Skip to main content

Singapura

Dr Faishal mahu libatkan lebih ramai dalam bina visi bersama

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Merangkul lebih ramai anggota masyarakat dalam membina visi bersama masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Itulah tugas utama Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang dikongsikan beliau dalam pertemuan dengan pihak media setempat.

Menurut Dr Faishal, visi bersama itu bertujuan memperkukuh pencapaian yang telah diraih selama ini dan diperkasa dengan penghayatan nilai-nilai murni yang dimiliki masyarakat Melayu/Islam setempat.

"Saya mahu melihat bagaimana saya juga sebagai seorang pemimpin masyarakat merasakan bahawa apa yang diberikan, amanah yang diberikan kepada saya. Saya akan menjunjung dan saya akan hormat dan saya akan bekerja keras untuk meneruskan usaha untuk membangun masyarakat Islam di Singapura dan saya tidak keseorangan. Saya mahu bekerjasama dengan masyarakat kita dan juga warga Singapura yang lain," kata Dr Faishal yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Ehwal dalam Negeri.

Beliau juga akan berganding bahu dengan para pemegang jawatan politik Melayu lain untuk melakar visi dan hala tuju yang seterusnya buat masyarakat.

"Saya sedang memikirkan dan juga bekerjasama dengan rakan-rakan saya dan juga pemimpin masyarakat untuk melihat bagaimana kita boleh melihat apa yang sedang kita lakukan dan mengenal pasti aspek-aspek yang perlu diperbaiki. Justeru, ini akan melibatkan pemikiran dari segi pembangunan visi kita pada masa 10 atau 15 tahun yang akan datang," ujarnya.
 
Dr Faishal mahu melibatkan lebih banyak pihak untuk sama-sama melakarkan visi bagi masyarakat. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Sejak menyandang jawatan itu kira-kira seminggu lalu, Dr Faishal sudah giat bertemu masyarakat dalam acara-acara rasmi mahupun secara tidak formal.

Ini bagi membolehkan beliau mengumpul maklum balas bagi memahami aspirasi masyarakat dengan lebih baik lagi.

"Selepas mengambil alih, saya terus mula bekerja di mana saya terus turun padang dan saya pergi ke kedai-kedai kopi. Saya pergi kepada pergi ke pasar dan juga mendekati golongan-golongan yang mungkin profesional, yang saya mendekati secara terperinci dan mendengar rintihan mereka," kongsi Dr Faishal kepada para wartawan.

"Saya rasa gembira dan seronok mendekati masyarakat kerana mereka menganggap saya sebagai seorang manusia seperti mereka tetapi mempunyai peluang untuk melakukan apa selanjutnya untuk membuka ruang hubungan menyokong mereka dalam kehidupan mereka," tambahnya.

AMBIL MASA UNTUK BENTUK VISI BERSAMA

Meskipun sudah lebih 20 tahun memimpin masyarakat dalam pelbagai peranan dan badan, Dr Faishal tidak mahu terburu-buru membentuk satu visi bagi masyarakat.

Ini kerana bagi dirinya, visi itu haruslah mencerminkan aspirasi masyarakat dan dilakarkan dengan mengambil kira pandangan dan keprihatinan mereka juga.
Menurut Dr Faishal, visi itu haruslah mencerminkan aspirasi masyarakat dan dilakarkan dengan mengambil kira pandangan dan keprihatinan mereka juga. (Gambar Fail)
Oleh itu, ia akan mengambil masa dan akan dikongsikan dari masa ke masa.

"Sekarang saya mahu bekerjasama dengan lebih ramai supaya kita memikirkan apa yang kita boleh lakukan bersama dengan sokongan pemerintah. Selepas mendengar kita akan berkongsi dengan pemerintah dan saya akan terus membuka lebih banyak ruang bagi kita untuk berkongsi pandangan dan juga bagaimana pemerintah juga mahu mendengar tentang jangkaan-jangkaan, aspirasi dan juga apa yang mereka masyarakat kita," jelas Dr Faishal.

Beliau juga mahu mengutamakan proses dalam mengukir visi buat masyarakat.

"Saya nak lakukan dengan proses. Ini bukan visi saya. Saya nak mendekati masyarakat dulu mendengar dan juga apakah aspirasi mereka dan bagaimana kita boleh membangunkan visi bersama. Jadi mungkin akan makan masa. Ini adalah satu proses yang penting. Jadi, saya mahu menitikberatkan proses," katanya.

Lebih meyakinkan beliau adalah sokongan padu daripada masyarakat dan struktur yang tersedia untuk membantu masyarakat bagi memperkukuhkan lagi visi Masyarakat Gemilang.

"Kita sering mendengar kata-kata 'You Never Walk Alone'. Di dalam pendekatan saya atau pemikiran saya 'You Never Walk Alone' bukan sahaja masyarakat kita tapi saya pun 'would never walk alone' kerana saya ada masyarakat Melayu dengan warga Singapura bersama saya untuk meneruskan usaha ini," jelasnya lagi.

ISU YANG MENJADI KEPRIHATINAN UTAMA DR FAISHAL

Dr Faishal juga akur bahawa banyak kemajuan telah dicapai masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang 60 tahun.
 
Dr Faishal mahu menggembleng lebih banyak usaha untuk dampingi masyarakat dan bantu golongan yang memerlukan. (Gambar Fail)
Namun menurutnya, terdapat beberapa ruang yang boleh diperbaiki seperti isu sosial, penyalahgunaan dadah dan pendidikan.

Beliau juga mahu melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan lagi aspek sosial masyarakat dan memperkasa golongan yang memerlukan.

"Saya mahu masyarakat Melayu untuk lakukan lebih baik lagi daripada hari ini dan kita akan terus lakukan demikian dan kerja keras," luahnya.

Bukan sekadar kejayaan luaran sahaja, Dr Faishal juga mahu membentuk 'jiwa' masyarakat supaya menjadi sebuah masyarakat yang lebih prihatin dan penuh ihsan.

"Saya mahu membangunkan satu masyarakat di mana walaupun kita cemerlang tapi kita merasakan apakah kesukaran yang dihadapi oleh rakyat kita yang lain jiran kita. Walaupun kita ada cabaran tetapi yang penting bagaimana kita boleh menyumbang dengan wadah-wadah dan juga pendekatan yang sesuai, yang mempunyai adab mempunyai etika dan juga mempunyai nilai-nilai murni," kata Dr Faishal.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita