Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki umum pembinaan kemudahan baru bersebelahan WGS; lancar peraduan segarkan kawasan Geylang Serai

Sebuah prasarana baru dipanggil Anjung@WGS akan dibina bersebelahan Wisma Geylang Serai di bawah projek Jalur Budaya Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah prasarana baru dipanggil Anjung@WGS akan dibina bersebelahan Wisma Geylang Serai di bawah projek Jalur Budaya Geylang Serai.

Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu sidang media hari ini (22 Jan).

Menurut Dr Maliki, ruang masyarakat seluas 1,810 meter persegi itu boleh digunakan bagi acara-acara keramaian dan dijangka siap pada hujung 2022.

"Dalam maklum balas yang kita dapati daripada masyarakat, mereka mengatakan kalau ada tapak-tapak yang boleh digunakan untuk kita terus menyemarakkan acara-acara kemasyarakatan, mengapa tidak kita menggunakan tapak tersebut. Maka itu kami berharap Anjung@WGS akan menjadi tempat di mana masyarakat kita melihatnya sebagai pusat untuk mendekati anggota masyarakat yang lain," terang Dr Maliki.

(Gambar-gambar: WGS)

Menurutnya, pembinaan Anjung@WGS hanya dirancang setelah Wisma Geylang Serai dibina kerana tapak tersebut pada awalnya tidak dikhaskan untuk membina sebarang kemudahan.

Namun perbincangan dijalankan bersama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi tapak tersebut kerana ia dilihat mempunyai potensi besar untuk merancakkan lagi suasana sekitaran Geylang Serai.

"(Ia) boleh digunakan untuk acara sukan mahupun kegiatan lain seperti majlis perkahwinan dan program kendalian pelbagai pertubuhan," tambah Dr Maliki.

Semua tempahan bagi kemudahan berkenaan akan diuruskan WGS.

LANCAR PERADUAN UNTUK BERI NAFAS BARU PADA PASAR, JOO CHIAT

Dalam pada itu, Dr Maliki juga melancarkan satu pertandingan reka bentuk untuk memilih arkitek tempatan bagi projek-projek berkaitan pembangunan Jalur Budaya Geylang Serai.

Para arkitek boleh menyerahkan permohonan bermula hari ini (22 Jan) sehingga 19 Mac 2021 untuk menawarkan konsep-konsep baru yang mencerminkan identiti unik kawasan antara Kelab Masyarakat Kampong Ubi dengan Tanjong Katong Complex.

Ada tiga bidang tumpuan bagi peraduan tersebut, iaitu kerja-kerja peningkatan pada (i) Pasar Geylang Serai dan (ii) Joo Chiat Complex serta (iii) mewujudkan persimpangan ikonik antara Geylang Road, Changi Road, Geylang Serai Road dan Joo Chiat Road. 

Maka itu, pelancaran pertandingan berkenaan sekaligus bermakna, orang ramai boleh menjangkakan mercu tanda di Geylang Serai diberi nafas baru!

"Ia tidak semestinya bersangkut-paut dengan rujukan sejarah atau warisan, tetapi (mungkin juga) tafsiran moden tentangnya. Mewujudkan mercu tanda yang ikonik di sini supaya ia dapat segera dikenali sebagai sebahagian kawasan jalur budaya yang berupaya mengajak orang ramai mempelajari dan meneroka tempat ini," kata Cik Hwang Yu-Ning selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perancang URA.

Pemenang peraduan ini akan dilantik untuk membentangkan cadangan desain dan menyelia kerja-kerja di tapak yang dijangka mengambil masa tiga tahun.

LUKISAN BATIK PANJANG DIRENTANG DEPAN WGS

Dr Maliki hari ini turut 'merentang' sebuah lukisan batik di hadapan Wisma Geylang Serai.

Sepanjang 550 meter, lukisan batik paling panjang di Singapura itu adalah hasil sentuhan kreatif pelbagai lapisan masyarakat Singapura yang mengambil bahagian dalam sambutan ulang tahun pertama WGS.

Pemasangannya diharap dapat menyerikan dan menyemarakkan lagi semangat meraikan warisan Geylang Serai.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan