Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal: Pencapaian wanita S’pura tunjuk kemajuan mantap sejak 10 tahun lalu

Terdapat kemajuan mantap dari segi pencapaian kaum wanita di Singapura dalam tempoh 10 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal: Pencapaian wanita S’pura tunjuk kemajuan mantap sejak 10 tahun lalu

Dr Faishal bersama Lena Hallengren, Menteri Kanak-Kanak, Warga Tua dan Kesaksamaan Jantina Sweden. (Gambar: MSF)

SINGAPURA: Terdapat kemajuan mantap dari segi pencapaian kaum wanita di Singapura dalam tempoh 10 tahun lalu.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa bercakap di forum Membentuk Realiti Baru - Forum Kesaksamaan Jantina yang diadakan di Stockholm, Sweden pada 16 dan 17 April.

Forum itu bertujuan untuk menyumbang kepada kesaksamaan bagi kaum wanita menerusi sesi-sesi dialog dan pertukaran idea tentang amalan-amalan terbaik.

Semasa sesi perbincangan meja bundar yang dipengerusikan oleh Encik Christopher Castle yang merupakan Ketua Bahagian Kesihatan dan Pendidikan UNECSO, Dr Faishal berkongsi tentang usaha Pemerintah Singapura untuk memperkasa kaum wanita. Beliau juga menjelaskan tentang pendekatan pihak-pihak berkepentingan serta masa depan Singapura dalam konteks sebuah negara berbilang budaya dan agama.

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa bercakap di forum Membentuk Realiti Baru - Forum Kesaksamaan Jantina yang diadakan di Stockholm, Sweden. (Gambar: Assoc Prof Faishal Ibrahim/Facebook)

(Gambar: Assoc Prof Faishal Ibrahim/Facebook)

Dr Faishal turut menekankan pentingnya sumbangan aktif kaum wanita dalam pertumbuhan negara dan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pencapaian mereka sudahpun menunjukkan kemajuan.

Dalam bidang pendidikan bagi wanita berusia antara 25 dengan 34, contohnya, seramai 80 peratus memiliki kelayakan pengajian tinggi pada tahun 2016. Ini berbanding hanya 62 peratus pada tahun 2006.

Kadar pengambilan kerja dalam kalangan wanita berusia antara 25 dengan 64 tahun pula sudah meningkat dari 63 peratus pada tahun 2006 kepada 72 peratus pada 2016. Gaji purata bagi wanita yang bekerja sepenuh masa turut menunjukkan kemajuan, naik sehingga 5.3 peratus setahun dari tahun 2006 hingga 2016 pada kadar serupa dengan kaum lelaki.

Beliau juga menjelaskan tentang usaha berterusan Pemerintah Singapura untuk menyokong dan memperjuangkan kepentingan kaum wanita, yang diselaraskan menerusi Jawatankuasa Silang Kementerian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (UN CEDAW).

Sekalipun demikian, Dr Faishal berkata masih terdapat bidang lain yang boleh terus dipertingkat, sambil merujuk kepada Jawatankuasa Bertindak Kepelbagaian yang ditubuhkan pada tahun 2014.

Untuk memperkukuh perwakilan wanita dalam jawatan kepimpinan, jawatankuasa itu diberi tanggungjawab untuk memperjuangkan dan menarik lebih ramai wanita ke dalam lembaga korporat di Singapura.

Pemerintah Singapura juga, kata Dr Faishal, akan terus menggalak lebih banyak inisiatif bagi keseimbangan kerja dan kehidupan, seperti aturan kerja yang lebih fleksibel.

Beliau menambah, Pemerintah juga menggalak tanggungjawab keibubapaan yang digalas bersama-sama antara ibu dan bapa menerusi program pendidikan awam serta memperkenalkan inisiatif dan skim untuk menyokong kesaksamaan dalam kalangan wanita lebih tua apabila mereka bersara.

Perbincangan meja bundar yang diadakan pada Selasa (17 Apr) lalu itu turut disertai Menteri Jantina Zambia, Victoria Kalima, Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perangkap Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Phumzile Mlambo-Ngcuka dan Setiausaha Negara bagi Buruh, Pengambilan Pekerja, Dasar Veteran Serbia, Nenad Neric. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan