Dr Faishal umumkan peranan bagi pemegang jawatan politik Melayu; Masagos beri laluan kepada pemimpin muda
Oleh itu, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim mahu mengekalkan lima bidang tumpuan (FA) yang diterajui para pemegang jawatan politik Melayu/Islam.
Beliau juga mengumumkan pelantikan dan perubahan bagi individu yang menerajui setiap bidang tumpuan.
FA1: Sokongan Buat Perkahwinan, Keibubapaan dan Pembangunan Awal Kanak-kanak
"Saya kenal mereka sudah lama, ada yang saya telah bekerjasama apabila mereka berkecimpung dalam kerja-kerja sukarelawan seperti Encik Zhul. Encik Zhul, kita tahu dia pun seorang yang mementingkan kekeluargaan, jadi ia tepat pada apa yang dia akan memikul tanggungjawab, mengukuhkan atau memberi ruang pembangunan dalam perkahwinan dan pembangunan keluarga. Dia pun akan memegang jawatan di kementerian yang ada kaitan dengan kerja-kerja ini," jelas Dr Faishal.
FA2: Sokongan bagi Individu Rentan dan Keluarga Mereka
Menurutnya, ia saling berkait dengan jawatannya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) selaku Menteri Negara Kanan.
Beliau sudah berkhidmat di kementerian itu sejak 2020.
"Bagi Bidang Tumpuan Dua yang melihat usaha-usaha untuk menyokong mereka yang sedang atau telah menjalani hukuman penjara, termasuk juga mereka yang sudah dibebaskan. Memandangkan saya masih dalam Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan memainkan peranan ini (Menteri Negara Kanan), saya akan masih menerajui FA2," kata Dr Faishal.
FA3: Memperkasa dan Pementoran Belia
Di bawah FA3, mereka juga akan menerajui sebuah pasukan bertindak untuk mendampingi golongan belia Melayu/Islam.
Bermula 1 Oktober 2025 pula, Dr Syed Harun akan rasmi menyandang jawatan selaku Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan.
Dr Faishal juga mengumumkan bahawa Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad akan terus menerajui bidang tumpuan empat.
Sebelum ini Encik Zaqy pernah berkhidmat dalam Kementerian Tenaga Manusia sejak 2018.
"Seperti anda tahu, SMS Zaqy sudah dalam sektor sumber manusia untuk beberapa tahun, jadi beliau tidak asing dengan bidang ini. Jadi saya berikan tugas ini kepadanya untuk teruskan dan dengan sokongan orang baharu, Dr Wan Rizal yang baru menyertai gerakan buruh," kata Dr Faishal.
Dr Wan Rizal menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai pengarah dan AP buruh sejak 18 Ogos lalu.
FA5: Masyarakat Lebih Sihat untuk Semua
Cik Rahayu Mahzam juga akan kekal menerajui bidang tumpuan 5 iaitu yang menumpukan terhadap isu-isu kesihatan masyarakat.
Antara program yang sudah diterajuinya termasuk Saham Kesihatan dan Jaga Kesihatan Jaga Ummah.
Selain itu, Dr Faishal juga mengumumkan bahawa Dr Syed Harun akan bersama-samanya untuk menerajui Projek Dian yang sebelum ini dipimpin oleh Dr Maliki Osman.
Projek Dian bertujuan bantu memperkasa anggota masyarakat yang menetap di flat-flat sewa dan mempunyai anak-anak kecil.
"Saya akan berganding bahu dengan Dr Syed Harun untuk melihat bagaimana kita boleh terus menyokong dalam bidang ini kerana saya mahu memastikan kita terus menjaga golongan memerlukan dalam masyarakat kita lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di flat sewa dan mereka yang mempunyai anak supaya kita boleh dapatkan sokongan yang sesuai untuk mereka, bukan sahaja untuk meneruskan perjalanan hidup mereka tapi juga diperkasa dan menyediakan mereka peluang yang mendorong kepada pemilikan rumah," kata Dr Faishal.
Dr Syed Harun juga akan bersama-sama Cik Rahayu Mahzam menyokong Dr Faishal sebagai penasihat kepada MESRA.
Encik Zhulkarnain akan terus menerajui usaha-usaha untuk memelihara dan melestarikan bahasa dan budaya Melayu menerusi jawatannya selaku Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Bulan Bahasa.
Ini bermakna setiap pemegang jawatan politik Melayu/Islam ada peranan tertentu yang diberikan kecuali Menteri Masagos Zulkifli.
Ditanya wartawan Izwan Ohtman tentang tiadanya peranan untuk Encik Masagos, ini jawapan Dr Faishal:
"Encik Masagos telah memberitahu saya bahawa dia akan sokong saya apabila saya di beritahu yang saya akan mengambil tugas ini. Orang yang pertama saya jumpa ialah Encik Masagos kerana saya bekerja rapat dengan dia. Jadi, dia beritahu saya bahawa dia akan doakan saya. Dia akan menyokong saya tapi dia beritahu, ini adalah peluang bagi saya untuk bekerjasama dengan AP yang lain untuk meneruskan pembangunan masyarakat Melayu/Islam," jelas Dr Faishal.
MAHU AP LAIN TURUN PADANG DEKATI MASYARAKAT
Selain pemegang jawatan politik Melayu/Islam, Dr Faishal juga mahu para Anggota Parlimen yang lain untuk sama-sama mainan peranan dalam mendekati masyarakat.
Antara mereka ialah Encik Saktiandi Supaat, Cik Mariam Jaafar, Cik Hazlina Abdul Halim, Dr Hamid Razak dan Encik Sharael Taha.
"Jadi dalam satu fokus itu, mereka akan melibatkan diri untuk mendekati dan juga mereka akan tampil ke hadapan turun padang untuk mendekati pertubuhan-pertubuhan akar umbi, organisasi masyarakat Melayu/Islam dan juga Muslim India dan lain-lain dan ini memerlukan sokongan, kerja keras tetapi mesti beralaskan pendekatan di akar umbi. Di peringkat akar umbi, kita bukan sahaja harus bekerja keras, kita harus mendekati ada 'keterhubungan' dengan masyarakat," tambahnya.
Dr Faishal juga berharap para pemegang jawatan politik dan para AP Melayu/Islam melihat peranan dan tanggungjawab itu secara serius kerana "ia akan menjejas kehidupan masyarakat kita bersama".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.