Dr Faishal tolak komen SG 'berdiam diri' isu kemanusiaan lain di dunia selain Gaza

Komen yang dibuat Critical Spectator ditolak Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim. (Gambar: Facebook/Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim)
Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim dalam catatannya di laman Facebook pada Jumaat (23 Mei) malam.
Beliau berkata demikian bagi menolak komen yang dibuat oleh Critical Spectator di Facebook, yang mendakwa mantan Presiden Halimah Yacob bersubahat dalam menyebabkan tiga juta kanak-kanak kebuluran di Sudan tahun ini.
Critical Spectator turut meninggalkan komen bahawa masyarakat "berdiam diri" apabila ia "melibatkan bencana lain selain perang di Gaza".
Awal dari itu, Puan Halimah turut membuat catatan di Facebook mengenai situasi di Gaza.
"Ramai anggota masyarakat Muslim, serta rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang, terus berasa amat terkesan dengan tragedi yang sedang berlaku di Palestin.
"Ini termasuk mantan Presiden kita, Puan Halimah Yacob, yang mana pandangannya dihormati secara meluas dalam masyarakat," kata Dr Faishal.
Menyifatkan Puan Halimah sebagai tokoh yang amat disegani di negara ini, Dr Faishal menggambarkan keprihatinannya sebagai mencerminkan belas kasihan dan keberanian moral, yang turut dikongsi masyarakat.
"Pemerintah Singapura tidak berdiam diri. Kami secara konsisten menyeru gencatan senjata kemanusiaan, menggesa perlindungan nyawa orang awam, dan menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air mereka sendiri.
"Kami juga secara konsisten mengundi untuk menyokong ketetapan Perhimpunan Agung PBB yang menolak penempatan Israel di Tebing Barat.
"Singapura dan rakyat Singapura secara kolektif telah menyumbang lebih daripada S$19 juta dalam bentuk bantuan kepada Gaza.
"Menerusi Pakej Bantuan Teknikal yang Dipertingkat, kami terus menyokong Penguasa Palestin dalam usaha membina keupayaan ke arah penubuhan negara mereka sendiri pada masa hadapan," kata beliau.
Dr Faishal juga menegaskan pada masa-masa ini, masyarakat memerlukan lebih banyak pemahaman, dan bukan perpecahan.
"Kita tidak boleh membiarkan retorik yang memecahbelahkan atau sifat memperlekehkan —sama ada dari dalam atau luar negara —menghakis rasa hormat dan perpaduan yang telah kita bina dengan susah payah dalam masyarakat berbilang budaya kita," tegas Dr Faishal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.