Dr Hadijah Rahmat dalam senarai Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura
SINGAPURA: Tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu, Dr Hadijah Rahmat disenaraikan dalam Singapore Women's Hall of Fame (SWHF) atau Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura pada Jumaat (8 Mac).
Beliau dalam kalangan 10 wanita yang menerima pengiktirafan itu yang termasuk juga ratu pecut Singapura, Shanti Pereira.
Ia bermakna seramai 192 wanita dalam pelbagai bidang termasuk seni, perkhidmatan awam dan perkhidmatan sosial sudah diberi pengiktirafan itu sejak ia dilancarkan pada 2014.
Dr Hadijah, 66 tahun, merupakan pendorong utama di sebalik program ijazah dalam Bahasa Melayu pertama di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2000.
Sebelum itu, mereka yang ingin menjadi guru Bahasa Melayu perlu mendapatkan ijazah mereka di Malaysia.
Hasil karyanya juga sudah banyak digunakan sebagai teks pembelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah.
TERKEJUT TAPI BERSYUKUR ATAS PENGIKTIRAFAN NASIONAL
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada pihak yang mencalonkan saya dan jawatankuasa yang memilih saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, khususnya ibu bapa, suami, guru dan sahabat saya, serta pelbagai institusi dan individu yang membantu menyokong perjalanan hidup saya selama ini dalam bidang pendidikan dan penulisan," tambahnya.
Selain mengusahakan pelbagai program silang budaya semasa memimpin Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia (ALC), Dr Hadijah juga mengambil pendekatan berbilang disiplin untuk menggabungkan sastera, geografi, sejarah dan sosiologi dalam kedua-dua karya akademik dan sasteranya.
Antara topik yang dekat di hatinya termasuk kehidupan di kampung.
"Sebenarnya, prinsip atau pegangan hidup saya selama ini ialah belajar sepanjang hayat dan berbakti sepanjang hayat dengan ikhlas, jujur, dengan penuh minat dan dedikasi. Jadi pengiktirafan ini mengukuhkan lagi dan menambah semangat saya untuk terus belajar dan berbakti kepada masyarakat sehingga sepanjang hayat saya," ujar Dr Hadijah.
"Saya sudah bersara sudah setahun sejak 1 Mac tahun lalu tetapi berdasarkan prinsip yang saya pegang itu, saya tidak akan bersara daripada belajar, menyumbang dan berkongsi ilmu yang saya pelajari dalam bidang pendidikan dan persuratan," tambahnya.
PENGIKTIRAFAN TERHADAP PENCAPAIAN GOLONGAN WANITA PENTING DAN PERLU DISOKONG MASYARAKAT
Dr Hadijah sangat menghargai dan mengalu-alukan pengiktirafan meraikan pencapaian golongan wanita di Singapura seperti yang diberikan SWHF.
"Kita tahu dari segi sejarah, tamadun masyarakat, negara dan dunia umumnya, hak, sumbangan dan pengorbanan wanita tidak diberi perhatian yang secukupnya dan sewajarnya. Malah, terdapat diskriminasi pengasingan, di mana kaum wanita itu juga disingkirkan. Ini bukan masalah masyarakat Melayu atau masyarakat di Singapura yang berbilang bangsa tetapi masalah global.
"Jadi saya rasa dengan adanya usaha yang dilakukan oleh Majlis Perwakilan Wanita Singapura (SCWO) ini, ia adalah sesuatu yang memang wajar dan yang patut disokong supaya masyarakat mula sedar bahawa wanita mempunyai hak, peranan dan yang penting sekali, terdapat banyak pengorbanan oleh tokoh-tokoh wanita daripada awal sehingga hari ini, yang telah menyumbang dan yang harus kita iktiraf," jelas Dr Hadijah.
"Ini penting untuk mencapai keseimbangan dari segi jantina dan kemanusiaan dan saya rasa ini harus disokong oleh masyarakat, bukan sahaja untuk mendapat anugerah, tetapi kita (perlu) melihat perjuangan ini sebagai perjuangan yang lebih besar," kongsi Dr Hadijah.
Sumbangan dan perjuangan Dr Hadjiah itu sememangnya menjadikan beliau salah seorang calon yang wajar diiktiraf.
"Seperti yang anda tahu, Dr Hadijah merupakan pakar pendidikan dan saya rasa pendidikan merupakan alat perata yang penting untuk semua. Dan tema pada tahun ini adalah 'Inspirasikan Keterangkuman'. Dan sudah tentunya, pendidikan membantu untuk melibatkan semua dalam sistem keseluruhannya. Jadi beliau merupakan pelantik yang layak," kata Presiden SCWO, Cik Junie Foo kepada BERITA Mediacorp.
BUKAN SAHAJA GOLONGAN LELAKI YANG SUMBANG KEPADA PEMBANGUNAN SINGAPURA
Cik Foo mengakui ketidaksamarataan masih lagi wujud walaupun telah berkurangan.
"Menerusi Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura, kita ingin mengiktiraf pencapaian-pencapaian cemerlang wanita dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
"Jadi bukan sahaja golongan lelaki yang membantu untuk membangunkan Singapura kerana ramai yang mempunyai tanggapan salah ini, malah wanita juga ada dari mula lagi untuk bantu membina masyarakat dan ekonomi juga," kata beliau.
Kesemua wanita yang diiktiraf dianugerahkan piala oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam yang hadir bersama isterinya, Puan Jane Ittogi, penaung SCWO.
SIDANG KEMUNCAK BOLEH DIJANGKA, METAVERSE ANTARA PEMBAHARUAN
"Kita ada Sidang Kemuncak pada 5 September ini yang dipanggil SAGE untuk mengambil tindakan terhadap kesaksamaan jantina di mana kita menjemput para pembuat dasar, aktivis dan semua yang aktif dalam bidang ini untuk bersama. Misalnya, Hour Glass turut menyertai kita untuk Project Awesome dan kita berharap korporasi lain akan turut menyertai kita untuk usaha ini," kongsi Cik Foo.
Pasukan itu juga sedang meneroka permainan interaktif metaverse dalam platform Roblox.
"Ia merupakan satu permainan interaktif berdasarkan cerita-cerita wanita kita dalam SWHF jadi ia akan menjadi lebih menarik kerana anda boleh pelajari tentangnya dan diri anda sendiri apabila anda bermain dengannya," dedah Cik Foo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.