Skip to main content

Singapura

Dr Faishal seru masyarakat Islam imarahkan masjid dan qaryah sepanjang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal seru masyarakat Islam imarahkan masjid dan qaryah sepanjang Ramadan
Para jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Iman.
SINGAPURA: Imarahkan masjid-masjid serta qaryah-qaryah merata Singapura dan manfaatkan ruang solat yang tersedia untuk melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini.

Demikian seruan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim kepada semua masyarakat Islam tempatan.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara secara langsung bersama wartawan Nurhelmy Hakim di Masjid Al-Iman pada Rabu (18 Feb).

Dr Faishal turun padang ke Masjid Al-Iman yang terletak di Bukit Panjang untuk menyertai lebih 2,500 jemaah menunaikan solat tarawih pertama pada bulan Ramadan tahun ini.

Dr Faishal berkata: "Saya gembira dapat bersama jemaah Masjid Al-Iman malam ini. Kehadiran jemaah yang begitu ramai amat menyentuh hati."

Beliau turut menekankan lagi peranan penting yang dimainkan para relawan bagi menjayakan program dan kegiatan sepanjang bulan Ramadan.

"Kakitangan masjid, Qaryah, relawan dan ahli masjid memastikan ruang ibadah yang selesa dan khusyuk untuk semua jemaah. Saya bertemu dengan ramai daripada mereka malam ini, mereka sudah bersedia, dan ingin menyumbang kepada apa yang diperlukan, keperluan bulan Ramadan ini, dan kita bersyukur ada relawan dan pihak masjid yang bekerjasama dan bekerja keras," ujar Dr Faishal.

Beliau menekankan bahawa usaha gigih para relawan mencerminkan nilai kesyukuran, kesantunan dan kesopanan yang merupakan teras masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Di Masjid Al-Iman, lebih 90 relawan dikerahkan untuk menguruskan kegiatan tarawih dan iftar sepanjang bulan Ramadan.

Pengerusi masjid itu, Ridzwan Abu Bakar berkata: "Ada yang menjaga tempat letak kereta, ada yang uruskan jemaah yang datang, tingkat 1, 2 atau 3. Kami akan menempatkan mereka di tempat-tempat yang tertentu untuk bantu jemaah yang hadir."

"Pada hari biasa, para relawan kami selalu menguruskan tentang iftar. Kami di sini makan dengan kumpulan yang besar jadi kami perlu kakitangan untuk membantu. Merekalah tulang belakang kami. Tanpa mereka agak sesak. Jadi dengan kehadiran mereka, dapat bantu kami dengan urusan yang diperlukan," tambah beliau lagi.

LEBIH 2,500 JEMAAH HADIR DI MASJID AL-IMAN PADA MALAM PERTAMA TARAWIH

Para jemaah sudah mula membanjiri Masjid Al-Iman sejak sebelum waktu Maghrib.

Hujan lebat juga tidak mematahkan semangat mereka untuk menunaikan solat tarawih di masjid.

Bagi memberikan keselesaan kepada para jemaah menunaikan solat tarawih, kakitangan masjid juga menyediakan ruang-ruang khusus untuk para jemaah.

Ini termasuk inisiatif Mommies Safe Space, di mana para jemaah muslimah yang ada anak-anak kecil boleh menunaikan solat tarawih bersama-sama dalam satu bilik darjah.

Inisiatif itu dilancarkan tahun lalu, namun diubah suai mengikut maklum balas para jemaah.

Encik Ridzwan berkata: "Tahun lepas, kami dapat sambutan yang agak menggalakkan dan kami juga memikirkan untuk mengadakan kawasan yang lebih luas untuk ibu yang menjaga anak-anak kecil kerana kami faham yang mereka juga ingin melakukan tarawih dengan jemaah yang lain."

"Tahun ini kami adakan bilik yang besar dan berhawa dingin dan ibu-ibu yang menjaga anak kecil lebih selesa melakukan solat tarawih dengan jemaah yang lain pada waktu yang sama," ujar Encik Ridzwan.

Tarawih juga antara kegiatan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan di Masjid Al-Iman, di samping-inisiatif-inisiatif lain.

Encik Ridzwan berkata: "Kami ada merangkakan beberapa program dan aktiviti seperti pemberian bubur Ramadan, tarawih pada tiap-tiap malam dan juga pada 10 malam terakhir, kami adakan Qiyamulail. Hari Isnin hingga hari Khamis, pada selepas solat Zohor, kami adakah tazkirah dan tadarus untuk jemaah yang hadir pada waktu itu."

Tahun ini, masjid-masjid merata negara menawarkan 110,000 ruang solat.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita