Skip to main content

Singapura

Dram dibenarkan dalam perarakan Thaipusam tahun ini: Polis

Buat pertama kalinya sejak 1973, para penganut yang menyertai acara Thaipusam tahun ini, dari Ahad (20 Jan) hingga Isnin, dibenarkan memainkan alat-alat genderang, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Anggaran Waktu Membaca:
Dram dibenarkan dalam perarakan Thaipusam tahun ini: Polis

Acara Thaipusam di Singapura pada 31 Jan 2018. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 16 Jan 2019 10:48PM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 10:53PM

SINGAPURA: Buat pertama kalinya sejak 1973, para penganut yang menyertai acara Thaipusam tahun ini, dari Ahad (20 Jan) hingga Isnin, dibenarkan memainkan alat-alat genderang, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Di bawah peruntukan baru, para penyanyi dan pemuzik berlesen akan dibenarkan untuk mengiringi perarakan Thaipusam sambil memainkan alat-alat genderang. Alat-alat muzik itu bagaimanapun perlu didaftar dengan Lembaga Endowmen Hindu (HEB).

Muzik boleh mula dimainkan dari jam 7.00 pagi, sejam lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya, sehingga jam 10.30 malam.

Rakaman muzik boleh dimainkan di 35 tempat, berbanding 23 pada tahun lalu. Permainan muzik secara langsung akan diadakan di tiga tempat.

"Polis bekerjasama rapat dengan HEB untuk memudahkan lagi acara Thaipusam sepanjang beberapa tahun lalu sambil mengambil kira kelakuan para peserta sebelum ini dan menilai sama ada mereka mematuhi peraturan-peraturan atau mencetuskan masalah keselamatan mahupun mengganggu ketenteraman awam.

"Peruntukan-peruntukan baru ini diperkenalkan sebagai respons kepada maklum balas yang diterima HEB," menurut polis.

Larangan bermain alat muzik sepanjang jalan perarakan itu diperkenalkan pada 1973, kerana terdapat kebimbangan tentang kelakukan tidak terkawal pada masa lalu.

Sejak itu peraturan dilonggarkan secara bertahap-tahap dari 2011 dan para peserta dibenarkan menyanyikan lagu-lagu keagamaan mereka sepanjang perarakan jika tiada alat pembesar suara digunakan. Rakaman muzik mula dibenarkan dimainkan di tempat-tempat yang diperuntukkan pada 2012.

Pada 2016, muzik dibenarkan dimainkan secara langsung setelah sesi maklum balas diadakan dengan masyarakat Hindu, dengan ramai mengatakan bahawa muzik penting bagi perarakan itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita