Dr Maliki bakal rasmikan projek masyarakat MHA Brunei-Persatuan SG baik pulih jambatan rosak di Kampong Ayer
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, sedang melakukan lawatan ke Brunei bermula Khamis (11 Apr) hingga Isnin (15 Apr) bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Demikian menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar pada Khamis.
Dalam lawatan itu Dr Maliki akan bertemu Sultan Hassanal Bolkiah serta anggota lain keluarga diraja untuk menyampaikan ucapan Hari Raya para pemimpin Singapura.
Beliau dan rombongan Singapura juga akan menghadiri Rumah Terbuka Menteri Brunei sekarang dan dahulu serta personaliti kanan kerajaan Brunei.
Menurut MFA, Dr Maliki akan menjadi Tetamu Terhormat Rumah Terbuka Hari Raya yang dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Brunei pada Ahad (14 Apr).
Semasa di sana, Dr Maliki juga akan merasmikan projek masyarakat bersama oleh Kementerian Dalam Negeri Brunei dan Persatuan Singapura di Brunei untuk membaik pulih beberapa jambatan yang rosak di Kampong Ayer.
Projek itu adalah sebahagian daripada usaha mengumpul derma “SG Cares” yang dilancarkan oleh Persatuan Singapura, untuk mengumpul S$40,000 bagi pelbagai projek masyarakat di Brunei, sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun ini.
Dr Maliki akan diiringi isteri beliau Cik Sadiah Shahal, Menteri Negara (Pejabat Perdana Menteri) Desmond Tan dan isterinya Cik Tara Heng, serta Anggota Parlimen Yeo Wan Ling.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.