Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Fatris Bakaram undur diri sebagai Mufti Negara; Dr Nazirudin bakal ambil alih jawatan

Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram akan melepaskan jawatan  sebagai Mufti Negara pada 1 Mac ini, selepas sembilan tahun berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Fatris Bakaram undur diri sebagai Mufti Negara; Dr Nazirudin bakal ambil alih jawatan

Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir (kiri) akan mengambil alih jawatan sebagai Mufti Negara daripada Ustaz Dr Fatris Bakaram. (Gambar: Muis)

SINGAPURA: Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram akan melepaskan jawatan sebagai Mufti Negara pada 1 Mac ini, selepas sembilan tahun berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura.

Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Mufti, akan mengambil alih jawatan sebagai Mufti Negara.

Pelantikan itu dibuat oleh Presiden Halimah Yacob, seperti yang diperlukan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dengan mendapatkan nasihat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Ia diumumkan MUIS menerusi satu kenyataannya hari ini (9 Jan).

Dr Nazirudin akan disokong oleh dua Timbalan Mufti, Ustaz Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

(Gambar: MUIS)

(Dari kiri) Ustaz Dr Hannan Hassan, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ustaz Mohd Murat Md Aris. (Gambar: MUIS)

Ustaz Murat akan menyelia dasar-dasar agama, termasuk pembangunan Fatwa dan Skim Pengiktirafan Asatizah.

Sebagai rakan sejawatannya pula, Ustaz Dr Hannan akan menyelia pembangunan asatizah dan kurikulum madrasah. Dr Hannan kini juga Timbalan Pengarah (Pembangunan Keupayaan) di Pejabat Mufti dan Naib Dekan Akademi Muis.

BERI PELUANG KEPADA PEMIMPIN BARU

Dr Fatris, 49, akan melepaskan jawatannya selepas tamat penggal perkhidmatan beliau sekarang ini bagi memberi peluang kepada para pemimpin baru memimpin masyarakat.

"Selain bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja saya bagi memberikan bimbingan agama yang bernas dan relevan kepada masyarakat, saya juga melihatnya sebagai tanggungjawab saya untuk membangunkan generasi asatizah dan ulama yang seterusnya.

"Saya gembira dapat menerajui pembangunan generasi ulama selanjutnya di Singapura yang memiliki gabungan ilmu, latihan dan pengalaman, yang bersedia mengambil alih dari saya dan memberi bimbingan kepada umat Islam Singapura dalam kehidupan agama mereka," kata beliau.

Sepanjang khidmatnya selama sembilan tahun, Dr Fatris telah memperkukuh Pejabat Mufti dan juga pembangunan asatizah, pegawai dan ulama.

Ini termasuk membangunkan Skim Pengiktirafan Asatizah, dengan fokus pada Pendidikan Profesional Berterusan dan Kod Etikanya, serta Jawatankuasa Masa Depan Asatizah.

Dr Fatris akan terus berkhidmat sebagai Anggota Sekutu Kanan bagi Jawatankuasa Fatwa dan Pengerusi Jawatankuasa Panduan Al-Quran.

Sebagai yang lebih berpengalaman, Dr Fatris akan terus membimbing pasukan baru tersebut dan kumpulan asatizah yang lebih muda di Singapura.

IKRAR TERUSKAN USAHA BAIK PARA MUFTI SEBELUM INI

Dr Nazirudin, 43, berasa rendah hati menerima tanggungjawab sebagai Mufti Negara dan berikrar meneruskan lagi usaha baik para Mufti sebelum ini.

"Saya rasa bersyukur dapat meraih manfaat daripada bimbingan Dr Fatris sejak lebih 10 tahun lalu. Beliau serta asatizah dan ulama berpengalaman di Singapura adalah tokoh cemerlang untuk saya contohi dalam membangunkan kehidupan sosioagama yang boleh menjadi peran contoh dalam kehidupan moden ini.

"Saya akan bekerjasama rapat dengan pasukan di Pejabat Mufti untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura dan masyarakat umum demi mencapai kemajuan dan perpaduan sosial yang lebih luas," kata Dr Nazirudin.

Dr Nazirudin lulusan Universiti Al-Azhar di Kaherah, Sekolah Pengajian Timur dan Afrika di London dan menerima kedoktoran falsafah daripada Universiti Oxford di Britain.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan