Dr Tan Cheng Bock tidak akan lagi bertanding dalam Pilihan Raya tapi tetap dalam PSP
Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock bercakap dengan wartawan di Pasar West Coast pada 10 Mei, 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Beliau bagaimanapun akan kekal dalam parti pembangkang itu, katanya kepada para wartawan sebelum melakukan lawatan di West Coast Market Square bersama kira-kira 20 anggota dan sukarelawan PSP, termasuk mereka yang bertanding di GRC West Coast-Jurong West dan SMC Pioneer.
"Hakikatnya, kami tidak mencatatkan prestasi yang baik. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa," tambah Dr Tan.
PSP tidak akan mempunyai wakil dalam Parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kerana keputusan itu bermakna parti tersebut kehilangan kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang disandang oleh Setiausaha Agung PSP Leong Mun Wai dan Naib Pengerusi Pertama Hazel Poa.
Parti itu kalah di semua kawasan undi yang ditandinginya. Ia juga memperoleh perkongsian undi yang lebih kecil di kawasan undi yang ditandingi semula, termasuk GRC West Coast-Jurong West, yang menyaksikan pertandingan paling sengit antara PSP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
"Dan juga untuk menunjukkan kepada mereka yang tidak mengundi kami, kami tidak akan lari. Kami akan kembali tidak lama lagi. Kami akan kembali dalam masa lima tahun," tambahnya.
"Pada masa itu, saya berharap pasukan yang lebih muda akan mengambil alih dan kami berharap orang ramai akan melihat kami dengan cara yang berbeza."
Parti itu tidak sabar untuk melihat bagaimana ia boleh melatih ahli-ahlinya yang lebih muda untuk memahami apa itu politik dan "bagaimana ia mewakili rakyat", tambah Dr Tan.
Beliau bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) kerana berharap dapat membawa lebih ramai anak muda ke Parlimen, katanya sambil menyatakan beliau telah pun menjadi Anggota Parlimen sebelum ini.
"Saya cuba yang terbaik. Saya rasa mungkin mereka fikir kami belum bersedia. Tetapi tidak mengapa, kerana jika Parti Pekerja (WP) mengambil masa kira-kira 60 tahun untuk mendapatkan 10 kerusi, saya memberitahu mereka, jangan patah semangat," kata Dr Tan.
Encik Leong mengulangi mesej Dr Tan, dengan berkata: "PSP tidak akan lari. Kami akan meneliti prestasi kami dan kembali tidak lama lagi."
"Buat masa ini, kami tidak boleh berkongsi banyak kerana kami masih mengadakan perbincangan dalaman. Apabila kami bersedia kelak, kami berjanji akan memberikan pembentangan penuh kepada anda semua tentang apa yang akan dilakukan oleh PSP," katanya.
Para wakil parti enggan menjawab soalan lanjut, setakat menukil jadual padat mereka untuk sepanjang hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.