Dr Faishal mahu wujudkan rangkaian baharu bagi kerjasama MMO/IMO, gantikan M³
Ini dikongsikan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dalam satu wawancara bersama pihak media sempena 100 hari pertama beliau menyandang jawatan tersebut.
Esok (31 Ogos) merupakan hari ke-100 sejak beliau secara rasmi menggantikan Encik Masagos Zulkifli bagi jawatan tersebut setelah upacara angkat sumpah jawatan pada 23 Mei 2025.
Rangkaian baharu itu dijangka akan menggantikan M³.
Namun, Dr Faishal mendapati landskap masyarakat kini sudah berubah.
Dalam 100 hari pertama beliau bertemu dan mengumpul maklum balas daripada pihak MMO dan IMO, beliau mendapati banyak pihak termasuk mereka yang tidak terkait dengan MUIS, MENDAKI dan MESRA mahu menyumbang dan memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat.
"Bila saya mendekati masyarakat, saya dapat rasakan keinginan mendalam mereka untuk menyumbang, bukan sahaja daripada individu tapi juga MMO, IMO dan juga kumpulan-kumpulan 'informal' dan ada yang sudah wujud berdekad-dekad lamanya. Mereka juga berupaya untuk menjadi penyumbang dan tidak semestinya terkait dengan rangka kerja M³," kata Dr Faishal Ibrahim yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri.
"Jadi mereka berharap kami dapat membangunkan sebuah rangka kerja yang membolehkan kesemua mereka dapat menyumbang secara saksama. Walaupun ada kumpulan yang lebih kecil tapi mereka kaya dengan sejarah dan mungkin mampu menyumbang kepada masyarakat secara meluas. Jadi perkara-perkara ini, saya rasa tak patut saya abaikan. Justeru, saya sedang memikirkan rangkaian yang padat bagi membangunkan masyarakat kita bersama dan di mana rangkaian ini harus menepati landskap yang telah berubah," tambahnya.
Di samping itu, beliau dan pasukannya giat memikirkan bagaimana untuk memenuhi keperluan umat Islam setempat seperti kemudahan dan ruang solat yang lebih banyak serta kuota haji.
Sejak menyandang jawatan baharu itu, Dr Faishal sudah mengumumkan beberapa projek naik taraf masjid seperti Masjid Darussalam dan kemas kini pembangunan masjid di Tampines North dan Tengah.
VISI BERSAMA MASYARAKAT - PERLU LEBIH BANYAK MASA
Dalam berkongsi rancangan tersebut kepada para wartawan, Dr Faishal berulang kali menekankan bahawa ia bukan visi dirinya semata-mata.
Sebaliknya, beliau mahu ia menjadi visi yang dikongsi bersama masyarakat.
"Bagi saya, tiada jalan pintas untuk itu. Saya perlu terus berada di lapangan dan cuba mendengar sebanyak mungkin sebelum saya menentukan visi baharu untuk masyarakat dan apa yang saya lihat landskapnya sudah berubah dan keperluan masyarakat juga berubah," tambahnya.
Beliau juga mahu lebih ramai belia dan golongan muda untuk tampil ke hadapan dan sama-sama memajukan lagi masyarakat Melayu/Islam.
Visi itu juga katanya akan membina asas untuk pembangunan masyarakat pada masa akan datang sehingga berdekad-dekad lamanya.
Apabila ditanya jika ada garis masa, beliau berkata tiada garis waktu yang ditetapkan buat masa ini namun katanya "ia tidak akan terlalu lama".
1 Mei 2018 - Encik Masagos rasmi menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam
28 Jun 2018 - Umumkan tentang M³ dalam ucapan di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri
26 Jan 2019 - Lancarkan pejabat bersama M³
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.