Skip to main content

Singapura

Dr Mahathir: Retreat pemimpin M'sia-S'pura minggu depan bincang isu 'tertunggak'

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata pada Jumaat (5 Apr) bahawa isu-isu dua hala yang "tertunggak" akan dibincangkan "secara mesra" apabila beliau dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu di retreat pemimpin.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir: Retreat pemimpin M'sia-S'pura minggu depan bincang isu 'tertunggak'

PM Malaysia Mahathir Mohammad berjabat tangan dengan PM Lee semasa pertemuan di Istana, di luar Sidang Puncak ASEAN pada 12 Nov 2018. (Gambar: Feline Lim/AFP)

Diterbitkan : 05 Apr 2019 11:46PM Dikemas Kini : 05 Apr 2019 11:47PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata pada Jumaat (5 Apr) bahawa isu-isu dua hala yang "tertunggak" akan dibincangkan "secara mesra" apabila beliau dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu di retreat pemimpin.

"Semua perkara yang masih tertunggak, termasuk isu air, tabung simpanan pekerja, sempadan perairan - di mana perairan Singapura? di mana perairan Malaysia? - penerbangan atas kawasan kita, siapa yang akan mengawalnya," kata Dr Mahathir apabila ditanya dalam sidang media tentang agenda pada pertemuan 8 dan 9 April.

"Semua isu ini akan dibincangkan secara mesra ... Kita tidak akan berkonfrontasi dengan mereka. Namun saya percaya Singapura juga memahami perlunya menyemak harga air," kata Dr Mahathir.

Semasa pertemuan antara PM Lee dengan Dr Mahathir pada 12 November lalu, kedua-dua pihak melahirkan perbezaan pandangan berhubung hak menyemak semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962.

Singapura kekal jelas dan konsisten dalam pendiriannya bahawa Malaysia sudah kehilangan hak menyemak semula harga air.

Perjanjian Air 1962, yang hanya tamat pada 2061, membolehkan Singapura membeli sehingga 250 juta gelen air sehari (mgd) air dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3 sen setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air dirawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen, sebahagian kecil kos merawat air.

Dalam pada itu Johor dibolehkan mendapatkan bekalan air dirawat sebanyak dua peratus atau lima mgd daripada air yang dibekalkan ke Singapura.

Bagaimanapun, Singapura sebenarnya membekalkan 16 mgd air yang sudah dirawat kepada Johor atas permintaannya.

Malaysia sebelum ini akur ia memilih untuk tidak menyemak semula perjanjian itu pada 1987 kerana ia meraih manfaat daripada peruntukan harga itu.

Orang ramai diberitahu bulan lalu bahawa peguam negara Singapura dan Malaysia akan menyambung rundingan untuk "memahami secara lebih mendalam pendirian satu sama lain" berkenaan hak menyemak harga air.

DANA BERKAITAN 1MDB

Dr Mahathir juga ditanya jika Malaysia sedang mengharapkan lebih banyak wang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dikembalikan dari Singapura.

"Kita perlu bergantung kepada maklumat Singapura. Wang itu dikembalikan selepas Singapura menyiasat," kata beliau.

"Tugas kita adalah untuk menerima wang itu, tentutnya, namun kita perlu memastikan wang tersebut adalah dari dana 1MDB. Kita tidak boleh menerima wang yang bukan milik kita," tambah beliau.

Sehari sebelum itu, Dr Mahathir berkata satu sebab Putrajaya berjaya mengurangkan hutang negara adalah ekoran mendapat balik "jumlah agak banyak yang hilang sebelum ini, yang dipegang Singapura". Beliau tidak mendedahkan jumlahnya.

Pada 2016, pihak berkuasa Singapura menyatakan pihaknya merampas S$240 juta wang tunai dan hartanah hasil daripada siasatan ke atas dana berhubung 1MDB yang disalurkan menerusi Singapura.

September lalu, mahkamah Singapura mengarahkan sekitar S$15.3 juta dikembalikan kepada Malaysia. Dana tersebut dipindahkan kepada akaun khas pemulihan 1MDB di Kuala Lumpur.

Retreat tahunan pemimpin pada awalnya dijadualkan berlangsung November lalu, namun kemudiannya ditangguhkan. Ini adalah retreat pertama anjuran kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih tampuk kerajaan pada Mei lalu.

Semasa sidang berita pada Jumaat, Dr Mahathir juga mengumumkan pengunduran Malaysia daripada mengesahkan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita