Dr Faishal setuju dengan mantan PM Israel; Israel lakukan jenayah perang di Gaza
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Pemangku Faishal Ibrahim berkata beliau bersetuju dengan Mantan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert bahawa Israel sedang melakukan jenayah perang di Gaza.
Beliau berkata demikian kepada pihak media di Lapangan Terbang Changi ketika menghantar lebih 40 jemaah menunaikan ibadah Haji pada pagi Sabtu (31 Mei).
"Perit hati saya untuk mengatakan ini, memandangkan sumbangan Israel kepada Singapura pada tahun-tahun awal kita. Tetapi kita perlu berterus terang, Saya bimbang semakin ramai orang di seluruh dunia akan bersetuju dengan Encik Olmert, termasuk saya," kata Dr Faishal.
Beliau juga mengaitkan suasana Zulhijjah, bulan ibadah dan refleksi bagi umat Islam, dengan penderitaan yang sedang berlaku di Timur Tengah.
"Zulhijjah adalah bulan di mana kebanyakan umat Islam akan mengalihkan pandangan mereka ke Makkah. Ketika berjuta-juta orang menunaikan haji. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan di Timur Tengah adalah Palestin. Keadaan di sana khususnya di Gaza, amat menyayat hati. Penderitaan orang awam Palestin di wilayah yang diduduki, termasuk kanak-kanak memilukan," ujarnya.
Kenyataan Dr Faishal itu dibuat sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong semalam (30 Mei), semasa sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Dalam ucapannya, PM Wong menegaskan bahawa tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah sama sekali tidak boleh diterima.
PM Wong berkata: "Kami mengatakan bahawa Israel berhak mempertahankan dirinya. Malangnya, tindak balas Israel telah melampaui batas dan tindakannya telah menyebabkan bencana kemanusiaan yang sangat dahsyat; dan sekatan yang dikenakan ke atas penghantaran bekalan kemanusiaan tidak boleh diterima sama sekali.
"Pemerintah Singapura telah menyertai banyak negara di seluruh dunia untuk mendesak gencatan senjata segera, melindungi nyawa orang awam, pembebasan para tebusan dan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa sekatan," tegas Dr Faishal.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap mantan Presiden Halimah Yacob yang lantang bersuara mengenai isu Gaza di media sosial.
"Saya amat bersyukur kerana pemimpin seperti Puan Halimah Yacob telah bercakap mengenai krisis di Gaza dan telah membantu semua rakyat Singapura memikirkan tragedi itu dengan belas kasihan dan rahmat," kata Dr Faishal.
Dr Faishal menyeru masyarakat untuk bersyukur atas keamanan dan perpaduan yang telah dinikmati di Singapura selama beberapa dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.