Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob: "Kepimpinan kolaboratif" diperlukan; serah kepada masyarakat nilai pencapaiannya

Menteri Penerangan dan Perhubungan, Dr Yaacob Ibrahim, yang akan bersara dari kabinet berkata, ciri kepimpinan yang diperlukan di kalangan para pemimpin akan datang, adalah ciri "kepimpinan kolaboratif".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Penerangan dan Perhubungan, Dr Yaacob Ibrahim, yang akan bersara dari kabinet berkata, ciri kepimpinan yang diperlukan di kalangan para pemimpin akan datang, adalah ciri "kepimpinan kolaboratif".

Ini kerana cabaran-cabaran yang dihadapi di peringkat nasional adalah "begitu kompleks" atau rumit.

Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam berkata, kerumitan itu memerlukan bukan seorang menteri, tetapi seluruh pasukan untuk bekerjasama.

Dr Yaacob yang diwawancara semalam menjelang persaraannya daripada jawatan Pemerintah, menekankan bahawa ciri penting yang perlu dimiliki para pemimpin baru adalah berupaya memperolehi kepercayaan dan kerjasama masyarakat.

RADIKALISME ISU PALING MENCABAR DR YAACOB HADAPI

Ditanya pula tentang pencapaian beliau sepanjang 16 tahun menjadi Menteri, Dr Yaacob menjawab, itu untuk masyarakat menilainya dan bukan untuk beliau menilai sendiri.

Pelantikan Dr Yaacob Ibrahim sebagai Menteri Ehwal Masyarakat Islam pada 2002 dibayangi insiden 11 September pada tahun sebelumnya.

Beliau menyifatkan radikalisme sebagai cabaran paling sukar yang pernah diatasinya sepanjang memegang jawatan tersebut.

Apatah lagi, masalah itu juga wujud di kalangan masyarakat Islam tempatan.

"Ada orang-orang Islam yang menjalankan perkara-perkara yang kita tidak inginkan dan saya rasa itu sukar bagi saya dari segi peribadi sebagai orang Islam untuk menerima bahawa ini boleh berlaku. Tapi sebagai pemimpin, saya rasa inilah satu perkara yang kita harus bincang untuk kita fahamkan apakah yang kita harus lakukan di Singapura," kata Dr Yaacob.

DR YAACOB BANGGA DENGAN PENCAPAIAN MELAYU/ISLAM

Bagaimanapun sepanjang kerjaya politiknya, Dr Yaacob yang juga memimpin MUIS dan MENDAKI, melalui detik-detik yang membanggakan.

Beliau berkata kedudukan ekonomi masyarakat Melayu/Islam kini lebih baik.

Jumlah zakat yang dikumpulkan oleh MUIS tahun lalu mencecah $44 juta dolar.

Beliau juga bangga dengan pencapaian pendidikan anak-anak Melayu.

"Dari segi data am, lebih banyak anak-anak Melayu lebih berjaya, bukan hanya dalam bidang-bidang tradisional seperti doktor, jurutera dan peguam tapi di bidang-bidang baru.

"Bidang animasi digital, sains hayat, barah dan sebagainya, kita ada lebih ramai," kongsi Dr Yaacob.

NASIHAT DR YAACOB: KERJASAMA MENTERI DIPERLUKAN

Ditanya apakah nasihat beliau kepada para pemipin generasi baru, Dr Yaacob menekankan pentingnya untuk mereka mendampingi dan memperolehi kepercayaan masyarakat

Kerjasama antara menteri dengan pasukannya juga amat diperlukan.

"Saya rasa salah satu ciri kepimpinan yang akan datang ialah kepimpinan kolaboratif oleh kerana kita tahu bahawa setiap isu itu ada kaitan dengan kementerian yang lain. Jadi ia memerlukan pendekatan berbilang disiplin. Sama juga dengan cabaran-cabaran masyarakat kita. Tidak mungkin saya rasa seorang sahaja yang boleh mengatasinya. Kita harus bekerjasama dengan golongan-golongan lain," dedah Dr Yaacob lagi.

DR YAACOB AKUI "SEDIH"

Dr Yaacob sememangnya merupakan antara pemimpin Melayu/Islam paling lama berkhidmat sebagai Menteri dalam pelbagai portfolio. Ini termasuklah sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Siber.

Setelah begitu lama dalam tampuk kepimpinan, beliau ditanya apa perasaan beliau untuk kini meninggalkannya.

Ini jawapan spontan Dr Yaacob.

"Memang kalau saya kata saya tak rasa sedih, itu saya membohong lah. Memang, oleh kerana saya sudah lama melakukan peranan ini, saya rasa Alhamdulillah dengan sokongan yang ada, saya sedikit sebanyak telah melakukan yang saya rasa penting bagi masyarakat dan negara."

Bagaimanapun Dr Yaacob berkata beliau berharap untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dengan cara-cara lain selepas beliau bersara daripada kabinet.

Namun buat masa ini, beliau berharap untuk berehat dan mengisi masanya dengan membaca. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan