Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki tekankan peranan Anggota Jawatankuasa Asatizah Masa Depan di S'pura

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman, menjelaskan bahawa anggota Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) dipilih kerana mereka mewakili masyarakat dan dapat memberi nasihat tentang trend-trend dalam industri. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Aug 2019 07:18PM Dikemas Kini : 06 Aug 2019 09:51PM

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman, menjelaskan bahawa anggota Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) dipilih kerana mereka mewakili masyarakat dan dapat memberi nasihat tentang trend-trend dalam industri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen pembangkang, Encik Muhamad Faisal Abdul Manap di Parlimen hari ini (6 Ogos), yang mahu tahu tentang ukur tara pemilihan dan pelantikan para anggota jawatankuasa COFA.

COFA dibentuk untuk mengkaji pembangunan asatizah masa depan di negara ini. Maka itu, jelas Dr Maliki, jawatankuasa tersebut memerlukan wakil yang berwibawa daripada golongan asatizah.

"Dalam memilih para angggota COFA, MUIS menimbangkan dua faktor utama. Pertama COFA memerlukan perwakilan kuat dari kalangan asatizah kerana kerja-kerjanya ada kesan langsung ke atas asatizah. Serta juga (wakil) dari para pemimpin masyarakat Melayu/Islam," jelas Dr Maliki.

Beliau menambah bahawa kedua-dua asatizah muda dan tua, termasuk para pemimpin madrasah, dilantik ke dalam COFA kerana mereka menawarkan perspektif-perspektif penting dalam ciri-ciri penting asatizah masa depan dan bagaimana untuk memupuk mereka.

"Kedua, COFA menyertakan para karyawan dan akademik dari pelbagai bidang yang boleh memberi nasihat tentang trend-trend industri dan pendidikan berterusan serta latihan dalam sektor-sektor bukan keagamaan, yang mana asatizah boleh menyumbang seperti kerja sosial dan kaunseling," ujar Dr Maliki.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, pada bulan lalu mengumumkan MUIS akan melancarkan Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Ini demi melengkapkan para lulusan ukhrawi dari luar negara, dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menghadapi isu dan masalah agama dalam konteks Singapura untuk berkhidmat dalam sektor agama di sini. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan