Skip to main content

Singapura

Dr Rohana ingin wakili bukan saja pandangan hawa, malah juga belia dalam membentuk fatwa

Sehingga usianya 19 tahun, Ustazah Dr Rohana Ithnin menghadiri sebuah sekolah Katolik.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Rohana ingin wakili bukan saja pandangan hawa, malah juga belia dalam membentuk fatwa

Dr Rohana Ithnin dilantik menjadi anggota penuh Jawatankuasa Fatwa MUIS. (Gabar: TODAY)

Diterbitkan : 05 Oct 2019 03:06PM Dikemas Kini : 05 Oct 2019 03:35PM

SINGAPURA: Sehingga usianya 19 tahun, Ustazah Dr Rohana Ithnin menghadiri sebuah sekolah Katolik.

Kini, beliau dilantik ke Jawatankuasa Fatwa, sebuah badan di bawah MUIS yang mengeluarkan panduan keagamaan untuk membantu warga Muslim setempat menjalankan kehidupan sebagai masyarakat moden mengikut prinsip-prinsip Islam.

Sebagai wanita pertama dilantik menjadi anggota penuh jawatankuasa tersebut, Dr Rohana berkata beliau berharap untuk mewakili bukan sahaja pandangan kaum hawa tetapi juga golongan muda.

Seorang guru agama selama 30 tahun, wanita tangkas berusia 56 tahun itu sudah banyak berinteraksi dengan warga Muslim muda berkenaan pelbagai topik seperti isu lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) serta radikalisasi online oleh kumpuluan-kumpulan pengganas.

Beliau dilihat sebagai seorang pakar dalam isu-isu belia dalam kalangan masyarakat Muslim setempat. Tahun lalu, Dr Rohana mengendalikan sebuah kelas mengenai isu LGBTQ bersama sekumpulan asatizah muda yang sedang menuntut di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

"Tidak ramai di antara kita mahu berbual tentang perkara-perkara ini tetapi saya rasa adalah penting untuk menanganinya," ujar Dr Rohana dalam wawancara bersama Mediacorp di Pusat Pendidikan Jamiyah di mana beliau memegang jawatan sebagai pengetua.

Mentelah lagi, tambahnya, agama tidak sepatutnya bersifat statik dan ia harus terus mencerminkan dan berkembang bersama masyarakat.

Inilah sebabnya beliau adalah penyokong besar terhadap usaha melibatkan orang muda dalam perbincangan agama dan bukan mengambil pendekatan atas ke bawah.

Dr Rohana juga berusaha gigih untuk melibatkan belia dengan mengambil langkah seperti kekal aktif di media sosial di mana beliau membincangkan teknik pembelajaran selain berkongsi kisah peribadi yang menarik berhubung isu-isu moden.

MINAT DALAMI PENGAJIAN ISLAM

Dalam tempoh tiga dekad lalu, Dr Rohana sudah mengajar di tiga madrasah tempatan sebelum menjadi pengetua di Pusat Pendidikan Jamiyah tahun lalu. Beliau juga seorang anggota Majlis Tertinggi Pergas.

Sepanjang kerjayanya, beliau tidak berhenti menimba ilmu. Dr Rohana baru-baru ini menamatkan ijazah kedoktorannya dalam pengajian Islam di Universiti Ibn Khaldun di Indonesia.

Related article image
Ustazah Dr Rohana Ithnin. (Gambar: MUIS)

Namun apa yang menarik adalah, inspirasi untuk mengkaji Islam dan mencurahkan bakti dalam bidang ini seumur hidup tercetus semasa beliau belajar di sebuah sekolah Katolik.

Sebagai seorang pelajar Islam di Sekolah Perempuan St Francis Girls’ - kini Sekolah St Francis Methodist - beliau dikecualikan daripada menyertai upacara keagamaan tetapi gemar menyaksikan rakan-rakan Katoliknya mengamalkan kepercayaan mereka.

Pada satu hari, Dr Rohana mengimbas kembali, beliau berada dalam bas ke sekolah apabila beliau memulakan perbualan bersama seorang pelajar madrasah.

Dr Rohana masih ingat sewaktu mereka membanding-bandingkan kurikulum di sekolah masing-masing. Beliau kemudian menyedari bahawa para pelajar madrasah mengambil subjek tambahan dan sebahagiannya menimbulkan minat dalam dirinya.

"Saya rasa seperti kami dari dua dunia berlainan yang berkongsi minat sama," katanya.

Perbualan itulah yang menyuntik inspirasi dalam dirinya untuk menyelami agamanya dengan lebih dalam.

Azam untuk mengejar minat baru itu yang mendorong Dr Rohana untuk meneruskan pelajaran di Madrasah Aljunied Al-Islamiah buat enam tahun selepas menduduki peperiksaan Peringkat A.

Apabila ditanya tentang pengalamannya beralih dari sekolah Katolik ke madrasah pada usia 19 tahun, beliau menjawab: "Ia ibarat bermula dari asas".

Walaupun beliau menghadiri madrasah separuh masa selepas sekolah ketika beliau lebih muda, Dr Rohana berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan kurikulum Madrasah Aljunied Al-Islamiah apabila baru menyertainya. Lantaran itu, pada usia 19 tahun, beliau ditempatkan dalam sebuah kelas bersama para pelajar 11 tahun.

"Di samping mengambil subjek-subjek baru, saya perlu belajar bahasa Arab. Saya memakan masa tiga tahun untuk belajar," kongsinya.

Kerja keras Dr Rohana membuahkan hasil. Beliau mengungguli kelas dalam tahun akhirnya dan meraih biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, di Kaherah, Mesir.

Menyingkap kembali kerjayanya, Dr Rohana berkata peranan paling penting yang pernah beliau mainkan dalam kehidupannya adalah menjadi seorang ibu kepada dua anaknya - seorang anak perempuan berusia 22 tahun dan seorang anak lelaki berumur 24 tahun.

Ketika disoal sama ada beliau mahu anak-anak beliau mengikut jejak langkahnya, Dr Rohana berkata beliau mendaftarkan mereka ke sekolah-sekolah sekular kerana ingin memberi mereka "kebebasan untuk membuat pilihan sendiri". Ini setelah beliau sendiri dapat menimba pengalaman terbaik dari kedua-dua sistem pendidikan.

Anak lelaki beliau kini mengambil jurusan kriminologi di Institut Teknologi Singapura (SIT) manakala anak perempuannya pula baru sahaja tamat pengajian daripada kursus yang sama.

"Nasihat paling baik saya bagi ibu bapa adalah untuk cakap serupa bikin. Saya rasa seronok belajar tentang agama saya dan tentang dunia dan saya fikir anak-anak saya juga mengikut," kata Dr Rohana sambil tertawa.

MENJADI WANITA DALAM RUANG YANG DIDOMINASI KAUM ADAM

Dalam satu catatan Facebook, Presiden Halimah Yacob menyampaikan ucapan tahniah kepada Dr Rohana atas pelantikannya ke Jawatankuasa Fatwa sambil berkata bahawa badan tersebut mempunyai peranan penting dalam "membimbing Muslim Singapura untuk menunaikan tanggungjawab keagamaan mereka bersesuaian dengan keadaannya".

Sejak ditubuhkan pada tahun 1968, Jawatankuasa Fatwa mempunyai tanggungjawab tunggal tetapi rumit: Memberi panduan sama ada teknologi dan konsep dunia moden boleh diterima di bawah undang-undang dan prinsip Islam - dari bank susu manusia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK kepada kajian sel tunjang.

Jawatankuasa baru tersebut meliputi empat anggota penuh dan 21 anggota bersekutu, kesemuanya akan berkhidmat buat penggal tiga tahun.

Related article image
Jawatankuasa Fatwa baru akan berkhidmat untuk penggal tiga tahun dari 2019-2022. (Gambar: MUIS)

Jawatankuasa Fatwa baru akan berkhidmat untuk penggal tiga tahun dari 2019-2022. (Gambar: MUIS)

Apabila ditanya mengapa ia mengambil masa yang lama sebelum seorang wanita dilantik menjadi anggota penuh Jawatankuasa Fatwa, MUIS memberitahu Mediacorp bahawa jantina bukan satu kriteria pemilihan bagi jawatankuasa berkenaan.

"Jawatankuasa Fatwa menghimpunkan kumpulan yang berdedikasi dengan setiap individu menyumbang kepakaran tertentu dalam memberi keputusan fatwa".

Dr Rohana sendiri merasakan beliau tidak menghadapi diskriminasi jantina dalam kerjayanya dan menegaskan bahawa walaupun Jawatankuasa Fatwa tidak pernah mempunyai wanita sebagai anggota penuh, sehingga kini, terdapat anggota-anggota bersekutu wanita.

Beliau sendiri menggalas tanggungjawab sebagai anggota bersekutu selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat ke jawatankuasa utama.

"Saya rasa kami berada dalam jawatankuasa bersekutu atas kepakaran kami, bukan jantina kami," ujar beliau sambil menambah bahawa anggota-anggota bersekutu berpeluang membangkitkan isu-isu dan berbahas mengenainya bersama jawatankuasa utama.

"Apa yang saya bentangkan adalah perspektif wanita dan bukan sahaja isu-isu wanita tetapi segala isu secara amnya."

Apabila ditanya tentang nasihatnya kepada wanita muda, beliau berfikir seketika sebelum berkata: "Ambil tindakan, mula kejar impian anda, jadi seorang yang inovatif dan langkah ke hadapan." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita