Draf Pelan Induk URA: Kesannya pada kehidupan anda
Berikut ini perincian utama Draf Pelan Induk URA dan kesannya terhadap cara anda hidup, bermain dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di Singapura.
SINGAPORE: Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (27 Mac) melancarkan sebuah Draf Pelan Induk, iaitu sebuah pelan bertindak yang melakarkan rancangan Pemerintah bagi kegunaan tapak-tapak tanah untuk tempoh 10-15 tahun akan datang.
Berikut ini perincian utama pelan induk tersebut dan kesannya terhadap cara anda hidup, bermain dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di Singapura.
PERUMAHAN BARU
Lebih banyak rumah akan dibangunkan di Daerah Pusat Bandar (CBD) dan kawasan Marina Bay. Ini demi menambah jumlah penduduk di kawasan yang kebanyakannya menempatkan pejabat, agar dapat menyuntik tenaga ke kawasan itu di luar waktu pejabat.
Keppel Club akan dibangunkan semula bagi perumahan di pesisiran selepas tempoh pajakan sedia ada luput pada 2021.
Perumahan baru di Farrer Park akan membolehkan lebih ramai pembeli rumah tinggal berdekatan dengan bandar. Rumah-rumah baru di Queensway dan Tanglin Halt juga bakal dibangunkan.
Lebih banyak perumahan awam juga dirancang di Dakota Crescent di sekitar enam blok yang dikekalkan di bawah Syarikat Singapore Improvement Trust.
Perumahan awam dan privet dirancang di persisiran di kawasan Bayshore yang 'kurang kereta' (car-lite).
LEBIH KEHIJAUAN
Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, sekitar 1,000 hektar kawasan hijau - kawasan simpanan, taman-taman dan penghubung taman - akan ditambah untuk memperluaskan lagi kawasan hijau berukuran 7,800 hektar yang sedia ada di sini.
Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih daripada 90 peratus keluarga tinggal berdekatan dengan taman.
Singapura juga boleh menjangkakan penyambung taman sepanjang 400 kilometer (km) dalam tempoh 15 tahun akan datang.
RUANG MASYARAKAT DAN KETERSAMBUNGAN LEBIH BAIK LAGI
Robinson Road bakal diubah menjadi koridor yang mengutamakan pengangkutan awam dan pergerakan mobiliti aktif. Sebagai contoh, lebih banyak ruang mungkin diperuntukkan untuk laluan bas, basikal dan pejalan kaki.
Menjelang 2021, semua bangunan di kawasan Downtown akan terletak dalam lingkungan 10 minit berjalan kaki dari sebuah stesen MRT.
Bagi mereka yang lebih gemar berbasikal, rangkaian basikal sepanjang 22km yang sedia ada akan dilanjutkan sepanjang 5km di kawasan Central.
Racecourse Singapura pula akan dijadikan tempat tumpuan bagi kegiatan-kegiatan mesra keluarga.
Pembangunan projek Greater Southern Waterfront seluas 2,000 hektar dari Pasir Panjang ke Marina East dijadual bermula dalam lima hingga 10 tahun akan datang. Kawasan Pasir Panjang/Labrador dijadikan satu pusat persisiran. Pencawang 230kV bawah tanah pertama Singapura juga akan dibangunkan bersebelahan stesen MRT Labrador Park.
Kawasan Tenaga Pasir Panjang (Pasir Panjang Power District) pula akan diubah menjadi satu destinasi warisan dan gaya hidup.
Pangkalan Udara Paya Lebar yang akan dipindahkan, bakal membebaskan 800 hektar tanah yang dijangka akan dibangunkan semula menjadi satu bandar perumahan.
MENGEKALKAN WARISAN KITA
Bekas Stesen Bomba Bukit Timah dan Beauty World akan diubah menjadi gerbang bagi tarikan alam sekitar dan warisan berdekatan, seperti Jejak Pesisir ke Pesisir (Coast to Coast Trail), Taman Rifle Range dan Koridor Kereta Api.
Bangunan Stesen Kereta Api Bukit Timah serta bangunan di hadapannya akan dipulihara, diberikan wajah dan kegunaan baru serta dilengkapkan pelbagai kemudahan.
Di Farrer Park, mercu tanda seperti Kolam Renang Farrer Park dan bekas gim tinju akan dikekalkan bagi meraikan warisan kesukanan kawasan itu.
Kawasan seni, budaya dan warisan meliputi Daerah Sivik, Bras Basah, Bugis dan Fort Canning akan diperluas serta diserikan lagi dengan pembaharuan di ruang-ruang awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.