Dr Maliki Osman wakili S'pura di majlis pelantikan Presiden baru Brazil
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman akan melakukan lawatan ke Brazil esok (1 Jan).
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman. (Gambar fail: Brandon Tanoto)
BERITAmediacorp: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman akan melakukan lawatan ke Brazil esok (1 Jan).
Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (31 Dis).
Dr Maliki akan melakukan lawatan selama dua hari ke Brazil dari esok (1 Jan) hingga lusa (2 Jan) bagi menghadiri majlis pelantikan Presiden baru Brazil, Jair Bolsonaro, 63 tahun.
Semasa lawatannya ke negara itu, Dr Maliki juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Brazil Ernesto Araújo bagi mengesahkan lagi hubungan dua hala yang muhibah antara Singapura dengan Brazil.
Menurut kenyataan itu, Dr Maliki akan diiringi oleh para pegawai MFA.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong sudahpun menyampaikan komitmen Singapura untuk bekerja rapat dengan bakal Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, dan pentadbirannya.
PM Lee melahirkan demikian semasa bertemu dengan Presiden Brazil sekarang, Michel Temer, di Sidang G20. Mereka menyentuh tentang hubungan ekonomi dua hala yang semakin berkembang sejak dua tahun lalu dan harap dapat memulakan rundingan perdagangan antara Singapura dengan blok dagangan Amerika Selatan, MERCOSUR, pada awal tahun depan.
Semasa majlis merasmikan pelantikan Encik Bolsonaro selaku Presiden Brazil, senjata-senjata antipeluru berpandu dan pesawat-pesawat pejuang akan dikerahkan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan untuk melindungi beliau.
Beliau menang pilihan raya Oktober lalu. Pada September, semasa berkempen bagi pilihan raya tersebut, Encik Bolsonaro hampir-hampir terbunuh apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau menusuk tubuhnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.