Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Vivian Balakrishnan bertemu pemimpin China; sahkan hubungan kukuh dua hala

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Vivian Balakrishnan bertemu pemimpin China; sahkan hubungan kukuh dua hala

Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan mengadakan pertemuan dengan Ahli Biro Politik Parti Komunis China (CPC) dan Setiausaha Jawatankuasa Perbandaran CPC Beijing Yin Li pada 20 Feb 2023. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar SG)

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan bertemu dengan barisan pemimpin China pada Isnin (20 Feb) semasa rangka lawatannya ke China.

Lawatannya itu sekali gus mengesahkan lagi hubungan kukuh yang terjalin di antara kedua-dua negara itu.

Dr Balakrishnan sedang berada di Beijing dari 19 sehingga 21 Februari, atas undangan rakan sejawatannya dari China, Qin Gang.
Beliau mengadakan pertemuan dengan Ahli Biro Politik Parti Komunis China (CPC) dan Setiausaha Jawatankuasa Perbandaran CPC Beijing Yin Li, pada Isnin.

"Mereka mengesahkan lagi hubungan yang lama terjalin antara Singapura dan China, yang kekal kukuh meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19," menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.

"Mereka berbincang bagaimana Singapura dan Beijing boleh mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk ekonomi, penyelidikan dan inovasi, perancangan bandar serta pertukaran rakyat dan budaya."
Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan bertemu dengan Menteri Jabatan Antarabangsa CDC Liu Jianchao pada 20 Feb 2023. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar SG)
Dr Balakrishnan juga dihoskan dalam satu jamuan tengah hari oleh Menteri Jabatan Antarabangsa CDC Liu Jianchao.

Kedua-dua menteri itu mengesahkan "kerjasama pelbagai aspek antara Singapura dengan China", yang digambarkan oleh bagaimana kedua-dua negara saling menyokong antara satu sama lain semasa pandemik COVID-19 melanda.

Mereka mengalu-alukan usaha yang masih dijalankan dalam menyambung semula interaksi secara fizikal sepenuhnya di kesemua peringkat, termasuk "pemerintah dengan pemerintah, rakyat dengan rakyat dan hubungan parti dengan parti", menurut MFA.

Kementerian itu menambah bahawa interaksi sedemikian memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan memupuk persefahaman bersama.

Dr Balakrishnan dan Encik Liu juga bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai jenis pembangunan antarabangsa, serantau dan domestik, termasuk pentingnya tadbir urus yang baik.
Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan Menteri Luar China Qin Gang. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar SG)
Dr Balakrishnan turut mengadakan perbincangan secara mendalam dengan Encik Qin semasa satu mesyuarat delegasi dan jamuan malam, tambah MFA.

"Para menteri itu menyemak semula kerjasama substantif dan berpandangan ke hadapan antara Singapura dengan China, yang disokong oleh mekanisme dua hala institusi seperti Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala dan tiga projek pemerintah dengan pemerintah di Suzhou, Tianjin, dan Chongqing," jelas MFA.

Mereka juga menyentuh tentang sokongan dua hala yang diberikan kedua-dua negara kepada satu sama lain semasa detik-detik penting pandemik COVID-19.

Kedua-dua menteri itu memperkukuhkan lagi komitmen mereka untuk mempertingkat kerjasama dengan merebut peluang baru bagi pertumbuhan dalam bidang-bidang baru muncul, termasuk ekonomi digital dan hijau.

"Kedua-dua menteri itu menantikan pertukaran peringkat tinggi antara Singapura dengan China tahun ini, yang menandakan ulang tahun Sino-Singapura Tianjin Eco-City yang ke-15."

Di samping itu, Dr Balakrishnan juga mengundang Encik Qin untuk melakukan lawatan rasmi ke Singapura.

Kedua-dua menteri juga menarik perhatian mengenai perkembangan terkini serantau dan antarabangsa. Dr Balakrishnan mengalu-alukan minat berterusan China untuk memperluas dan memperdalam pelibatannya dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Dalam pada itu, mereka menekankan pentingnya untuk mengalakkan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau tersebut, menurut MFA.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan