Dr Yaacob: Kanak-kanak perlu digalak membaca dengan minda kritikal
Dr Yaacob Ibrahim berkata mempunyai minda yang kritikal ketika membaca juga penting dalam menilai kandungan bahan bacaan.
SINGAPURA: Ibu bapa perlu memanfaatkan masa bersama anak-anak dengan memupuk tabiat suka membaca dalam diri mereka, di samping merapatkan jalinan antara mereka.
Namun, mempunyai minda yang kritikal ketika membaca juga penting dalam menilai kandungan bahan bacaan.
Menteri Perhubungan dan Penerangan Yaacob Ibrahim berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas sesi bercerita anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), siang tadi.
Beliau berkata: "Dari segi bagaimana kita boleh memupuk tabiat membaca dengan lebih mendalam, ini terpulang kepada ibu bapa di mana kita terus menjalankan program-program di rumah.
"Dan sambil kita membaca, kita boleh mendidik mereka untuk membaca dengan minda yang lebih kritikal. Apakah maklumat yang mereka baca itu baik atau tidak, betul atau tidak. Jadi saya rasa peranan ibu bapa ialah peranan yang penting."
Beliau menambah bahawa dengan kemajuan teknologi dan kewujudan pelbagai platform media secara online mahupun cetak, pelbagai bahan bacaan mudah tersebar luas.
Lantaran itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk selalu menyiasat serta mempersoalkan akan kesahihan apa yang dibaca mereka dan bagaimana ia sesuai dengan cara kehidupan mereka.
Dalam sesi tersebut, Dr Yaacob, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menceritakan kisah "Semut dan Merpati" kepada sekitar 50 kanak-kanak dan ibu bapa mereka selaku tukang cerita jemputan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.