Skip to main content

Singapura

Dr Maliki: Komplot serangan roket peringatan jelas, bukan soal ‘jika’, tapi ‘bila'

Beliau menegaskan suspek-suspek pengganas tidak mewakili kepercayaan dan pandangan masyarakat Islam yang lebih luas. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pembongkaran komplot untuk melancarkan roket dari Batam ke negara ini adalah peringatan jelas bahawa serangan pengganas di sini, bukan persoalan "jika ia berlaku", tetapi "bila ia berlaku".

Menteri Negara Kanan Ehwal Luar dan Pertahanan Dr Maliki Osman berkata demikian di luar satu acara dialog antara agama hari ini (6 Ogos).

Beliau menegaskan suspek-suspek pengganas tidak mewakili kepercayaan dan pandangan masyarakat Islam yang lebih luas.

Beliau berkata: "Penting untuk kita terus mengeratkan hubungan antara kaum di Singapura, memastikan bahawa jika terdapat sebarang serangan di Singapura, kita tidak akan terancam dari segi harmoni yang telah dicapai selama ini.

"Kebimbangan kami ialah jika terdapat serangan sedemikian, keharmonian antara kaum mula tercemar, di mana kaum bukan Islam mungkin mula menuding jari kepada kaum Islam dan mengatakan, Mengapakah masyarakat Islam sedemikian? Kita tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku.

"Kita harus memastikan bahawa masyarakat bukan Islam berani dan keluar mengatakan, bahawa ini bukan kelakuan orang Islam kerana orang Islam di Singapura yang kita tahu, jiran kita, sahabat kita, adalah mereka yang menyayangi kedamaian.

"Masyarakat Islam harus terus tampil ke hadapan, memastikan bahawa mereka mengatakan ini bukan Islam, menolak segala yang dikatakan oleh para pengganas ini dan terus memberikan kepastian kepada masyarakat bukan Islam bahawa kita terus ingin mengeratkan hubungan antara kaum di Singapura."

Awal sebelum itu, Dr Maliki menyertai sesi dialog di mana empat pengamal perubatan kanan dengan agama berbeza, berkongsi perspektif mengenai makanan.

Ia sebahagian daripada siri dialog anjuran CDC Tenggara yang ingin mendalami pemahaman agama dan budaya yang berbeza di negara ini serta mengetengahkan persamaan antara mereka.

Dialog antara agama, kata Dr Maliki adalah penting untuk membina kepercayaan dalam iklim yang mencabar sekarang dan ini akan memberi panduan kepada masyarakat tempatan tentang respons mereka sekiranya berlaku serangan pengganas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita