Dr Iskandar Jalil, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan diiktiraf Darjah Utama Bakti Cemerlang Hari Kebangsaan
Pakar tembikar tersohor Singapura, Dr Iskandar Jalil dan tokoh agama Ustaz Mohamad Hasbi Hassan menjadi antara penerima tertinggi Anugerah Hari Kebangsaan 2026.
Mereka dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang, pengiktirafan kedua tertinggi atas sumbangan mereka kepada negara dalam bidang masing-masing.
Secara keseluruhan, seramai 7,491 individu diiktiraf, dengan pengiktirafan tertinggi iaitu Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian) diberikan kepada Hakim Besar Sundaresh Menon dan Mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden Eddie Teo Chan Seng.
Sepanjang lebih enam dekad, tokoh tembikar terkenal Singapura, Dr Iskandar Jalil sudah banyak berbakti kepada dunia seni tembikar.
Sebelum ini beliau juga dijulang dengan Pingat Budaya, Bintang Bakti Masyarakat, dan Darjah Matahari Terbit dari Maharaja Jepun.
KEPUASAN RAIH PENGGANTI LEBIH BERMAKNA
Meski sudah diiktiraf dengan pelbagai anugerah baginya, ia bagaimanapun tidak setanding dengan kepuasan meraih pengganti untuk meneruskan legasinya.
"Masa saya sudah singkat. Sudah berumur. Saya dah pilih 5 hingga 6 orang. Itu terpulang pada dia. Tapi mereka tahu siapa yang bagus. Macam buat kuih- muih, memperbaiki motorsikal, awak tengok yang dia ini bagus. Yang dia jangan, rosak motor awak. Sedih, umur tua macam ni saya fikirkan pengganti saya tidak ada. Ah sedih. Tapi sekarang ada 5-6 orang," ujar Dr Iskandar Jalil.
Sumbangannya terhadap seni seramik tidak terhad kepada karya yang dihasilkan.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut memberi tumpuan besar kepada pendidikan dan pembangunan generasi pelapis.
Pada 2010, beliau mengasaskan studio seramik Temasek Potters di Politeknik Temasek.
Malah, meskipun sudah mencecah usia 86 tahun, beliau tidak mengenal erti lelah dan masih giat menghasilkan barangan tembikar.
"Fahami bahan awak. Tanah liatnya dan diri awak sendiri. Tahu tangan awak. mana yang kuat, mana yang bagus,"kata Dr Iskandar lagi.
USTAZ MOHAMAD HASBI HASSAN SIFATKAN ANUGERAH SEBAGAI PENGIKTIRAFAN TERHADAP SUMBANGAN ASATIZAH
Selain Dr Iskandar Jalil, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan turut menerima Anugerah Darjah Utama Bakti Cemerlang.
Tokoh agama dan pemimpin masyarakat itu menerima pengiktirafan tersebut atas sumbangannya kepada masyarakat Islam dan negara.
Sepanjang lebih empat dekad, Ustaz Hasbi memainkan peranan penting dalam pendidikan agama, pembangunan institusi Islam serta usaha menangani fahaman pelampau.
Beliau menyertai kepimpinan PERGAS pada 1986 sebelum dilantik sebagai Presiden pada 2003. Beliau kini merupakan Pengerusi Majlis Masyaikh PERGAS.
Ustaz Hasbi juga pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis MUIS, iaitu badan pembuat keputusan tertinggi MUIS dan anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada pertanyaan BERITA Mediacorp, Ustaz Hasbi meluahkan rasa terima kasih atas anugerah tersebut.
Menurutnya, ia merupakan satu pengiktirafan negara ke atas sumbangan golongan asatizah kepada negara.
"Sebagai individu yang diberikan pengiktirafan ini, pastinya saya rasa bersyukur dan bertuah atas pengiktirafan ini. Sebagai seorang ustaz yang memang jarang-jarang mendapat pengiktirafan setinggi ini dan secara tidak langsung ini merupakan pengiktirafan pemerintah Singapura kepada golongan asatizah di atas pencapaian golongan asatizah dalam bidang kerja mereka," menurut Ustaz Hasbi kepada Berita Mediacorp.
Ustaz Hasbi juga merupakan antara pengasas Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada 2003 dan kini menyandang jawatan Pengerusi Bersama.
Dalam bidang pendidikan, Ustaz Hasbi pernah berkhidmat sebagai guru, Penolong Pengetua dan Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Beliau sebelum ini turut menerima beberapa pengiktirafan termasuk Bintang Bakti Masyarakat pada 2010 dan Pingat Jasa Gemilang pada 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.