Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Draf Perancangan Daerah Bersejarah Kampong Gelam didedahkan; orang ramai dipelawa kongsi pandangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persekutuan Kampong Gelam (KGA) mendedahkan Draf Perancangan bagi daerah bersejarah itu hari ini.

Ia akan menjadi panduan bagi pembangunan kawasan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Usaha itu dilakukan bagi memastikan Kampong Gelam terus relevan dan berdaya tahan untuk setiap generasi.

Ia menjadi lebih penting berikutan pandemik yang menjejas banyak kegiatan dan perniagaan di situ.

(Gambar: Lembaga Warisan Negara)

Dalam draf perancangan itu, KGA mencadangkan beberapa inisiatif untuk memelihara, menggalak dan meraikan budaya dan masyarakat dalam Kawasan Bersejarah Kampong Gelam.

Ia termasuk program-program yang dilakarkan untuk memperkaya ciri sosio-budaya daerah itu.

"Saya gembira dengan adanya rancangan yang dilakarkan oleh pihak-pihak berkepentingan di Kampong Gelam ini di mana syarikat-syarikat dan juga mereka yang pernah tinggal di sini mereka sama-sama mahu menitikberatkan bagaimana kita boleh menjaga warisan ini," kata Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Juga bagaimana selagi kita membangun, kita masih mengekalkan budaya warisan Kampong Gelam," tambah beliau yang juga Penasihat KGA.

Orang ramai dipelawa berkongsi pandangan serta aspirasi dan perubahan yang mereka harap untuk lihat dalam Draf Perancangan itu menerusi tinjauan online di sini sehingga 15 Januari 2023.


(Gambar: Lembaga Warisan Negara)

Usaha ini disokong oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang menyelia dan menyokong pemeliharaan dan pelestarian tempat dalam kawasan bersejarah itu.

Bersama tinjauan itu, mereka juga digalak untuk menghantar poskad maya untuk berkongsi memori terindah mereka di Kampong Gelam.

KGA juga akan mengendalikan lawatan ke beberapa kawasan di Kampong Gelam untuk orang awam pada bulan-bulan akan datang.

Ini membolehkan mereka memberi maklum balas yang lebih mendalam.


(Gambar: Charissa Yang)

"Kita ingin mendapatkan maklum balas dan idea-idea daripada masyarakat umum untuk memberikan ruang bagi kita mengukuhkan lagi perancangan daerah ini jadi ini memberikan ruang untuk kita bekerjasama dengan masyarakat," kata Dr Faishal.

Maklum balas yang dikumpul menerusi penglibatan dengan perniagaan Kampong Gelam, badan budaya dan rakan-rakan masyarakat, akan digunakan untuk memperhalusi Draf Perancangan itu dalam beberapa bulan akan datang.

45 PERNIAGAAN WARISAN DI KAMPONG GELAM DIDOKUMENTASIKAN

Ini di samping dapatan yang akan dikaji menerusi Projek Mendekati Penduduk Kampong Gelam Lembaga Warisan Negara (NHB) yang baru selesai dijalankan.

Ia menghasilkan peta dan mendokumentasi 45 perniagaan warisan di kawasan itu.


(Gambar: Charissa Yang)

"Ini adalah satu pendekatan yang sangat bermakna kerana kita tahu kita sering ke kedai-kedai untuk makan, untuk membeli barangan tetapi kita tidak tahu apakah sejarahnya. Jadi dengan adanya pendekatan ini, ia memberi kita maklumat dan memberi ruang bagi perniagaan-perniagaan warisan ini untuk terus bangun," kata Dr Faishal.

"Kami mahukan mereka bangun supaya mereka menjadi satu perniagaan dan juga satu identiti yang boleh kita banggakan di Singapura," tambahnya lagi.

RUMAH MAKAN MINANG ANTARA PERNIAGAAN WARISAN YANG TERLIBAT

(Gambar: Lembaga Warisan Negara)

Antara perniagaan warisan yang mengambil bahagian adalah Rumah Makan Minang.

"Ini dapat memupuk semangat patriotisme dalam diri setiap individu, dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu untuk membentuk Kampong Gelam sebagai tempat kegemaran yang dekat dengan hati kita secara proaktif," kongsi Pengurus Operasi Rumah Makan Minang, Cik Nur Syahidah.

"Ia juga sebuah kawasan warisan yang kaya dengan budaya dan seni Melayu. Harapan saya ialah supaya ia tidak pupus dimakan zaman dan dapat dilihat generasi masa hadapan," tambahnya lagi.

Di samping itu, Cik Syahidah juga berharap sumber daripada projek itu dapat "mengaktifkan rukun tetangga" dengan masyarakat saling mempelajari dan menghormati antara satu sama lain.

45 RELAWAN BANTU KUMPUL CERITA DAN PENGALAMAN PERNIAGAAN WARISAN


(Gambar: Charissa Yang)

Projek rintis itu juga melibatkan 47 relawan yang menjalani latihan dan mendekati beberapa perniagaan warisan untuk mengumpul cerita dan pengalaman mereka dan bagaimana mereka menyumbang kepada identiti budaya Kampong Gelam sepanjang beberapa dekad.

Antara relawan itu ialah Encik Fuad Johari.

"Selepas saya melibatkan diri dalam projek ini, saya mendapat tahu lebih banyak tentang sejarah, bukan sahaja sejarah Kampong Gelam tetapi sejarah keluarga saya sendiri," kongsi Encik Fuad yang mendapati keluarganya ada kaitan dengan peniaga yang beliau temui.

"Harapan saya ialah terutama untuk nama-nama perniagaan warisan ini dimasyurkan di Singapura dan juga di rantauan kita ini kerana perniagaan ini semua telah banyak berjasa kepada Singapura dan kepada Kampong Gelam," tambahnya lagi.

Sebuah peta digital yang menandakan lokasi-lokasi perniagaan warisan itu boleh didapatkan di portal Lembaga Warisan Negara (NHB) yang boleh dilungsuri orang awam.

Dapatan daripada projek itu juga akan menyumbang kepada pembentukan dan pelaksanaan Perancangan Daerah Bersejarah Kampong Gelam.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan