Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Janil beri jaminan bivalen COVID-19 tidak tingkatkan risiko angin ahmar

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2023 06:37PM Dikemas Kini : 07 Feb 2023 09:18PM
SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary memberi jaminan semasa sidang Parlimen pada Selasa (7 Feb) bahawa vaksin bivalen COVID-19 terus memenuhi piawai keselamatan di Singapura.

Vaksin-vaksin itu menurutnya juga tidak meningkatkan risiko serangan angin ahmar.

Jaminan itu diberikan berikutan laporan awal di Amerika Syarikat (AS) yang menyuarakan keprihatinan terdapat suntikan vaksin Pfizer.

Dr Janil berkata siasatan lanjut yang dijalankan di AS mendapati ia tidak mungkin menimbulkan risiko tersebut.

"Isyarat kemungkinan ia menimbulkan risiko tidak diperhatikan atau disahkan dalam sistem atau analisis keselamatan AS yang lain mahupun oleh negara-negara lain.

"Begitu juga, data tempatan yang kami kumpul berhubung vaksin bivalen setakat ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko bagi strok iskemik selepas menerima vaksin bivalen Moderna/Spikevax atau vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty," ujar Dr Janil.

Malah, laporan keselamatan terkini oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menunjukkan, kadar kejadian kesan sampingan amat buruk selepas mendapatkan suntikan vaksin bivalen adalah sekitar satu daripada setiap 100,000, iaitu lebih rendah berbanding vaksin asal, iaitu sekitar tujuh daripada setiap 100,000, tambahnya.

Dr Janil juga menerangkan bahawa tiada sebarang kes angin ahmar dilaporkan dalam kalangan pesakit yang menerima bantuan kewangan akibat kesan sampingan yang serius berkaitan vaksin COVID-19.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus memantau keselamatan vaksin dengan teliti.
Sumber : CNA/AI/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan