Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Katijah Dawood, Rafidah Md Ayob terima anugerah tertinggi negara bagi pekerja sosial

Dua pekerja sosial veteran - termasuk Dr Katijah Dawood dari badan amal Thye Hua Kwan Moral Charities - menjadi penerima anugerah tertinggi negara bagi pekerja sosial dari Presiden Halimah Yacob hari ini (23 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua pekerja sosial veteran - termasuk Dr Katijah Dawood dari badan amal Thye Hua Kwan Moral Charities - menjadi penerima anugerah tertinggi negara bagi pekerja sosial dari Presiden Halimah Yacob hari ini (23 Nov).

Seorang lagi penerima Anugerah Pekerja Sosial Cemerlang itu ialah Dr Fan Kam Tong Gilbert dari Pusat Barah Nasional.

Anugerah Pekerja Sosial Harapan pula dihulurkan kepada lagi dua pekerja sosial muda. Mereka ialah Cik Rafidah Md Ayob dari Jabatan Penjara Singapura (SPS) dan Cik Michelle Lau dari Hospis Dover Park.

Dalam ucapannya di majlis itu, Presiden Halimah memuji kepimpinan dan kecemerlangan mereka yang merupakan "inspirasi kepada masyarakat kerja sosial".

Majlis penganugerahan itu diadakan di Istana sedang Persatuan Pekerja Sosial Singapura menyambut ulang tahunnya yang ke-50.

BERITAmediacorp bertemu Dr Katijah dan Cik Rafidah untuk mengungkap sekilas sumbangan besar mereka kepada sektor sosial. Ini kisah mereka...

DR KATIJAH 30 TAHUN SUMBANG BAKTI

Dr Katijah Dawood mula berkhidmat dalam sektor kerja sosial pada 1986. Tugasnya adalah memenuhi keperluan kanak-kanak dan anggota keluarga yang dibelenggu masalah rumah tangga seperti keganasan.

(Gambar: Fyrol/MCI)

(Gambar: Fyrol/MCI)

Ketika itu kerjaya sebagai pekerja sosial belum lagi diketahui ramai. Dr Katijah malah merupakan antara pekerja sosial pertama yang mula bertugas di Kementerian Pembangunan Masyarakat - atau kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Namun yang pasti, kes keganasan sudahpun banyak berlaku pada tahun-tahun 1980-an. "Terlalu banyak" kes yang dikendalikan Dr Katijah. Tetapi ada satu kes yang tidak dapat beliau lupakan.

"Ada seorang kanak-kanak perempuan itu, dia dirantai pada meja di rumah. (Itu dilakukan setiap kali) si ibu ke gerai di pusat penjaja untuk bekerja. Itu dilakukan kerana si anak terlalu aktif. Kalau dia dibawa ke pusat penjaja, ibunya pun tidak dapat menjaganya," cerita Dr Katijah kepada BERITAmediacorp.

"Kaki budak itu benar-benar bengkak. Dia baru melangkah ke sekolah rendah. Jadi kami terpaksa memisahkannya (dari keluarganya buat sementara waktu). Bagaimanapun, si ibu dan keluarga tidak faham mengapa kita melakukan itu. Kerana mereka berfikir bahawa mereka sedang menjaga anak itu di rumah - walaupun dia dirantai."

Adakah kanak-kanak itu mengalami sebarang masalah mental?

Mungkin hiperaktif dan kurang tumpuan atau ADHD, jawab Dr Katijah. Tapi ini tidak dapat dipastikan ketika itu kerana "diagnosis seperti itu belum ada pada 1980-an".

Pendek kata, tanggungjawab seorang pekerja sosial seperti Dr Katijah memang cukup rumit. Bagaimanapun ini bukan hambatan bagi beliau terus berkhidmat dalam sektor sosial.

Pada usia 59 tahun sekarang, Dr Katijah masih memperjuangkan nasib mangsa-mangsa perceraian dan keganasan rumah tangga. Tahun ini juga masuk tahun ke-35 beliau berkhidmat dalam bidang ini.

LAKAR SISTEM LINDUNGI MANGSA

Sepanjang bekerja selama lebih tiga dekad, Dr Katijah sudah berkhidmat di tiga badan berbeza - iaitu di MSF, Mahkamah Rendah dan kini di badan amal Thye Hua Kwan Moral Charities.

Sumbangannya semasa berkhidmat di tiga pertubuhan itu cukup luar biasa.

Di MSF pada 1996, beliau dan pasukannya menubuhkan sebuah sistem rangkaian di dalam MSF demi menyediakan sokongan menyeluruh buat mangsa-mangsa keganasan. Rangkaian itu masih ada hingga ke saat ini.

Pada 1998 pula, Dr Katijah memainkan peranan membangunkan Unit Perlindungan Keluarga di Mahkamah Rendah. Unit itulah yang menjaga keselamatan para individu sebelum perintah mahkamah dikeluarkan.

Ini dilakukan dengan merujukkan mereka kepada agensi-agensi khidmat sosial.

Di Thye Hua Kwan pula, Dr Katijah menubuhkan Pusat Harmoni Keluarga @ Circuit. Pusat itu membangunkan sebuah sistem yang membolehkan mangsa keganasan keluarga bertemu dengan ibu bapa mereka dalam suasana yang selamat.

Dengan dedikasi dan semua sumbangan besar tersebut, maka tidak hairanlah, Dr Katijah dijulang dengan pengiktirafan tertinggi negara buat pekerja sosial.

"Saya dapat memainkan peranan dalam penggubalan dasar dan melihatnya dikuatkuasakan, dan orang lain meraih manfaat daripadanya, ia menjadi satu dorongan untuk saya. Selagi saya dapat menyumbang, saya rasa gembira. Hidup saya menjadi bermakna," kata Dr Katijah.

Beliau juga bersyukur diberi pengiktirafan tersebut, kerana menurutnya, tuntutan dalam pekerjaan ini tidak mudah.

"Ia satu kerjaya yang memerlukan anda untuk melibatkan diri sepenuhnya. Kadangkala ia membuat saya lelah. Kadang-kadang marah tetapi terasa ingin melakukan lebih baik lagi. Perlu keseimbangan.

"Untuk mengiktiraf kami dalam melakukan yang terbaik, meletakkan diri dalam keadaan yang berisiko - ketika memisahkan anak daripada keluarga, mengadakan lawatan ke rumah semasa pandemik dan sebagainya - kami perlukan penghargaan seperti ini," luah Dr Katijah.

RAFIDAH AYOB TERIMA ANUGERAH PEKERJA SOSIAL HARAPAN

Turut diiktiraf di Istana hari ini ialah Cik Rafidah Mohamed Ayob, 30 tahun, yang disifatkan sebagai pekerja sosial serba boleh. Pakar Utama di Komand Pemulihan Masyarakat Jabatan Penjara Singapura itu menerima Anugerah Pekerja Sosial Harapan kerana khidmat cemerlangnya dalam memastikan pesalah-pesalah dadah mendapat sokongan terbaik sebelum dibebaskan.

Lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu menjelaskan, pekerja sosial dalam sistem keadilan jenayah tidak setakat memastikan banduan-banduan akan mendapat pekerjaan apabila kembali ke pangkuan masyarakat. Mereka juga perlu memberi sokongan moral dalam pelbagai aspek.

"Kami perlu membantu mereka kembali kepada keluarga, memainkan peranan kembali sebagai seorang ayah, seorang ibu, seorang anak, seorang abang, kakak dan sebagainya. Apabila kita bercakap tentang aspek pemulihan, kita juga harus mengenal pasti risiko yang boleh membawa mereka kembali kepada gejala dadah ataupun jenayah lain," terang Cik Rafidah.

Sepanjang berkhidmat di SPS, anak bongsu tiga beradik itu sudah menguruskan sekitar 100 kes banduan dalam tahanan. Setiap kes pemulihan pula boleh memakan masa sehingga 9 bulan.

(Gambar: Fyrol/MCI)

Lebih daripada itu, tugas Cik Rafidah memerlukannya mengadakan latihan buat para kakitangan penjara agar para banduan dapat menerima sokongan sosioemosi terbaik semasa dalam tahanan.

Dalam pada itu, lebih 40 pekerja perlu dilatih Cik Rafidah setiap kali beliau ditugaskan mengadakan latihan.

BANTU TUBUH RANGKAIAN DEMI PERKUKUH SISTEM SOSIAL

Menurut Persatuan Pekerja Sosial Singapura, Cik Rafidah juga memberi sumbangan besar kepada usaha memperkukuh keadilan jenayah dalam sektor kerja sosial.

Ini beliau lakukan dengan melibatkan diri dalam penubuhan sebuah cabang di bawah Persatuan Pekerja Sosial Singapura. Menerusi rangkaian itu, para pekerja sosial daripada pertubuhan-pertubuhan berbeza, dapat bersatu untuk berkongsi amalan-amalan terbaik.

"Ahli-ahli yang berada dalam cabang ini bukan sahaja terdiri daripada kakitangan SPS tetapi kami juga mempunyai ahli daripada MSF, daripada IMH, daripada Pusat Khidmat Keluarga. Jadi dalam jawatankuasa itu sendiri, kami ada sekitar 10 orang," kongsi Cik Rafidah.

(Gambar: SASW)

Webinar anjuran cabang itu baru-baru ini menarik lebih 100 peserta.

Dengan pengiktirafan ini - Anugerah Pekerja Sosial Harapan - Cik Rafidah boleh dianggap sebagai bintang yang semakin bersinar dalam sektor pekerja sosial. Jadi, apa komen beliau dijulang sedemikian?

"Bagi saya ini adalah satu penghargaan, bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang bekerja keras dalam sektor ini untuk membantu para banduan kembali ke pangkuan masyarakat. Penghargaan ini adalah pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras, melakukan yang terbaik untuk sama-sama mempertingkatkan mutu dan kualiti kerja kita."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan