Skip to main content

Singapura

Dr Jazlan Joosoph ‘lahirkan’ 6 bayi comel pada Tahun Baru

Bukan satu, bukan dua tetapi enam bayi Tahun Baru 2017 disambut oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Jazlan Joosoph pada 1 Januari (semalam).

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Jazlan Joosoph ‘lahirkan’ 6 bayi comel pada Tahun Baru

Bayi-bayi yang disambut Dr Jazlan Joosoph pada 1 Januari 2017. (Gambar-gambar: Dr Jazlan Joosoph)

SINGAPURA: Bukan satu, bukan dua tetapi enam bayi Tahun Baru 2017 disambut oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph pada 1 Januari (semalam).

Itulah yang sibuk dilakukan beliau sehari suntuk di hospital, sedang ramai orang yang lain bercuti dan bersantai di rumah atau berjalan-jalan.

Enam bayi yang disambutnya termasuklah tiga bayi Melayu, seorang bayi Cina, seorang bayi Filipina dan seorang bayi warga Maldive.

Dr Jazlan memberitahu BERITAMediacorp, kebanyakan pasangan yang sedang menanti-nantikan kehadiran cahaya mata mengharapkan tarikh kelahiran jatuh pada hari yang istimewa atau yang mudah diingat.

(Gambar: Dr Jazlan)

Dr Jazlan (kiri) bersama salah satu pasangan yang melahirkan bayi pada 1 Januari. 

BAYI ‘11.11-1.1’ DAN ‘BAYI CUTI UMUM’

Antara yang menarik, salah seorang bayi Tahun Baru itu dilahirkan pada pukul 11.11 pagi, pada 1 haribulan 1 (Januari)!

Semasa memulakan pembedahan, Dr Jazlan berkata beliau menyedari terdapat peluang untuk bayi yang akan disambutnya dikeluarkan pada waktu yang istimewa dan bayi berkenaan selamat dilahirkan tepat pukul 11.11 pagi.

Satu lagi pasangan yang menimang cahaya mata ketiga pada Tahun Baru, mempunyai seorang lagi anak yang dilahirkan pada 1 Januari sebelum ini. Anak kedua mereka pula dilahirkan pada 1 Mei, iaitu cuti Hari Buruh. Jadi, mereka boleh dipanggil anak-anak cuti umum! Menarik bukan?

“Sebagai pakar sakit puan, jika kami dapat membantu menyambut kelahiran bayi pada hari-hari atau waktu tertentu seperti itu, kami akan lakukannya. Cuma kami perlu bersedia untuk mengorbankan hari cuti atau masa lapang kami untuk menyambut kelahiran bayi,” kata beliau.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

SAMBUT 11 BAYI DALAM SEHARI

Percaya atau tidak, jumlah paling tinggi bayi yang pernah disambut Dr Jazlan dalam sehari adalah seramai 11 orang – cukup sepasukan bola sepak, seloroh Dr Jazlan.

Menurut Dr Jazlan, kebanyakan masanya beliau perlu kembali ke hospital untuk menyambut kelahiran bayi pada hari-hari cuti.

“Kami perlu sentiasa bersiap sedia. Bayi-bayi tidak mengira hari siang atau malam, hari biasa atau hujung minggu. Mereka boleh keluar bila-bila masa saja!

“Selalunya saya perlu bekerja pada hari cuti umum. Saya memang bersedia untuk bertugas kerana jika para pesakit saya gembira dapat melahirkan bayi pada hari yang istimewa, saya turut berkongsi kegembiraan mereka,” cerita Dr Jazlan tentang keunikan kerjayanya itu.

TERLALU BANYAK PENGALAMAN MANIS

Dr Jazlan Joosoph, 45 tahun, sudah berpengalaman selama 20 tahun sebagai seorang doktor, dengan lebih 15 tahun sebagai pakar perbidanan dan sakit puan.

Sepanjang kerjayanya itu, Dr Jazlan menganggarkan beliau sudah menyambut lebih 5,000 kelahiran bayi dan banyak pengalaman yang dilalui.

“Terlalu banyak (pengalaman manis). Setiap kelahiran yang saya sambut adalah kenangan manis, namun pastinya ada yang lebih manis lagi. Misalnya kelahiran bagi pasangan yang sudah lama menunggu untuk menimang cahaya mata atau menyambut bayi pada malam Hari Raya dengan takbir bergema,” kongsi Dr Jazlan yang juga bapa kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

Pada 2015, semasa Singapura menyambut ulang tahun Jubli Emas, BERITAMediacorp pernah melaporkan tentang pasangan Melayu yang melahirkan sebanyak dua kali dalam tempoh setahun dan kedua-dua bayi itu juga disambut Dr Jazlan.

Pengalaman itu juga adalah yang pertama kali bagi Dr Jazlan sepanjang kerjayanya sebagai pakar perbidanan dan beliau menyifatkannya sebagai “pengalaman bermakna dan manis”.

Bagi Dr Jazlan, menyambut kelahiran insan-insan baru ke dunia serta membantu membawa sesuatu yang bermakna ke dalam hidup ramai pasangan dan keluarga adalah satu pengalaman luar biasa yang amat memuaskan hati.

Oleh sebab itu apabila beliau dapat melakukannya pada hari-hari istimewa seperti Tahun Baru, Aidilfitri, Aidiladha, Ramadan dan Hari Kebangsaan ia lebih istimewa dan tidak dapat dilupakan.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita