Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki tegaskan Pemerintah bersedia untuk terus bantu rakyat S'pura harungi pandemik

Cabaran-cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang perlu dihadapi oleh generasi masa kini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cabaran-cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang perlu dihadapi oleh generasi masa kini.

Namun, pemerintah bersedia untuk melakukan apa saja yang diperlukan bagi menjaga kemaslahatan dan melindungi masa depan masyarakat.

Menteri Pejabat Perdana Menteri Dr Mohd Maliki Osman berkata demikian dalam sesi ketiga ‘Dialog Pasca Belanjawan 2021 Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Melayu/Islam’ pada Rabu (17 Mac).

Semasa sesi itu, para peserta membincangkan cabaran-cabaran yang membelenggu masyarakat Melayu/Islam, dari sudut mobiliti sosial, pekerjaan hinggalah ke kelestarian masyarakat.

Meskipun para peserta dialog sedia maklum terdapat beberapa insentif baru yang diperkenalkan oleh pemerintah dalam Belanjawan 2021 untuk membantu rakyat mengharungi pandemik COVID-19, ada juga yang melahirkan harapan agar sokongan yang dihulurkan itu akan menjangkaui bantuan yang diperolehi melalui skim-skim yang diusulkan.

Mentelah lagi, cabaran ekonomi yang dihadapi sekarang ini mungkin memberi tekanan kepada golongan yang lemah dan kurang bernasib baik seperti warga tua.

"Ini adalah soalan-soalan yang baik. Apa yang kita lakukan oleh pemerintah dan masyarakat adalah sesuatu yang harus kita imbas kembali dan fikirkan. Ini bukan dikatakan meminta-minta lebih kepada pemerintah tetapi menanyakan pemerintah apa yang pemerintah sedia untuk lakukan.

"Saya rasa pemerintah sedia melakukan apa yang diperlukan untuk kemaslahatan masyarakat kita dan memastikan pada masa hadapan rakyat Singapura mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam pekerjaan-pekerjaan masa depan," kata Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar.

Untuk terus membantu rakyat, Dr Maliki berkata pemerintah perlu meningkatkan perbelanjaannya seperti dalam bidang kesihatan di mana lebih banyak bantuan perlu dihulurkan bagi memenuhi aspek penuaan penduduk dan memastikan mereka dapat meniti usia senja dengan tenang.

Lantaran itu, Dr Maliki berharap rakyat dapat memahami beberapa keputusan sukar yang perlu dibuat oleh pemerintah untuk mengukuhkan sumber kewangan negara bagi menempuhi cabaran-cabaran yang sengit ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat sebelum ini mendedahkan bahawa sebanyak S$53.7 bilion sudah dikeluarkan daripada rizab negara untuk menangani krisis COVID-19 dan menampung insentif-insentif bantuan pemerintah.

MASA DEPAN BELIA DAN PEKERJAAN

Satu lagi topik yang dibincangkan semalam adalah berhubung golongan belia dan pekerjaan.

Seorang lagi anggota panel sesi dialog semalam ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Shahrael Taha yang berpendapat, selain memanfaatkan peluang latihan dan pekerjaan yang ditawarkan di bawah SGUnited, golongan belia juga boleh mengusahakan beberapa ikhtiar lain.

Ini termasuk memperkasakan diri dengan menimba kemahiran asas seperti menghasilkan CV yang baik, terus mengikuti perkembangan industri-industri yang semakin berkembang di tengah-tengah pandemik dan mempersiapkan diri untuk menceburinya.

Beliau menambah perkara-perkara ini boleh dilakukan dengan pelibatan golongan belia dalam kursus-kursus yang disediakan oleh Mendaki SENSE dan memperluaskan lagi rangkaian dengan para karyawan industri.

Perkara itu turut disokong AP GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal yang hadir sebagai anggota panel ketiga sesi berkenaan.

Sesi malam semalam adalah yang terakhir dalam siri tiga sesi dialog yang diadakan bagi mendapatkan maklum balas masyarakat Melayu/Islam terhadap Belanjawan 2021. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan