Skip to main content

Singapura

Dr Maliki mahu manfaatkan pengalaman politiknya dalam peranan baharu di NTU, Yayasan Antica

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Maliki mahu manfaatkan pengalaman politiknya dalam peranan baharu di NTU, Yayasan Antica

Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman kini berkhidmat sebagai Penasihat Kanan di Pejabat Presiden Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

SINGAPURA: Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman kini berkhidmat sebagai Penasihat Kanan di Pejabat Presiden Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Jawatan yang mula digalasnya hari ini (1 Jul) bagi mengembangkan lagi program-program utama dan ASEAN institusi berkenaan.

Ini termasuk program-program di Institut Penyelidikan Indonesia - NTU Singapura bagi Kemampanan dan Inovasi (INSPIRASI) dan Program Bakat Indonesia - NTU Singapura (INSTEP).

Kemas kini itu dikongsikan Dr Maliki dalam satu catatan di Facebook hari ini (1 Jul).

"Dalam kapasiti saya sebelum ini sebagai Menteri Kedua Ehwal Luar dan Pendidikan, saya sudah membincangkan tentang potensi sumber manusia yang besar di ASEAN. Rangkaian yang kukuh antara NTU dengan universiti-universiti terkemuka di ASEAN dan di luarnya akan membuka peluang-peluang baharu untuk pembangunan bakat dan pertumbuhan dalam sektor pendidikan tinggi," kata Dr Maliki.

Katanya juga, ini bagi menjawab pelbagai pertanyaan tentang rancangannya selepas bersara daripada bidang politik.

Dr Maliki, 60 tahun, mengumumkan persaraannya daripada arena politik pada April lalu di tengah-tengah bahang Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

DR MALIKI DILANTIK PROFESOR ADJUNG DI NTU

Related article image
Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman. (Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)

Dr Maliki juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Kolej Kemanusiaan, Sastera dan Sains Kemasyarakatan di NTU.

Ini selain pelantikan sebagai Zamil Terhormat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

"Saya berharap dapat menggunakan pengalaman bertahun-tahun saya di MINDEF dan MFA untuk mendekati para penyelidik dan pemimpin antarabangsa untuk mendalami dinamik geopolitik global yang kompleks," menurutnya lagi.

GALAS PERANAN SEBAGAI PRESIDEN YAYASAN ANTICA

Dalam pada itu, Dr Maliki terus mahu berkhidmat kepada masyarakat selepas bersara daripada bidang politik.

Untuk itu, beliau juga mengumumkan peranan baharunya selaku Presiden Yayasan Antica.

Ia memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat yang kurang mendapat perhatian dan individu yang berdepan dengan halangan sistemik.

"Pada terasnya, saya sentiasa menjadi pembangun masyarakat. Perjalanan saya dipandu dengan kepercayaan yang mudah namun kukuh: tiada sesiapa yang harus ketinggalan. Di Yayasan Antica, saya lihat satu misi yang jelas dan genting untuk memperkasa belia kita, menghormati warga emas dan mengembalikan semula maruah kepada mereka yang mencari peluang kedua," kongsi Dr Maliki.

Sejak Jun lalu, beliau juga menggalas peranan sebagai Konsultan di firma rundingan Institut OCTAVE untuk beri nasihat bagi Projek Transformasi Sosial yang akan memberi tumpuan kepada usaha membantu isi rumah berpendapatan rendah untuk memperbaiki kehidupan mereka.

"Saya mengalu-alukan peluang untuk membina rangkaian dengan rakan kongsi baharu serta memanfaatkan pengalaman bertahun-tahun saya dalam politik untuk berkhidmat dalam kapasiti baharu ini. Saya bersyukur atas peluang untuk menggabungkan minat dan matlamat dalam lembaran baharu dalam kehidupan saya selepas politik. Saya berharap dapat berkongsi lebih banyak tentang perjalanan saya ini pada masa hadapan," ujarnya.

Dr Maliki berkhidmat dalam bidang politik selama lebih dua dekad dan menyandang pelbagai jawatan termasuk Menteri Kedua Pendidikan dan Ehwal Luar.

Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai penolong profesor di Jabatan Kerja Sosial dan Psikologi di NUS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita