Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki gesa masyarakat Melayu tingkatkan keupayaan dwibahasa anak-anak; lancar e-Fiesta Bahasa 2021

Dengan semakin ramai orang Melayu tidak menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa utama di rumah, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman menyeru masyarakat untuk menangani tren yang membimbangkan itu. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan semakin ramai orang Melayu tidak menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa utama di rumah, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman menyeru masyarakat untuk menangani tren yang membimbangkan itu.

Dr Maliki juga memberi peringatan: Hilang bahasa, lenyaplah bangsa.

Lantaran itu, masyarakat turut digesa beliau untuk mempergiat usaha bagi meningkatkan keupayaan dwibahasa anak-anak.

LAMAN FIESTABAHASA.SG DIBUKA

Menurut Dr Maliki, sambutan yang menggalakkan bagi edisi-edisi Fiesta Bahasa sebelum ini mendorong acara tersebut meluaskan lagi cakupannya.

(Gambar: fiestabahasa.sg)

(Gambar: fiestabahasa.sg)
Ini termasuk membuka sebuah laman khas FiestaBahasa.sg bagi menghimpunkan pelbagai kegiatan interaktif yang menarik dan sesi perkongsian ilmu.

Antara kegiatan online yang disediakan di laman itu termasuk Reruai Permainan Digital, Kembara Maya dan Permainan 3D serta bahan-bahan rujukan.

Ini agar orang ramai dapat berasa terhibur dan dalam masa yang sama meraih manfaat dengan mempelajari bahasa Melayu melalui laman itu.

Sejak dibuka tiga minggu lalu, seramai 4,000 orang sudah pun mengunjungi laman tersebut.

"Kita dapat lihat bagaimana guru-guru telah berjaya untuk mengadakan wadah baru dalam online portal kita di mana mereka sudah berjaya memperkenalkan permainan-permainan digital kerana ini adalah wadah-wadah baru di mana anak-anak kita berasa selesa untuk mempelajari kandungan-kandungan baru," ujar Dr Maliki.

Bagi menyediakan program-program itu secara online, para guru turut menghadapi pelbagai cabaran dan ini sekaligus membina keupayaan baru mereka.

"Seperti pepatah bahasa mengatakan sekali air bah, sekali pantai berubah. Satu cabaran utamanya adalah bagaimana mereka mewujudkan kandungan di alam maya. Ini adalah keupayaan baru bagi para guru kita. Bukan mudah kerana sukar untuk mengetahui bagaimana untuk mengadakan aplikasi-aplikasi yang dapat digunakan oleh anak didik kita," kata Dr Maliki.

PARA PAKAR DIUNDANG BERI PERSPEKTIF BARU

Selain perkongsian para guru, para pakar dalam bidang-bidang lain juga diundang bagi memberi perspektif baru dalam pembelajaran bahasa ibunda.

Misalnya, dalam perkongsian Dr Elmie Nekmat, Penolong Profesor di Jabatan Komunikasi dan Media Baharu di Universiti Nasional Singapura (NUS), media sosial dibincangkan sebagai wadah berkesan untuk menggalak penggunaan bahasa Melayu lebih-lebih lagi di luar bilik darjah.

"Ibu bapa harus berfikiran terbuka dengan media sosial atau kegunaan media sosial dengan anak mereka. Jadi kalau ibu bapa dapat berfikiran terbuka, dan mengambil peluang ini untuk belajar dan berkomunikasi dengan anak-anak mereka, ini akan mendatangkan faedah apabila mereka menggunakan media sosial untuk belajar mengenai bahasa bersama-sama," ujar Dr Elmie.

"Kalau kita menggunakan teknologi media, atau media sosial untuk belajar, kita bukan sahaja dapat mempelajari atau menerap isu-isu kandungan tetapi kita juga dapat belajar bagaimana dapat menggunakannya dengan cara yang lebih berkesan dan selamat," tambah beliau.

GALAK PENGGUNAAN DAN PEMBELAJARAN MELAYU DI LUAR BILIK DARJAH

Sejak dianjurkan pada 2015, Fiesta Bahasa bertujuan menggalak penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu di luar bilik darjah.

Menurut salah seorang anggota MLLPC, Cik Kalthom Abd Latiff, acara kali ini memberi peluang bagi ibu bapa untuk turut serta bersama-sama anak-anak mereka bagi mempelajari bahasa ibunda melalui platform digital.

"Dengan cara pembelajaran hibrid ini, para pelajar kita dapat memperoleh maklumat di mana sahaja kerana dapat mengakses maklumat secara digital bila-bila masa sahaja dan mereka juga boleh belajar dengan sendiri," ujar Cik Kalthom, yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Belanjawan MLLPC.

Bagi edisi kelimanya ini, e-Fiesta Bahasa 2021 akan berlangsung hingga 31 Ogos.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan