Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Wan Rizal terajui kempen sebar kesedaran tentang kesihatan mental

"Membunuh diri bukan jalan keluar. Setiap nyawa berharga."

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Wan Rizal terajui kempen sebar kesedaran tentang kesihatan mental

Dr Wan Rizal mengadakan pertemuan bersama para individu yang giat menyebarkan kesedaran tentang isu kesihatan mental. (Gambar: Wan Rizal/Facebook)

SINGAPURA: "Membunuh diri bukan jalan keluar. Setiap nyawa berharga."

Demikian tegas Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar Wan Rizal dalam satu catatan Facebook pada Jumaat (10 Sep) sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Beliau menekankan bahawa masyarakat mampu dan perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memberi kesedaran kepada mereka yang bergelumut dengan isu kesihatan mental bahawa ada bantuan tersedia.

Ini lebih-lebih lagi selepas Singapura mencatat kenaikan 13 peratus dalam kes bunuh diri tahun lalu berbanding 2019 dengan 452 insiden bunuh diri di negara kita, menurut laporan Samaritans of Singapore (SOS).

Malah, SOS mendedahkan bahawa bilangan itu adalah yang paling tinggi pernah dilaporkan sepanjang tempoh tujuh tahun sejak 2012.

Lebih membimbangkan lagi, jumlah kematian akibat bunuh diri dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas mencecah 154 kes iaitu peningkatan 26 peratus berbanding 2019 dan yang paling tinggi bagi golongan usia tersebut sejak 1991.

Oleh itu, Dr Wan Rizal mengumumkan bahawa beliau dan rakan AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan mengadakan beberapa dialog bersama masyarakat tentang kesihatan mental sepanjang bulan ini menerusi kempen #452TooMany.

Harapan AP GRC Jalan Besar yang akan memimpin kempen itu adalah untuk "mencetuskan perbincangan dan huraian bagi memecahkan stigma terhadap kesihatan mental dan memupuk kesedaran tentang wadah sokongan yang sedia ada."

Para AP akan disokong oleh Dr Wan Rizal dan Pasukan Penasihat Kesihatan Mental yang akan menyediakan sumber dan kit relevan bagi menjana perbincangan dan huraian berhasil.

Setakat Khamis, 15 AP PAP sudah menyatakan komitmen mereka kepada kempen tersebut termasuk Speaker Parlimen Encik Tan Chuan-Jin, Dr Wan Rizal, Cik Carrie Tan, Encik Derrick Goh, Encik Don Wee, Encik Edward Chia, Encik Fahmi Aliman, Cik Hany Soh, Cik Mariam Jaafar, Cik Rachel Ong, Encik Sharael Taha, Encik Shawn Huang, Cik Tin Pei Ling, Encik Xie Yao Quan dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan