Skip to main content

Singapura

Dr Faishal sokong Zaqy terus terajui MENDAKI; seru masyarakat bimbing generasi seterusnya melalui pendidikan

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan berterusan Encik Zaqy Mohamad sebagai Pengerusi Yayasan MENDAKI.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan berterusan Encik Zaqy Mohamad sebagai Pengerusi Yayasan MENDAKI.

“Saya amat bersyukur apabila Perdana Menteri mengumumkan kepimpinan berterusan Encik Zaqy di MENDAKI. Dalam lima tahun lalu, dengan bimbingan aktif beliau dan kepimpinan mantap Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Puan Zuraidah Abdullah, MENDAKI telah melakukan pelbagai perubahan besar dalam membina keupayaan dan profesionalisme, sambil terus memberi khidmat dengan penuh ihsan,” kata Dr Faishal dalam satu mesej video khas sempena Mesyuarat Agung Tahunan MENDAKI ke-36 pada Sabtu (14 Jun).

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Encik Zaqy, para anggota lembaga dan pasukan eksekutif MENDAKI, serta memohon maaf kerana tidak dapat hadir secara fizikal kerana menghadiri majlis graduasi anaknya.

“Saya amat ingin bertemu dengan anda semua bagi memberi sokongan. Saya mohon maaf kerana tidak dapat hadir secara fizikal kerana menghadiri majlis graduasi anak saya,” jelas beliau.

Dr Faishal menekankan peranan penting MENDAKI sebagai institusi utama masyarakat Melayu/Islam dalam memperjuangkan kejayaan menerusi pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“MENDAKI ditubuhkan untuk menyatukan masyarakat pada waktu yang penuh cabaran. Dengan sokongan pemerintah, derma serta sumbangan bulanan pekerja Melayu/Islam, pemimpin, sukarelawan dan kakitangan kita telah membantu banyak keluarga dari latar belakang sederhana untuk terus maju dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen para pemimpin masyarakat yang kekal menyumbang, meskipun telah bersara.

“Inilah kekuatan para pemimpin masyarakat kita – walau di mana anda berada sekarang, kasih dan keprihatinan anda tetap bersama masyarakat,” ujar beliau.

Dr Faishal turut menyambut baik aspirasi dan semangat pemimpin muda yang tampil dengan idea dan pendekatan baharu.

“Idea baharu dan cara baharu berhubung bukan sahaja menggerakkan masyarakat ke hadapan, malah turut membawa negara ke hadapan,” katanya sambil menegaskan pentingnya perpaduan dan sokongan aktif daripada semua lapisan masyarakat.

Beliau turut memuji inisiatif Rangkaian Karyawan MENDAKI yang membuka ruang kepada golongan profesional untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Ia satu idea yang hebat. Ia memperluas sokongan masyarakat sejajar dengan zaman, serta mengaktifkan idea-idea yang baik untuk memajukan masyarakat,” katanya.

Dr Faishal mengakhiri mesejnya dengan menyeru masyarakat untuk terus bersama MENDAKI dalam memperkasa anak-anak, menyokong pelajar, memperkukuh daya saing pekerja dan menggalakkan para profesional agar memberi kembali kepada masyarakat dengan semangat generasi terdahulu.

VISI BERSAMA DEMI KEMAJUAN MASYARAKAT

Ketika ditanya tentang kerjasama akan datang bersama Dr Faishal, Encik Zaqy menegaskan peranan berterusan beliau sebagai Anggota Individu dalam lembaga MENDAKI.

“Oleh kerana beliau juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, memang beliau secara automatik menjadi satu ahli individu. Jadi beliau menjadi anggota institusi di mana beliau mempunyai undi dalam AGM. Dan beliau sebagai menteri juga menjadi titik tumpuan bagi visi masyarakat Melayu/Islam kita,” jelas beliau.

Encik Zaqy menambah bahawa MENDAKI akan terus berperanan sebagai salah satu institusi tonggak masyarakat, sejajar dengan entiti seperti MUIS, masjid dan MMO lain.

“Ini bukan satu pengaturan eksklusif. Kita semua bekerja sebagai satu pasukan, bersama semua ahli-ahli Parlimen kita supaya kita dapat membawa masyarakat bersama. Objektif kami sama. Mahu melihat bagaimana kita dapat meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat Melayu/Islam,” tegasnya.

Beliau turut menekankan pentingnya pendekatan menyeluruh dan kerjasama rentas institusi, termasuk peranan para asatizah, masjid dan organisasi lain.

“Apabila kita melakarkan pelan kerja dan visi yang akan datang melalui lebih banyak perbincangan, kita akan membawa Prof Faishal serta Anggota Parlimen Melayu lain bersama untuk mencarta visi dan rangka kerja masa depan,” ujar Encik Zaqy.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita