Skip to main content

Singapura

Dr Vivian Balakrishnan usul idea grid tenaga Pasifik yang dihubungkan dengan Australia

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pada Selasa (1 Sep) mengusulkan idea membangunkan grid tenaga Pasifik yang dihubungkan dengan Australia, yang menurutnya boleh memperkukuhkan keselamatan tenaga sambil membolehkan negara-negara meraih manfaat daripada ekonomi bidangan dalam penjanaan tenaga elektrik.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Vivian Balakrishnan usul idea grid tenaga Pasifik yang dihubungkan dengan Australia

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berucap di Mesyuarat Pemimpin Forum Kepulauan Pasifik ke-55 di Koror, Palau, pada 1 Sep 2026. (Gambar: Facebook/Vivian Balakrishnan)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 04:05PM
Berucap di luar Forum Kepulauan Pasifik di Palau, Dr Balakrishnan membandingkan idea itu dengan usaha Asia Tenggara untuk membangunkan Grid Tenaga ASEAN.

Para pemimpin tenaga serantau berkata inisiatif tersebut semakin dilihat sebagai satu keperluan dari segi ekonomi dan keselamatan tenaga.

"Bayangkan suatu hari nanti kita mempunyai grid Pasifik yang dihubungkan dengan Australia," kata Dr Balakrishnan.

"Malah bagi kami di Asia Tenggara, kami sedang berusaha membangunkan Grid Tenaga ASEAN.

"Disebabkan rantau kita terbentang dari timur ke barat, jumlah waktu siang secara keseluruhannya akan melebihi 12 jam. Kita juga akan meraih ekonomi bidangan dan keselamatan – keselamatan tenaga secara kolektif – di seluruh rantau ini," tambahnya.

GRID SALING BERHUBUNG BOLEH KURANGKAN KOS

Tidak seperti Singapura yang menggunakan turbin berkuasa gas untuk menjana tenaga elektrik, Dr Balakrishnan berkata negara-negara Kepulauan Pasifik bergantung kepada diesel bagi penjanaan tenaga elektrik.

Ini menyebabkan kos tenaga di Pasifik lebih tinggi berbanding Singapura, yang menjana sekitar 95 peratus tenaga elektriknya menggunakan gas asli yang diimport, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Namun, sifat negara-negara Kepulauan Pasifik yang kecil dan terpisah-pisah juga bermakna penggunaan gas bukan pilihan yang begitu berdaya maju, kata Dr Balakrishnan.

Oleh itu, grid yang saling berhubung boleh membolehkan tenaga elektrik dijana dengan kos yang lebih berkesan dan dikongsi merentasi kawasan yang lebih luas.

Dr Balakrishnan turut berkata negara-negara Kepulauan Pasifik merupakan "negara lautan besar" yang mempunyai banyak cahaya matahari dan ruang untuk menjana tenaga boleh diperbaharui.

Beliau menyifatkan Australia sebagai "kuasa besar" tenaga boleh diperbaharui dan bakal menjadi rakan bagi grid sedemikian.

PERALIHAN TENAGA BUKAN SEKADAR ISU IKLIM

Dr Balakrishnan berkata gangguan terhadap bekalan tenaga global baru-baru ini mengingatkan bahawa peralihan tenaga bukan sekadar berkaitan perubahan iklim.

Sebaliknya, ia turut melibatkan keselamatan tenaga, daya tahan ekonomi serta memberikan negara-negara kecil "autonomi strategik" dan "kawalan lebih besar terhadap masa depan mereka".

"Ini merupakan cabaran kewujudan bersama bagi kita semua," katanya.

Menurut Dr Balakrishnan, sebahagian besar teknologi yang diperlukan bagi peralihan tersebut sudah tersedia, dan cabarannya kini adalah untuk memastikan aspek ekonomi dan politik dapat dilaksanakan dengan betul.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita