Skip to main content

Singapura

Dr Fatris Bakaram, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan penerima Anugerah Al-Imam Al-'Izz

Dua tokoh agama tempatan menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Al-Imam Al-‘Izz bagi Kecemerlangan dalam Fatwa pada Isnin (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua tokoh agama tempatan menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Al-Imam Al-‘Izz bagi Kecemerlangan dalam Fatwa pada Isnin (8 Sep).

Anugerah sulung itu diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa yang memaparkan kebijaksanaan merumuskan fatwa berlandaskan prinsip Islam, selaras dengan cabaran semasa.

Menegakkan kebaikan dan menolak kemudaratan.

Itulah prinsip yang dipegang mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram dalam kepimpinannya membangunkan fatwa kontemporari.

Antara sumbangan penting beliau termasuk fatwa berkenaan bank susu untuk bayi pramatang, serta hibah kepada Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) yang mencerminkan kebijaksanaannya dalam memahami prinsip-prinsip Islam serta keperluan masyarakat moden kini.

Atas sumbangan itu, Ustaz Fatris menerima Anugerah Al-Imam Al-‘Izz bagi Kecemerlangan dalam Fatwa.
Mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram menerima Anugerah Al-Imam Al-'Izz bagi Kecermelangan dalam Fatwa (Gambar: Nurhelmy Hakim)

"Bagi saya ia satu pengiktirafan yang sangat saya syukuri dan hargai atas sumbangan yang kami mampu lakukan dalam berkhidmat dalam jawatankuasa Fatwa.

"Saya melihat ini sebagai keinginan dan kesungguhan pihak Pejabat Mufti MUIS untuk mengangkat darjat institusi Fatwa Singapura yang memainkan peranan sangat penting dalam kesejahteraan kehidupan agama kita.

"Apa sahaja hukum yang kita keluarkan semuanya balik kepada kesungguhan kita untuk membantu masyarakat mencapai kesejahteraan," kata Ustaz Fatris.

Pengerusi Masyaikh PERGAS, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, juga diiktiraf dengan anugerah tersebut atas sumbangannya merangka fatwa semasa pandemik COVID-19, yang mengekalkan amalan beragama sambil melindungi nyawa.

Pengerusi Masyaikh PERGAS, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan menerima Anugerah Al-Imam Al-'Izz bagi Kecermalangan dalam Fatwa (Gambar: Nurhelmy Hakim)

Malah usaha beliau turut membawa kepada pengiktirafan Singapura dengan Anugerah Imam Al-Qarafi pada 2022.

"Anugerah ini satu penghormatan. Alhamdulillah saya dapat berkhidmat dengan Jawatankuasa Fatwa sejak 1992.

"Jadi pada saya, ia satu anugerah yang bertujuan memberi perangsang khusus kepada asatizah muda kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui Jawatankuasa Fatwa.

"Dalam Jawatankuasa ini ada bermacam-macam pendapat, kalau tidak ada berlapang dada, sukar untuk menerima pandangan orang lain," kata beliau.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata sumbangan kedua-dua penerima anugerah itu memastikan panduan agama Islam kekal relevan dan praktikal untuk kehidupan moden di Singapura.

"Melalui sumbangan mereka, Ustaz Fatris dan Ustaz Hasbi telah memastikan panduan agama Islam kekal relevan dan praktikal untuk kehidupan moden di Singapura, sambil tetap berpegang kepada prinsip agama.

"Ini mencerminkan tradisi keilmuan yang mengutamakan kebajikan masyarakat melalui bimbingan agama yang mantap.

"Pengiktirafan atas sumbangan para asatizah kanan dalam pembangunan fatwa menunjukkan bahawa institusi fatwa kekal kukuh, dinamik dan adaptif," kata Dr Faishal.

Anugerah tersebut adalah pengiktirafan tertinggi bagi kecemerlangan dalam pembangunan fatwa.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita