Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal: Wadah-wadah seperti Fiesta Pendidikan Detik wajar dilipatgandakan

Inisiatif-inisiatif yang kaya dengan pelbagai aspek pembelajaran, seperti Fiesta Pendidikan Detik hari ini (13 Jan), merupakan wadah yang wajar dilipatgandakan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Inisiatif-inisiatif yang kaya dengan pelbagai aspek pembelajaran, seperti Fiesta Pendidikan Detik hari ini (13 Jan), merupakan wadah yang wajar dilipatgandakan.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang merasakan bahawa wadah-wadah sedemikian mencipta ruang dan peluang untuk menyemai nilai-nilai pembelajaran sepanjang hayat.

Anjuran Unit BERITA & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp dan berlangsung di Heartbeat@Bedok, #fiestadetik menampilkan pelbagai program pendidikan, budaya, sukan dan hiburan sihat, bagi semua peringkat usia.

PELBAGAI PROGRAM PERKAYA DIRI

Puluhan kanak-kanak dan orang dewasa cuba menjadi 'penyampai BERITA'.

Sambil memandang ke arah kamera dan membaca 'tele-prompter', mereka cuba mengalami sendiri kerja-kerja seorang penyampai berita.

Itulah antara yang dipelajari para pengunjung ke #fiestadetik.

Program-program lain yang berunsurkan pendidikan termasuklah bengkel kemahiran keibubapaan, forum perbincangan dan sastera. Pertunjukan kebudayaan dikir barat, seni silat dan sukan sepak takraw juga menjadi pengisi.

Fiesta Pendidikan Detik di Heartbeat@Bedok merupakan satu wahana interaktif yang padat dengan unsur-unsur pendidikan lain untuk ditimba seisi keluarga sambil mereka berhibur.

60 BELIA JADI DUTA DETIK

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir memberikan sokongannya kepada #fiestadetik, gembira melihat pelbagai lapisan masyarakat tampil untuk memanfaatkan barisan program yang ditawarkan.

Beliau berharap inisiatif sebegini dapat diperluaskan sedang masyarakat terus membentuk dan memperbaiki diri sebagai persiapan untuk hari-hari kelak.

"Bukan sahaja ia menyediakan mereka untuk masa akan datang tetapi membangunkan satu masyarakat di mana mereka minat, mahir dan juga mendapatkan kepuasan dalam apa yang mereka pelajari. Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada BERITAMediacorp kerana membangunkan satu wadah yang sangat relevan dalam kehidupan kita di Singapura," katanya.

Dalam usaha BERITA dan DETIK menjalin kesinambungan interaksi bersama para penonton di luar kaca televisyen, seramai 60 belia dipilih menjadi duta yang menghubungkan kami dengan masyarakat.

Mewakili pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan institut-institut pengajian tinggi, mereka dipilih atas prestasi akademik cemerlang serta sumbangan kepada masyarakat.

"Sebagai duta, kita mempunyai tanggungjawab untuk mendampingi masyarakat, mendengar dan menjadi suara mereka," kata Nur Fatin Afiqah Halim, 21 tahun yang merupakan penuntut Universiti Nasional Singapura.

Seorang lagi duta, Mohd Saiful Md Anuar, 33 tahun, seorang aktivis masyarakat pula berkata: "Saya boleh menjadi satu jembatan antara belia-belia, dengan bilik BERITAMediacorp di mana mereka dapat mempertingkatkan lagi pemahaman tentang isu-isu masyarakat dan isu-isu global untuk mereka membuka minda kepada isu-isu sebegini."

12 BADAN MELAYU/ISLAM KERJASAMA JAYAKAN #FIESTADETIK

Sebagai permulaan, para duta tersebut turut serta dalam rakaman sesi perbincangan kumpulan fokus disusuli dengan forum bersama Dr Faishal - kedua-duanya diadakan di acara yang sama.

#fiestadetik merupakan antara sumbangan BERITAMediacorp dan DETIK untuk membantu masyarakat meneroka peluang baru dalam mereka meniti fasa pembelajaran sepanjang hayat.

Ia dijayakan dengan kerjasama 12 badan masyarakat termasuk Yayasan Mendaki, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Persekutuan Sepaktakraw Singapura (PERSES) dan ActiveSG. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan