Dr Nazirudin dan Dr Fatris kongsi kenangan bersama Almarhum Syed Isa Semait

Mufti Negara keempat, Dr Nazirudin Mohd Nasir (kanan) dan Mufti Negara ketiga, Dr Fatris Bakaram (kiri) berkongsi kenangan bersama Mufti Negara kedua, Almarhum Syed Isa Semait. (Gambar: Izwan Ohtman)
Individu itu ialah Almarhum Syaikh Syed Isa sendiri.
Dr Nazirudin bersyukur kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada insan yang amat dihormatinya itu.
"Saya sangat bersyukur. Waktu saya baru pulang belajar daripada Mesir dan bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura, saya langsung mendapat bimbingan daripada beliau dalam bukan sahaja isu-isu fatwa dan memberikan pandangan agama tetapi dalam menangani kerumitan tersebut secara praktikal," kongsi Dr Nazirudin kepada para wartawan.
"Saya sangat bersyukur beliau melihat pada diri saya ketika itu seorang ustaz yang muda, yang baru balik belajar tetapi mempunyai potensi untuk dibimbing lagi, untuk dibangunkan lagi dan beliau banyak memberikan saya nasihat dan teguran. Jika saya tersilap buat kerja ataupun saya mungkin tidak begitu cekap dan sebagainya. Beliau menegur sebagai seorang ayah yang sangat mengasihi anaknya atau anak didiknya," tambahnya.

"Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk juga bermusafir bersama beliau dalam salah satu jemputan ke negara United Kingdom untuk berkongsi di sana tentang pengalaman umat Islam Singapura dan di situ saya melihat secara langsung betapa beliau itu, hati beliau sangat terpaut dengan kebaikan, kebajikan dan kepentingan umat Islam di Singapura," kata Dr Nazirudin.
"ALMARHUM SANGAT SAYANG KEPADA MASYARAKAT"
Almarhum merupakan Mufti Negara yang paling lama berkhidmat iaitu antara 1972 hingga 2010.
Sepanjang menyandang jawatan itu, Almarhum Syed Isa Semait telah menempuhi pelbagai dugaan dan menghadapi pelbagai kesukaran.
Ini termasuk memimpin Jawatankuasa Fatwa untuk memikirkan huraian terbaik bagi masalah-masalah kontemporari yang rumit seperti isu Pemindahan Organ Manusia.

"Bagaimana kita dapat membantu mereka dari segi pandangan agama dari segi fatwa yang membolehkan pesakit-pesakit ginjal sebagai contoh mendapat bantuan yang wajar supaya mereka dapat mengatasi penyakit mereka. Jadi hati beliau adalah hati seorang yang memang amat sayang kepada masyarakat," tambahnya.
PESANAN ALMARHUM BUAT PARA ASATIZAH
Dr Nazirudin juga berkongsi antara pesanan yang diberikan Almarhum buat para asatizah.
"Beliau sentiasa berpesan supaya kami para asatizah itu menjaga nama baik asatizah dan menjaga nama baik Singapura dalam segala yang kita usahakan dan amalkan kerana beliau dalam kehidupan dan juga dalam tugasan sebagai seorang Mufti menghadapi begitu banyak cabaran, kesukaran dan situasi hidup yang bukan mudah dan bukan mewah tetapi beliau sentiasa berusaha bekerja keras demi kebaikan tanpa mencari atau menghitung balasan dan meminta balasan daripada orang dan itu adalah nilai-nilai dan sifat-sifat seorang pemimpin yang yang berusaha demi kebaikan tanpa mengharapkan pengiktirafan daripada orang," katanya.
Beliau juga berharap masyarakat dapat terus meraih manfaat daripada ilmu yang diturunkannya dan usaha-usaha terdahulu Almarhum.
Dr Nazirudin mula menyandang jawatan selaku Mufti Negara yang keempat pada 2020.
Beliau menggantikan Mufti Negara ketiga, Dr Fatris Bakaram.
DIDIK AGAMA BUKAN HANYA UNDANG-UNDANG & HUKUM SAHAJA
Dr Fatris Bakaram yang ditemui para wartawan selepas solat jenazah di Masjid Sultan, turut berkongsi kenangan manis bersama Almarhum.

"Saya secara peribadi telah menerima banyak pendidikan, banyak pimpinan, banyak teguran daripada beliau. Saya kembali dari Mesir dalam keadaan mengenali beliau sebagai seorang Mufti yang sangat disegani tetapi sepanjang berkhidmat bersama dengan beliau, saya dapat merasakan sentuhan orang tua yang penuh dengan keihsanan dan kecintaan," kata Dr Fatris.
"Beliau mengajar saya bahawa dalam bertugas menyampaikan agama, mendidik agama pada masyarakat bukan hanya undang-undang dan hukum sahaja yang perlu diberikan perhatian sebab undang-undang dan hukum tidak ada nyawanya kalau kita membelakangkan unsur kemanusiaan dan masyarakat. Itu yang saya petik daripada beliau," tambahnya.
ANGGAP ALMARHUM SEBAGAI BAPA SENDIRI
Dr Fatris juga menyifatkan pemergian Almarhum sebagai satu kehilangan yang sangat memilukan dan masyarakat kehilangan sebutir permata.
"Saya sangat tersentuh kerana saya menganggap beliau itu sebagai ayah saya setelah pemergian ayahanda saya sendiri. Beliau telah banyak membimbing memberikan kesan dan perubahan dalam saya melihat kehidupan dan melihat agama dalam masyarakat. Agama bukan hanya untuk diperintahkan bagi dilaksanakan tetapi agama ialah sesuatu yang perlu disuburkan dalam jiwa dan dalam keperibadian," tambahnya.
Selain mewarisi ilmu, Dr Fatris juga berharap dapat mewarisi kecekalan dan semangat Almarhum.
Ini lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran dan tanggapan negatif masyarakat.
"Selama hampir 40 tahun bukan satu tempoh yang singkat malah dekad pertama khidmat beliau itu penuh dengan ranjau, onak dan duri. Bagaimana masyarakat pada ketika itu masih memandang dengan penuh sinis terhadap apa yang beliau lakukan tetapi beliau cekal dan itu antara apa yang saya warisi daripada beliau bahawa kita tidak boleh berpatah semangat hanya kerana percakapan orang. Biar orang tidak faham tetapi apabila kita dapat membuktikan hasilnya daripada keikhlasan dan ketelusan kita, masyarakat akan menghargai," kata Dr Fatris.

Beliau juga berharap masyarakat termasuk generasi muda yang kurang mengenali Almarhum dapat terus mendoakannya kerana banyak yang masyarakat warisi daripada usaha Mufti Negara kedua itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.