Skip to main content

Singapura

Dr Maliki: Peranan guru bertambah penting, pendidikan lebih kritikal dengan isu kompleks kini, cabaran masa depan

Dengan pelbagai isu kompleks yang membelenggu dunia kini dan cabaran masa depan, pendidikan menjadi lebih kritikal dan peranan guru bertambah penting. 

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Maliki: Peranan guru bertambah penting, pendidikan lebih kritikal dengan isu kompleks kini, cabaran masa depan

Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman di Upacara Pelantikan Guru NIE pada 7 Julai.

SINGAPURA: Dengan pelbagai isu kompleks yang membelenggu dunia kini dan cabaran masa depan, pendidikan menjadi lebih kritikal dan peranan guru bertambah penting.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman menekankan hal demikian kepada 932 guru yang menerima watikah pelantikan mereka dalam satu Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang diadakan secara maya hari ini.

Related article image

(Gambar: Petikan skrin Upacara Pelantikan Guru NIE)

Dr Maliki juga menggariskan tiga perkara yang dapat membantu para guru baru itu menyokong pembangunan para pelajar mereka.

GURU YANG PRIHATIN BERI INSPIRASI PELAJAR JADI PRIHATIN

Beliau menarik perhatian bahawa guru-guru membentuk kehidupan bagi masa depan dan menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar.

Sedang guru-guru mendidik para pelajar untuk mengambil berat tentang masyarakat, beliau juga mengharapkan guru-guru boleh memberi inspirasi buat para pelajar mereka untuk menjadi rakyat yang prihatin dan menyumbang kepada masyarakat.

GURU BOLEH BERI INSPIRASI TANGANI ISU PENTING

Guru juga kata beliau memainkan peranan penting dalam memupuk pemikiran dan sikap yang peka akan sekitaran dan budaya setempat mahupun di peringkat global.

Related article image

(Gambar: Petikan skrin Upacara Pelantikan Guru NIE)

"Perkembangan global yang boleh mempengaruhi anak-anak muda kita dengan mudah akan memberikan cabaran dinamik yang baru dalam peranan anda sebagai guru. Budaya "woke" dan "cancel", gerakan #metoo serta isu-isu lebih kompleks seperti hubungan kaum, pendidikan seksual dan kesihatan mental belia akan menjadi cabaran baru yang akan dihadapi di dalam bilik darjah anda.

"Keinginan anda untuk mendakapi cabaran-cabaran ini dan membimbing para pelajar anda sedang mereka meneroka haluan baru ini akan memastikan kita terus menyediakan para pelajar kita dengan peluang terbaik bagi membangunkan perwatakan dan kewarganegaraan mereka," kata Dr Maliki.

GURU YANG GEMAR BELAJAR BERI INSPIRASI PELAJAR BELAJAR SEPANJANG HAYAT

Di samping itu, Dr Maliki berkata guru-guru juga digalak untuk terus meningkatkan kemahiran agar dapat menyemarakkan semangat yang sama dalam kalangan para pelajar.

Ini kerana, kata beliau, untuk menjadi seorang guru yang mahir, guru-guru sendiri perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan terus memperkukuh amalan bilik darjah mereka.

Related article image
Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman di Upacara Pelantikan Guru NIE pada 7 Julai.

(Gambar: Petikan skrin Upacara Pelantikan Guru NIE)

"Saya menggesa setiap daripada anda untuk mengimbas kembali dan renungkan tentang apa yang mula-mula sekali mendorong anda untuk menyertai bidang kerjaya seorang guru. Kemudian, fikir tentang apa yang sedang atau apa yang akan terus mendorong anda dalam kerjaya anda.

"Ingat semula kompas yang setiap daripada anda terima semasa Upacara kompas Guru-Guru pada awal pengajian anda di NIE. Jadikan kompas ini sebagai peringatan yang tetap atas pilihan anda, komitmen anda, cabaran anda dan seruan anda untuk menyertai kumpulan guru-guru ini," ujar Dr Maliki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita