Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Nazirudin: Serangan pengganas Sri Lanka tiada 'tempat' dalam Islam mahupun agama-agama lain

Timbalan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini (4 Mei) berkata bahawa serangan pengganas yang berlaku di Sri Lanka pada Hari Easter tidak boleh dan tidak akan sekali-kali menjadi sebahagian daripada agama Islam, mahupun agama-agama lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Nazirudin: Serangan pengganas Sri Lanka tiada 'tempat' dalam Islam mahupun agama-agama lain

Dr Nazirudin Nasir. (Gambar: MUIS)

BERITAmediacorp: Timbalan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini (4 Mei) berkata bahawa serangan pengganas yang berlaku di Sri Lanka pada Hari Easter tidak boleh dan tidak akan sekali-kali menjadi sebahagian daripada agama Islam, mahupun agama-agama lain.

Malah perbuatan mencederakan atau membunuh orang di dalam gereja, atau masjid, atau kuil mencemari dan adalah serangan terhadap agama itu sendiri.

"Setiap kepercayaan itu mengiktiraf dan menghormati semua pengikut, tempat ibadat dan amalan agama itu", kata Dr Nazirudin.

Dr Nazirudin menyampaikan ucap takziah amat mendalam kepada rakyat Sri Lanka bagi pihak masyarakat Muslim Singapura atas kehilangan nyawa orang-orang yang tidak bersalah dan kemusnahan dahsyat akibat serangan pengganas pada 21 April.

"Ingatan kami bersama keluarga mangsa terbabit dan rakyat Sri Lanka dalam masa sukar ini," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian di upacara peringatan bagi mangsa serangan pengganas di Sri Lanka yang diadakan di Kelab Sukan Ceylon pada Sabtu (4 Mei).

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka, acara itu bertujuan untuk menunjukkan kekuatan dan perpaduan di sebalik kepelbagaian dalam agama dan etnik.

Dr Nazirudin turut menegaskan: "Masyarakat Muslim sudah menyaksikan kemusnahan akibat pengganasan dan pengaruh ideologi radikal. Kumpulan-kumpulan seperti ISIS, yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan-serangan di Sri Lanka, turut terlibat dalam kemusnahan masjid-masjid dan makam-makam para ulama, gereja serta tempat ibadat.

"Nilai-nilai agama seperti mana kita percaya dan amalkan, sama sekali tidak wujud dalam ISIS," jelasnya.

Ideologi ISIS itu sudah memporak-perandakan keluarga, menyebabkan ibu bapa kehilangan anak mereka dan isteri terpisah dari suami mereka.

Ideologi kejam mereka itu juga sudah mencemari dan mencalar imej Islam kerana hakikatnya adalah Islamofobia, dan kebencian terhadap Islam yang wujud pada hari ini. Malah ada di kalangan golongan ini yang berani membunuh orang-orang yang tidak bersalah seperti yang berlaku di Christchurch gara-gara kebencian dan rasa takut terhadap Islam.

"Lantaran itu, itu kita harus terus melakukan segala yang terdaya untuk membanteras ideologi kejam ini daripada menyusup ke dalam masyarakat kita," gesa Dr Nazirudin.

"Kami diajar dalam Quran bahawa Tuhan adalah pelindung kepada mereka yang mempunyai kepercayaan."

Tambah beliau: "Dalam masa-masa gelap ini, kita perlu saling sokong-menyokong dan melindungi satu sama lain, supaya tempat ibadat kita, jalan-jalan rayadan rumah kita kekal selamat dari rancangan jahat pelampau dan pengganas. Kita juga harus bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih selamat dan aman untuk anak-anak kita. Di mana mereka hendak memusnahkan, kita harus mahu membina dan bangunkan".

Oleh demikian, beliau menggesa agar masyarakat di sini terus menyebarkan rasa hormat dan kasih sayang sedang kumpulan pengganas berusaha menyebarkan ketakutan dan kebencian.

"Di mana kumpulan pengganas berusaha gigih memecahbelahkan kita atau menyebabkan kita saling curiga-mencurigai, kita sebaliknya mesti bersatu hati dan memberi kepercayaan serta yakin antara satu sama lain." 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan