Dr Faishal: Pemerintah akan pergiat usaha tingkatkan kesedaran tentang bahaya dadah
Pemerintah dan rakan-rakan masyarakat akan bekerjasama untuk mempergiat usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah dari tahap awal lagi.
SINGAPURA: Pemerintah dan rakan-rakan masyarakat akan bekerjasama untuk mempergiat usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah dari tahap awal lagi.
Demikian dedah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkongsi demikian semasa merasmikan peluasan program pemulihan di rumah tumpangan Jamiyah, Darul Islah, petang tadi (17 Sept).
Hari ini, Darul Islah, melancarkan program pemulihan terbarunya - iaitu terapi muzik.
Menerusi program itu, para penghuni diberi kebebasan untuk menulis dan menyanyikan lagu yang dihasilkan sendiri sebagai sebahagian daripada proses pemulihan mereka.
Semasa majlis itu tadi, sebuah lagu berjudul Bangkit, yang dicipta oleh kakitangan Darul Islah, menjadi pembuka tirai, memberi gambaran bahawa karya-karya seperti ini jugalah yang bakal dihasilkan oleh penghuni-penghuni rumah tumpangan itu.
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--XyilMoWT--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/darul-islah.jpg?itok=yt8nFIts)
Selain itu Darul Islah juga menawarkan satu lagi program, iaitu terapi seni lukis, yang dimulakan sejak April tahun ini. Namun, program itu kini turut dikembangkan - dari melukis atas kertas kepada melukis di tembok atau 'mural'.
Baru-baru ini, penghuni-penghuninya sudahpun menghasilkan satu lukisan mural pada sebuah tembok di pekarangan Darul Islah. Tembok itu yang dahulunya putih kini kelihatan ceria dan membangkitkan semangat dengan warna-warna seperti jingga dan merah serta ungkapan-ungkapan positif.
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--5kb5nshO--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/darul-islah-1.jpg?itok=RwdgG17y)
Program-program terapi itu menjadi saluran untuk penghuni-penghuni Darul Islah meluahkan keperluan emosi, fizikal, mental dan sosial - sekali gus membantu mereka melepaskan diri daripada masalah ketagihan.
"Ramai penghuni kami yang berbakat dalam bermain muzik seperti gitar dan juga dram dan juga mengilhamkan lagu dan ini (sebabnya) tercetusnya idea untuk kami melakarkan program ini untuk masa hadapan untuk penghuni kami," kata Ketua Darul Islah, Mohamad Faizal Abas.
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--Nf-5yvkm--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/darul-islah-3.jpg?itok=at4iIaGx)
Malah, program itu juga diharap dapat membuka peluang-peluang baru.
"Kita akan melakarkan program muzik untuk penguni kami untuk mendapatkan sijil gred 5 dan 7. Kami percaya dengan sijil ini memberi mereka peluang yang lebih untuk mendapat pekerjaan dari segi seni dan juga muzik," ujar beliau.
Bagi Din* (bukan nama sebenar), salah seorang penghuni Darul Islah, program terapi seperti seni lukis yang diikutinya di rumah tumpangan itu amat membantu dirinya. Dia memberitahu BERITAmediacorp bahawa lukisan-lukisan yang dihasilkan bukan sekadar seni semata-mata.
"(Ia) sebagai terapi untuk diri kita membangunkan diri kita dan juga memberi kesedaran dalam kita punya emosi dan juga dalam kita punya fikiran. Bila saya dapat melukis itu saya dapat meluahkan, tak sepenuhnya tapi tiga suku saya dapat luahkan dalam lukisan itu. Seronoklah!" kata Din.
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--nCOf_DLY--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/darul-islah-4.png?itok=b6gtlSv6)
Dr Faishal yang pertama kali mengadakan lawatan ke Darul Islah sebagai Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, memuji usaha-usaha rumah tumpangan tersebut, yang sentiasa meningkatkan program-program pemulihan yang ditawarkannya.
"Terapi ini ia memberikan mereka ruang untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani proses pemulihan ini. Ini adalah penting kerana mereka memerlukan sokongan daripada keluarga dan masyarakat.
"Ia (juga) memberikan mereka ruang untuk meningkatkan aspek-aspek kominukasi bersama keluarga dan masyarakat. Sekali gus ia juga memberikan ruang untuk membangunkan diri mereka," kata Dr Faishal.
Beliau juga menekan bahawa peluang yang diberikan kepada para bekas pesalah perlu berjalan seiring dengan sokongan utuh masyarakat, selain usaha meningkatkan pencegahan di peringkat awal lagi.
Namun Dr Faishal berasa bimbang bahawa selagi masalah penyalahgunaan dadah tidak dihentikan maka lebih banyak keluarga yang akan musnah dan lebih banyak kemudaratan akan berlaku.
"Saya mahu menyeru kepada ibu bapa untuk mengambil sikap peduli dalam pembangunan anak-anak mereka kerana dalam pada masa kini dengan pembangunan yang pesat dalam daerah digital, mereka boleh mendapatkan sumber-sumber dadah ini dengan lebih mudah. Jadi kalau tidak peduli tentang kehidupan mereka, mungkin mereka terjerat dengan kerja-kerja atau kehidupan penyalahgunaan dadah," katanya.
Program terapi muzik Darul Islah itu akan dimulakan pada hujung tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.