Dr Lee Wei Ling 'wanita cekal, bersemangat waja', kata SM Lee

SM Lee Hsien Loong bersama adik perempuannya Dr Lee Wei Ling semasa kanak-kanak. (Gambar-gambar: Facebook/Lee Hsien Loong)
Menerusi catatan Facebook beliau, SM Lee menyifatkan Dr Lee sebagai seorang wanita "cekal dan bersemangat waja".
Mendiang Dr Lee merupakan seorang yang amat setia dengan sabahat-sahabatnya, berbelas ihsan kepada golongan yang lemah dan memerlukan, serta bertindak dengan penuh semangat apabila melihat ketidakadilan atau mengesyaki ada sesuatu yang tak kena, sekecil mana sekalipun.
"Buat seketika beliau menulis rencana bagi The Sunday Times, menyuarakan pandangannya dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Tidak semua orang setuju dengan semua yang beliau katakan, namun beliau ikhlas dan luhur dalam pandangannya dan ini begitu menyerlah," menurut SM Lee.

"JAUH BERKEBOLEHAN BERBANDING RAKAN SEDARJAH"
SM Lee turut mengimbau kenangan manis dan mencuit hati bersama Dr Lee semasa zaman kanak-kanak.
Mesra dipanggil Ling, beliau tiga tahun lebih muda daripada SM Lee.
"Salah satu memori awal saya tentang beliau adalah pada hari pertama di tadika. Saya menaiki bas sekolah untuk pulang ke rumah, jadi apabila Ling mula sekolah tadika beliau juga menaiki bas. Namun beliau menangis sepanjang jalan, walaupun saya cuba sedaya upaya untuk memujuk adik saya.
"Selepas itu, ibu kami aturkan agar datuk kami sahaja yang mengambil kami selepas sekolah," cerita SM Lee.

"Jadi di hujung tahun, beliau dinaikkan terus ke Darjah 3. Beliau terus mempamerkan prestasi cemerlang di sekolah, sangat berdaya saing dan bersungguh-sungguh dan akhirnya dianugerahi Biasiswa Presiden," tambah SM Lee, mengenai adiknya, yang juga seorang pencinta haiwan.
Dr Lee meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan mengungguli kelasnya di Universiti Singapura, yang sekarang ialah Universiti Nasional Singapura (NUS). Dr Lee juga meraih Pingat Emas.
LEE WEI LING DOKTOR KELUARGA
Dr Lee kemudian menjadi seorang pakar neurologi kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam bidang epilepsi.
"Beliau membawa semangat dan dedikasi yang sama seperti dalam apa sahaja yang dilakukannya kepada bidang perubatan dan menjalin hubungan yang erat dengan pesakit-pesakit yang dirawatnya selama bertahun-tahun.
"Beliau juga doktor dalam keluarga kami, yang sering kami rujuk apabila timbul masalah kesihatan dan perubatan, baik besar mahupun kecil. Apabila saya menghidap limfoma, beliau memantau perkembangan rawatan dan kemajuan kesihatan saya.
"Satu hari semasa jamuan tengah hari mingguan keluarga di Oxley Road, salah seorang anak saudara kami sakit perut. Beliau lakukan pemeriksaan dan mengesyaki apendisitis dan menghantarnya (ke doktor) untuk diperiksa dengan rapi. Rupa-rupanya apa yang disyaki beliau ternyata betul," cerita SM Lee.

Selepas dua anak lelaki perdana menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew - Lee Hsien Loong dan Lee Hsien Yang - berkahwin dan berpindah, Dr Lee terus tinggal bersama ibu bapa mereka.
Menurut SM Lee, Dr Lee menjaga kesejahteraan ibu bapa mereka sedang mereka meniti usia senja.
"Beliau menjaga ibu kami selepas diserang angin ahmar. Beliau juga menjaga bapa saya, yang semakin uzur dan lemah meskipun sedang bapa saya menjaga ibu kami, dan terutama sekali selepas ibu kami meninggal dunia pada 2010," kata SM Lee.
"Semasa saya berusia 13 tahun, bapa saya berasa seperti hidupnya dalam bahaya, dan mengamanahkan saya jika apa-apa berlaku kepadanya, saya perlu menjaga ibu dan adik perempuan dan adik lelaki saya. Sayangnya, selepas beliau meninggal dunia pada 2015, hubungan saya dengan adik-beradik saya tidak seperti dahulu, dan saya tidak dapat memenuhi hajat bapa saya. Namun, saya tidak berpatah hati, dan terus berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kebajikannya," ujar SM Lee.
Pada 2020, Dr Lee didiagnos dengan palsi supraneuklear progresif (PSP), iaitu penyakit yang serupa tetapi lebih mudarat daripada Parkinson.
"Sebagai seorang pakar neurologi, beliau malah sudah mendiagnos dirinya sendiri sebelum didiagnos secara rasmi oleh para doktor.
"Beliau menerimanya dengan tabah dan cekal seperti biasa, dan berkongsi tentangnya sebagai salah satu dugaan dalam hidup yang perlu diharungi. Beliau tahu apa makna (penyakitnya) dan memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada meskipun kesihatannya merosot. Sekarang, beliau sudah meninggalkan kita. Saya akan sangat merindui Ling." tulis SM Lee, mengakhiri catatan beliau.
Isteri SM Lee, Ho Ching, mantan ketua Temasek juga memberi penghormatan kepada adik iparnya menerusi Facebook.
"Anda sekarang bebas dan tenang," tulis Ho Ching.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.