Skip to main content

Singapura

Dr Maliki: S'pura harap penggantungan sementara visa umrah akan ditarik balik dalam masa terdekat

Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Dr Mohamad Maliki Osman berkata Singapura berharap penggantungan sementara visa umrah oleh kerajaan Arab Saudi akan ditarik balik dalam masa terdekat agar jemaah yang terjejas boleh menjalankan ibadah mereka dengan selamat. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Mar 2020 08:53PM Dikemas Kini : 02 Mar 2020 10:58PM

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Dr Mohamad Maliki Osman berkata Singapura berharap penggantungan sementara visa umrah oleh kerajaan Arab Saudi akan ditarik balik dalam masa terdekat agar jemaah yang terjejas boleh menjalankan ibadah mereka dengan selamat.

Berucap di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan siang tadi (2 Mar), Dr Maliki juga menyentuh tentang hubungan diplomatik Singapura dengan rantau Timur Tengah.

Menurutnya, meskipun negeri-negeri di Timur Tengah sejak kebelakangan ini melalui ketidakstabilan politik, Singapura tetap komited untuk mengembangkan lagi hubungan dua hala dan peluang dagangan.

MANTAPKAN HUBUNGAN DENGAN MSIA & INDONESIA

Dr Maliki juga menjawab beberapa soalan Anggota Parlimen tentang hubungan Singapura dengan negara jiran Malaysia dan Indonesia.

Selaku pelabur asing tertinggi di Indonesia sejak 2014, Dr Maliki berkongsi pelbagai rancangan perdagangan dua hala yang akan dilakar.

"Ada banyak peluang di peringkat wilayah, banyak syarikat kita ingin melabur di Indonesia, dan di peringkat provinsi juga ramai di antara para gabenor dan para wali kota sering ingin mengundang para pelabur kita untuk ke Indonesia.

"Dengan ini dengan keupayaan kita untuk mengeratkan hubungan ini saya rasa kita dapat melihat bagaimana Singapura dapat terus berkembang dengan perkembangan yang dapat dilihat dengan hubungan Singapura dan Indonesia," tambah beliau.

Bagi negara jiran Malaysia pula, Dr Maliki berkata projek-projek antara dua negara yang dahulu dibincangkan juga diharap dapat diteruskan.

"Pertukaran-pertukaran ini telah membolehkan kami membincangkan pelbagai isu termasuk projek-projek penyambungan seperti Sistem Transit Laju (RTS) Singapura-Johor Bahru dan Projek Kereta Api Laju Singapura-Kuala Lumpur (HSR).

"Saya berharap kami akan dapat teruskan projek-projek yang saling menguntungkan ini," tekannya.

RCEP AKAN JADI TUMPUAN UTAMA

Dr Maliki turut menambah Singapura akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala bagi memperhalusi dasar and ekonomi negara.

Memetik ASEAN sebagai contoh, Dr Maliki berkongsi komitmen Singapura untuk memainkan peranan yang proaktif dan relevan.

Selain pelibatan Singapura dalam bantuan kemanusiaan, Singapura juga akan mengambil bahagian dalam mesyuarat ASEAN bersama Kumpulan Eropah EU bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Sejak ditubuhkan lebih 50 tahun lalu, ASEAN kata Dr Maliki, banyak memberikan peluang ekonomi kepada Singapura.

Dua tahun lalu, Singapura menjadi pengimport dan pengeksport terbesar di rantau Asia masing-masing menyumbang sebanyak 28.8 peratus serta 26.8 peratus dalam kedua-dua sektor tersebut.

Memandangkan ke hadapan Dr Maliki berkata peranan aktif Singapura dalam ASEAN akan dipertingkat dan salah satu caranya ialah menerusi Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).

RCEP katanya menyediakan peluang untuk perniagaan-perniagaan Singapura memperkukuhkan jejak komersil mereka di rantau ini.

"Dengan RCEP ini kita lihat potensinya amat besar sekali dengan peraturan yang memastikan bahawa prinsip prinsip ekonomi yang bebas dan terbuka dan berprinsipkan kepada peraturan antarabangsa dapat terus terjamin.

"Dengan ini kita harap jika RCEP dimeterai pada tahun ini peluang pembangunan ekonomi bukan sahaja untuk Singapura tetapi 15 negara yang terlibat," kata Dr Maliki.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita