drama ini, penonton dapat melihat bagaimana pegawai penjara berinteraksi dengan banduan dan membina hubungan baik dalam persekitaran pemulihan iaitu sesuatu yang biasanya tidak dapat disaksikan oleh orang ramai," jelas ASP Nor Yusdzaidie Bagio.
Related article image
ASP Nor Yusdzaidie Bagio (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Menurut penerbit eksekutif Jean Yeo, pihak penerbitan mengambil masa lebih setahun untuk membuat kajian melalui temubual bersama pegawai penjara, banduan dan pakar psikologi, serta menyertai Sekolah Penjara dan mengambil bahagian dalam serbuan penjara.

"Seorang pegawai penjara kanan memberitahu saya, "(Pekerjaan sebagai pegawai penjara) bukan untuk menahan (banduan) di dalam; ia untuk membantu mereka keluar." Saya rasa itulah semangat yang unik kepada SPS dan saya rasa itu sesuatu yang saya ingin gambarkan. Yang lagi satu saya harap penonton akan raih daripada menonton drama ini ialah mereka akan lebih berbelas kasihan untuk menyedari bahawa para banduan sama seperti kita," ujar penerbit eksekutif Jean Yeo.
Related article image
Penerbit eksekutif Jean Yeo (paling kiri) bersama para pelakon Yes Captain! dalam acara media pada Rabu (5 Ogos) (Gambar: Mediacorp)
ZHIN SADALI MENYANDANG WATAK UTAMA DALAM DRAMA INGGERIS BUAT KALI PERTAMA

Tiga pegawai yang baru memulakan tugas dalam drama tersebut dibintangi Zhin Sadali sebagai 'Sani', Tasha Low sebagai ' Charlize' dan Clement Yeo sebagai 'Kheng'.

Ini merupakan kali pertama Zhin yang memenangi anugerah Artis Harapan Terbaik di Pesta Perdana 2025, menyandang watak utama dalam drama Inggeris.
Related article image
Zhin Sadali melakonkan watak 'Sani' dalam drama Yes Captain! (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
"Persiapannya agak rumit kerana watak saya sebagai seorang pelakon dan juga watak saya yang sebenar itu agak berbeza. Saya buat banyak kajian, saya berbual dengan para warden dan juga pegawai di mana saya harus belajar cara mereka pegang baton, cara mereka berinteraksi dengan para banduan. Jadi, dari situ, saya belajar sedikit demi sedikit tapi yang paling penting ialah saya harus memahami dan mendalami watak Muhammad Sani itu kerana wataknya itu agak berat, (jadi) saya harap saya dapat membawanya dengan penuh keyakinan," kongsi beliau.

Tayangan pertama Yes Captain! akan disiarkan di mewatch dan Saluran 5 pada Ahad (9 Ogos), 8.35 malam, selepas siaran Perbarisan Hari Kebangsaan.

Bagi episod-episod seterusnya, drama tersebut akan disiarkan di kedua-dua platform setiap Isnin hingga Khamis pada jam 8.30 malam.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita