Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob kongsi pengalaman tinjau institusi Islam di AS bagi inisiatif Kolej Islam S'pura

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim sedang mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan Kanada bersama sebuah rombongan dari Singapura untuk mempelajari pelbagai model pendidikan tinggi Islam di institusi-institusi terkenal kedua-dua negara berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob kongsi pengalaman tinjau institusi Islam di AS bagi inisiatif Kolej Islam S'pura

Profesor Madya Munir Jiwa, Dr Yaacob Ibrahim dan Dr Albakri Ahmad di Pusat Pengajian Islam GTU. (Gambar: Yaacob Ibrahim/Facebook)

SAN FRANCISCO: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim sedang mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan Kanada bersama sebuah rombongan dari Singapura untuk mempelajari pelbagai model pendidikan tinggi Islam di institusi-institusi terkenal kedua-dua negara berkenaan.

Dalam satu catatan Facebook pagi ini (15 Dis), Dr Yaacob, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan menyatakan bahawa mereka sudahpun mengunjungi Kolej Zaytuna, Kesatuan Teologi Graduan (GTU) dan Universiti Stanford di California.

Dr Yaacob yang diiringi oleh para pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) termasuk Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad berkongsi beberapa pelajaran yang ditimba dalam lawatan-lawatan mereka sejauh ini.

Antaranya ialah, cara Kolej Zaytuna, iaitu Kolej Sastera Liberal Muslim pertama di Amerika Syarikat menggabungkan pengajian Islam dengan subjek-subjek moden melalui pendekatan silang disiplin bagi program mahasiswa mereka.

Selain itu, Dr Yaacob yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, mengadakan pertemuan dengan Profesor Madya Munir Jiwa, Pengarah Pengasas Pusat Pengajian Islam dan Antropologi yang berkongsi tentang pendekatan silang agama di GTU. Beliau menarik perhatian kepada kerjasama cendekiawan daripada pelbagai agama selama ini dalam memajukan ilmu pengetahuan dan pembelajaran.

Dalam pada itu, rombongan tersebut turut mengunjungi Program Abbasi bagi Pengajian Islam, Markaz iaitu pusat sumber bagi para penuntut dan Pusat bagi Masyarakat, Pembelajaran dan Pengalaman Silang Agama (CIRCLES) di Universiti Stanford.

Menurut Dr Yaacob, institusi berkenaan mempunyai jabatan Pengajian Agama yang menyeluruh lantas rombongannya mengadakan lawatan dengan misi mempelajari bagaimana Pengajian Islam dikendalikan dalam program Pengajian Global universiti termasyur itu.

Lawatan Dr Yaacob selama lapan hari itu bermula Sabtu lalu (9 Dis) dan
berlangsung sehingga esok (16 Dis). Rombongan tersebut juga akan melakukan kunjungan ke Universiti McGill di Montreal, Kanada.

Lawatan tinjauan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa Singapura untuk mempelajari pelbagai model di serata dunia demi menyokong usaha masyarakat Islam tempatan dalam menubuhkan sebuah kolej Islam di negara ini.

Kolej Islam Singapura yang dirancangkan itu dijangka mengambil kohort pertamanya seawal tahun 2020.

Pada bulan lalu, Dr Yaacob melawat institusi Islam bagi pendidikan tinggi di Timur Tengah.

Ini termasuk Universiti Al Azhar di Kaherah, Universiti Jordan serta Sains Islam Dunia dan Universiti Pendidikan di Amman bagi mendampingi para pegawai universiti kanan dan cendekiawan terkenal Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan